Tuesday, May 6, 2014

Cantuman baji pokok bunga kertas

Bagaimana mendapatkan bunga kertas berbagai warna dari sepohon pokok?
Bagaimana melakukan cantuman (kahwin) ke atas pokok bunga kertas?
Bagaimana melakukan teknik cantuman baji ke atas pokok bunga kertas?


Penjelasan di bawah diharap dapat membantu penggemar pokok bunga kertas atau bougainvillea melakukan sendiri teknik cantuman baji. Saya sendiri bukanlah pakar dalam melakukan teknik cantuman baji, cuma ingin berkongsi sedikit pengalaman saya melakukan teknik cantuman baji ke atas pokok bunga kertas.
Sebenarnya kita boleh mendapat maklumat tentang teknik melakukan cantuman baji dengan cara mencarinya di enjin carian seperti google atau melihat youtube. Namun cara yang terbaik utk belajar adalah dengan melakukan sendiri cantuman baji ke atas pokok bunga kertas (praktik). Tidak perlu takut pada kegagalan.
Tentang kejayaan teknik cantuman baji pokok bunga kertas biasanya sekadar 40% atau kurang. Maksudnya jika kita melakukan 10 cantuman, kejayaannya adalah 3 atau 4 sahaja, yang lain biasanya gagal atau senang disebut sebagai tak jadi.

Mengapa terlalu rendah peratus kejayaan teknik cantuman baji ke atas pokok bunga kertas?
Hal ini sukar dijawab. Kegagalan boleh jadi disebabkan faktor cuaca, kandungan air dalam udara (kelembapan), teknik yang salah, fotosintesis tidak berlaku dan lain-lain.

Jom lakukan teknik cantuman baji ke atas pokok bunga kertas.

Sebelum melakukan
Sediakan peralatan seperti pisau, gunting, cutter dan ketip kuku
Sediakan bahan seperti pita pelekat lut sinar (sellotape), tali rapia, plastik aiskrim, dan pembalut jernih

Semasa melakukan 


Sebaik-baiknya pagi, petang atau malam. Elakkan waktu tengah hari kerana pokok terkejut
Pilih dan potong ranting yang hendak dicantumkan.
Buang semua daun dan bunga pada bahagian yang hendak dicantumkan.
Jika banyak cantum yang ingin dilakukan,ranting pokok pendatang boleh disimpan di dalam bekas berisi air untuk mengelakkan getahnya kering.
Kemudian beralih ke pokok penanti. Potong ranting yang sesuai untuk cantuman.
Belah pokok penanti. Saiz belahan hendakalah sama dan sesuai dengan ranting pendatang. Belahan dilakukan di bawah bahagian mata tunas.
Ambil semula ranting pendatang. Ranting ini perlu dihiris seperti bentuk baji di hujungnya.
Terus cantumkan bahagian ranting pendatang kepada pokok penanti.
Balut cantuman tadi dengan parafilm atau sealing film bagi tujuan memperkukuhkan cantuman tadi.
Dengan menggunakan plastik lut sinar atau plastik aiskrim, sungkupkan bahagian cantuman tadi dan ikat di bahagian bawah. Ini untuk mengelakkan kehilangan air yang banyak dari cantuman pokok dan menyebabkannya kering dan mati.
Labelkan warna bunga ranting pendatang dan tarikh cantuman pada plastik sungkupan tadi bagi memudahkan untuk proses seterusnya.
Anda juga boleh melukis ranting pokok dan labelkan warna ranting cantuman agar menjadi panduan supaya tidak berlaku cantuman yang sama warnanya.
Jika cantuman ini berjaya, anda akan dapat melihat titisan-titisan air yang dibebaskan oleh ranting yang baru dicantumkan di bahagian dalam plastik.
Letakkan pokok di tempat yang kurang cahaya terik. Siram air secara minima dan jika perlu kurangkan penggunaan baja sehingga 80%.
Selepas 1 atau 2 minggu, buangkan sungkupan plastik luar. Ketika ini akan muncul tunas baru pada ranting pendatang. Walaubagaimanapun ada juga tunas baru yang muncul selepas 3 minggu.
Cantuman yang gagal boleh mengulangkan semula proses cantuman sama  di ranting penanti yang sama atau gunakan ranting penanti yang baru. Jangan give-up. Hehe... 
Insya Allah berjaya. Selamat mencuba.



Apabila muncul pucuk atau daun baru, tunggu sehingga 4-5 hari sebelum ditanggalkan plastik aiskrim
Jangan dibuka pembalut jernih ketika ini, biarkan sehingga 3 bulan atau lebih.
selesai

Video melakukan cantuman baji ke atas pokok bunga kertas

Cipta sendiri gabungan pelbagai warna bunga

Saturday, April 19, 2014

Madu lebah bandaraya Shah Alam

Tahun ke-15 aku menetap di Shah Alam, Selangor.

Ceritanya bermula 4 bulan yang lalu apabila mata terpandang makhluk kecil berterbangan sekitar pokok mangga besar. Seperti dijangka, memang sah aksi sekumpulan lebah berterbangan di sekitar pasu bunga berhampiran pangkal pokok mangga. Kedudukan pasu kosong yang terbalik menjadi pilihan sang lebah untuk menghuninya. Aku jangkakan mungkin persinggahan sementara sahaja, sebab sekitar kawasan kediaman kami adalah tumpuan orang samada berehat atau memetik buah mangga yang selama ini berbuah sepanjang tahun. Jangkaan aku meleset sebab bulan berganti bulan, kumpulan lebah terus bersarang di situ.

Kumpulan lebah semakin banyak, berterbangan sekitar pasu dan kawasan tanaman pokok bunga dan buah-buahan. Ada hampir 50 pasu pokok bunga dan herba. Manakala sekitar kawasan rizab TNB pula ada pelbagai pohon buah-buahan dan herba antaranya mangga, nanas, ubi kayu, dragon fruit, limau bali, rambutan, jambu batu, jambu air, betik, delima madu, kelapa, buluh, biak, pokok kaduk dan pokok pisang.

Mungkin tanaman ini menarik minat sang lebah mengumpul madu seterusnya bersarang sekitar kawasan ini. Untuk menjaga kawasan rizab TNB ini biasanya aku gunakan racun rumput 'Roundup' sekali setiap 2 bulan. Ok la, selama ini subkontraktor TNB tidak perlu lagi memotong rumput sekitar hadapan rumah kami. Setiap kali aku meracun, kelihatan lebah berterbangan selepas diganggu kehadiran aku. Lebah-lebah ini selalunya hinggap pada sejenis tanaman (rumput kecil) setinggi sekaki yang mengeluarkan bunga bewarna ungu muda.

Pada awal kehadiran lebah ini sebenarnya merunsingkan kami dari aspek keselamatan. Bimbang lebah ini akan menyengat mangsa suatu hari nanti. Namun beberapa 'orang lama' meyakinkan kami bahawa lebah ini bukan speseis lebah liar. Lebah ini adalah speseis lebah madu yang mungkin suatu ketika dulu pernah diternak oleh orang lain.

Jiran-jiran sekitar kejiranan aku mengaku tiada pengalaman dan tidak berani mendapatkan madu lebah tersebut. Aku sendiri tidak tahu dan takut untuk mengganggu kumpulan lebah ini. Niat untuk mendapatkan madu lebah tersebut terpendam begitu saja. Ada yang memberi cadangan, panggil saja pasukan bomba untuk menyelesaikan masalah.

Jeng... Jeng... Nak dijadikan cerita. Pagi 2 hari lepas, aku menyapa dan berbual dengan bapa mertua kepada jiran sebelah rumah (Cikgu Zahid) yang datang untuk ziarah cucunya yang berumur setahun yang kurang sihat akibat cirit-birit. Beliau menetap di Jitra, kedah. Sembang punya sembang terpacul cerita lebah bersarang. Terus beliau menawarkan diri untuk membantu mendapatkan madu lebah tersebut berbekalkan pengalaman yang ada.

Aku cuma diminta menyediakan surat khabar lama untuk mengasap sarang lebah tersebut. Cukup mudah tugas aku, selebihnya bapa mertua jiran aku yang buatkan. Memang banyak koloni lebah yang bersarang di dalam pasu tersebut. Kelihatan cukup banyak lebah berterbangan dan melarikan diri akibat tidak selesa bau asap dan haba yang terhasil dari pembakaran kertas surat khabar lama. Tempoh 4 bulan lebah bersarang mungkin adalah jangka masa yang lama untuk lebah membiak dengan banyaknya.

Hampir 20 minit mengasap sarang lebah tersebut, Pak Hasan memutuskan untuk menterbalikkan kedudukan asal pasu tersebut. Teruja dan terkejut juga sebab inilah pengalaman pertama aku menyaksikan bagaimana madu lebah diambil dari sarang lebah. Memang menakjubkan melihat kedudukan sarang lebah di dalam pasu, kehebatan sebuah senibina kediaman makhluk unik ini.

Sarang lebah dileraikankan dari pasu dan dimasukkan ke dalam baldi. Sebahagiannya pula dituang ke dalam penapis. Yang menariknya adalah mencedok cairan madu lebah yang bewarna keemasan yang tersisa selepas sarang lebah dikeluarkan terlebih dahulu. Pak Hasan mencedok dengan senduk lalu meminta aku menadah tangan. Madu lebah dituang di tapak tangan aku lalu mengisyarat agar aku menjilatnya. Fuih, suatu pengalaman indah sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata bagi aku yang kali pertama melalui detik ini. Cairan madu lebah fresh dari sarang membasahkan tekak aku, cukup nikmat.

Kelihatan lebah-lebah yang mati akibat terperangkap ketika proses mengasap. Ada juga lebah berterbangan sekitar kami, masih pening agaknya. Tiada seekor pun lebah yang menyengat biarkan beberapa ekor lebah hinggap di sekitar muka, telinga dan badan kami. Aku patuh pada pesan Pak Hasan agar tidak panik. Jangan sesekali menyepit atau menindih lebah tersebut dengan anggota badan. Lebah tidak akan menyengat selagi tidak diancam dengan perbuatan tersebut.

Kemudiannya Pak Hasan mengasingkan lebah yang masih terperangkap atau mati pada sarang lebah. Kedua-dua tangan Pak Hasan dipakaikan sarung plastik dengan bantuan aku. Sebahagian kecil sarang lebah tersebut dipatahkan dan diserahkan kepada aku untuk dikunyah. Cukup manis, aku menikmatinya. "Buanglah sisa kunyahan", pesan Pak Hasan. Kami menikmati sarang lebah tersebut seketika. Pak Hasan selesai mengasingkan lebah-lebah yang terperangkap pada sarang. Seterusnya Pak Hassan mengepal dan memerah sarang lebah tersebut di atas penapis. Kelihatan cairan madu lebah mengalir laju jatuh diatas penapis lalu tumpah ke dalam balang plastik yang sedia menanti. Aku anggarkan hampir 700ml juga cairan madu lebah yang terkumpul.

Madu lebah tersebut dibahagikan 3 bahagian untuk keluarga Pak Hasan, aku dan jiran sebelah (Haji Zainal). Pasu yang menjadi kediaman lebah dikembalikan ke kedudukan asal. Mungkin lebah-lebah tersebut masih sudi bersarang lagi di situ. Aku mengucapkan terima kasih kepada Pak Hasan kerana bantuannya mendapatkan madu lebah. Sukar diluahkan dengan kata-kata tentang keterujaan aku memungut madu lebah untuk pertama kalinya.

Pak Hasan berbisik, "Bertuah kamu sebab lebah bersarang di sini. Bukan saja-saja, mungkin lebah-lebah ini membawa penawar bagi penyakit pada tubuh kita. Orang lain menempuh hutan belantara dan pokok yang melangit nak dapatkan madu lebah". Aku menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapatnya.

Syukur atas nikmat yang Allah berikan.


 


*gambar akan dimasukkan nanti.

Thursday, December 12, 2013

Memburu ikan kaloi gergasi

Ikan kaloi Sungai Kerian - kental dan lasak

Pada 5 Disember 2013, aku, Damia (anak sulung) dan Syahril (sepupu) menaiki bot untuk memancing kaloi di Sungai Kerian. Dah lama berhajat untuk memancing kaloi, kebetulan kali ini air Sungai Kerian agak jernih disebabkan musim hujan yang berlarutan. Sebenarnya bulan September lalu, dah cuba buru kaloi gergasi dengan memasang rawai di dalam Sg Kerian tapi tidak bernasib baik. Mungkin disebabkan faktor air yang keruh dan berarus deras, tiada langsung kaloi yang tumpas.

Balik bercuti kali ini, Syahril dah ready nak bantu memburu kaloi, kalau dapat nak tumpaskan kaloi gergasi Sg kerian. Aku membawa pulang 2 set rod pancing untuk tujuan tersebut. Kat Shah Alam lagi aku dah siap membeli mata kail dan tali yang sesuai. 

Sebenarnya percutian aku hampir 2 minggu. Kebetulan adik perempuan melangsungkan perkahwinan dalam cuti tersebut. tinggal la beberapa hari pun untuk memancing, makin stres hujan turun berterusan. ada ketikanya, seharian hujan dan tak nampak langit.

Tekad nak buru kaloi belum luntur. Pada 5/12/13 (Rabu) kami mudik di Sg Kerian mencari port (lubuk) kaloi. Paginya aku ke Pekan Parit Buntar membeli umpan. Tak susahpun, beli cengkerik RM4.00 dah cukup. Masa kecik-kecik dulu, selalunya aku dan rakan-rakan menggunakan umpan pepatung atau kelopak bunga raya merah. Dah biasapun memancing kaloi, kadang2 ikan kaloi yang tumpas bersaiz lebih 5 kg.

album gambar menyusul nanti
 


Monday, October 14, 2013

Pokok mangga mula berbunga

Minggu ini ketika membaja pokok-pokok sekitar kawasan rumahku, terlihat pokok mangga kecil yang ditanam 4 tahun lalu mula berbunga. Biarpun tidak banyak sekadar 4 ranting sahaja bunga mangganya, aku rasa satu kepuasan dan bahagia.
Memang terdetik dihatiku, bilakah pokok mangga ini akan berbunga? sedangkan pokok mangga  jiran aku yang selang 10 buah rumah mula berbunga dan sudah ada putik-putik buahnya. Saiz pokok juga hampir seusia dengan pokok mangga aku.
Sebenarnya pokok mangga ini agak terbantut jika dibandingkan fizikal dan usianya. Mungkin faktor tanah dan pembajaan. Ukur lilit batangnya cuma sebesar lengan dewasa sahaja manakala tinggi pokok ini sekitar 8 kaki. Jika dibandingkan pokok mangga di kampungku (Bandar Baharu, Kedah), tentu usia 4 tahun sudah cukup besar dan berbuah lebat.
Sepokok dah berbunga. Ada lagi 3 pokok lain yang seusianya masih belum pernah berbunga. Harus sabar menanti.

Cabaran penanaman pokok bunga kertas

Pokok bunga kertas adalah kategori tanaman hiasan. Sesuai ditanam di Malaysia kerana iklim dan cuacanya sesuai untuk penanaman tumbuhan hiasan ini. 'Bougainvillea' boleh ditemui sehingga 250 spesies. Penggemar pokok bunga kertas menjadikan hobi menanam pelbagai warna pokok bunga kertas.

Dari segi penjagaan, 'bougainvillea' sangat mudah dijaga. Pokoknya lasak dan jarang diganggu serangga perosak. Untuk menggalakkan ia berbunga hanya pamerkan pada cahaya matahari dan penggunaan baja yang sesuai.

Masalah penggunaan tanah
Bougainvillea dibiakkan melalui penyemaian keratan batang. Keratan batang induk kebiasaannya bersaiz lilitan sekurang-kurangnya sebesar pensel dan panjangnya sejengkal atau lebih (lagi baik). Pemilihan tanah sangat penting supaya bougainvillea subur dan berbunga lebat. Biasanya menggunakan jenis tanah bakar dan tanah campuran dengan nisbah 1:1. Sesetengah penanam bougainvillea yang inginkan tanah menyimpan kandungan air yang lebih akan menggunakan jenis tanah bakar dan tanah campuran dengan nisbah 1:2 atau 1:3. Penggunaan tanah top soil harus diberi perhatian. Tidak semua tanah di sekitar rumah kita yang berwarna kuning seakan-akan top soil itu baik untuk bougainvillea. Jika tanah tersebut memiliki kandungan kapur yang tinggi boleh menyebabkan bougainvillea kurang subur dan tidak berbunga langsung. 
Masalah air berlebihan pada anak pokok
Pokok bunga kertas tidak memerlukan air yang banyak terutamanya untuk tanaman di dalam pasu. Disebabkan fakta inilah, ia menjadi masalah dan cabaran bagi penanam dan penjual pokok bunga kertas. Jika cuaca hujan yang luar biasa dan berpanjangan, ia boleh menyebabkan lebihan air. Pokok-pokok muda dengan akar baru akan mudah rosak dalam situasi begini. Penjual dan pengedar pokok bunga kertas terpaksa meletakkan bumbung transparen (plastik transparen sudah mencukupi) untuk melindungi tanaman mudanya dari ancaman air berlebihan. Bougainvillea yang baru ditanam perlu disiram air pada kadarnya yang sesuai, jangan sampai berlebihan hingga menjejaskan akar barunya.

Masalah ketika memindahkan pokok atau menukar pasu
Harus diberi perhatian bagi penggemar bougainvillea tentang langkah memindahkan pokok ini atau bertukar pasu. Kebiasaannya tidak menjadi masalah tetapi jangan sesekali memindahkan atau bertukar pasu ketika tanahnya berair atau lembab. Jika tertanggal tanah pada akarnya maka risiko bougainvillea akan mati adalah tinggi. Biasanya kita bertukar pasu ketika tanah kering bagi mengurangkan tanah yang gebu tersebut terlerai daripada akarnya.

Masalah baja berlebihan
Selalu timbul masalah baja berlebihan bagi mereka yang memulakan hobi menanam bougainvillea. Pada peringkat awal tidak dapat dinafikan penggemar bougainvillea teruja menjaga pokok ini. Kita harus meneliti dan mendapatkan maklumat tatacara rutin pembajaan yang tepat dari penjual atau pengedar baju. Jangan malu bertanya untuk mendapatkan kepastian. Bougainvillea yang dibajakan secara berlebihan akan menyebabkan daun pokok tersebut berkerinting (buruk kedutnya) malah bunganya tidak mekar secara normal. Pilihlah baja yang sesuai seperti baja organik dan sebagainya.

Daun berkerinting
Masalah tanah keras dan tiada pengaliran udara
Bougainvillea biasanya cukup mudah mengeluarkan bunga. Namun ada ketikanya bunga tidak muncul seolah-olah merajuk. Mungkin tanahnya telah menjadi keras setelah sekian lama dan tiada pengaliran udara. Apa yang perlu dilakukan adalah menggemburkan tanah tersebut. Lakukan rutin menggembur tanah mengikut kesesuaian agar bunga bougainvillea tidak putus-putus menghiasi taman anda. 
Tanah keras dan pengudaraan yang kurang baik
Masalah bunga tidak muncul 
Bunga bougainvillea tidak muncul mungkin disebabkan pokok tersebut terlindung daripada pancaran matahari. Elak meletakkan bougainvillea di bawah pokok besar yang lain sehingga ia tidak mendapat pancaran matahari secukupnya. Tidak perlu bimbang meletakkan bougainvillea di laman atau padang yang menerima panas terik. Sememangnya di situlah tempat bougainvillea wajar diletakkan. Sirami air bilamana daun dan bunganya layu. Bougainvillea mampu bertahan dan sangat lasak pada cuaca panas.
Terlindung cahaya, bunga tak muncul
Bunga juga tidak muncul atau digelar 'kaya daun sahaja' jika tanah pada akar bougainvillea ditutupi pokok lain. Elak meletakkan pasu pokok lain atau batu bata pada tanah yang menyimpan akar bougainvillea. Sepatutnya tanah yang menyimpan akar bougainvillea terdedah pada cahaya matahari agar tanah tersebut kering dan sekadar menyimpan sedikit air bagi keperluan bougainvillea tersebut.
Kaya Daun
Bougainvillea kurang berbunga atau langsung tidak berbunga mungkin juga disebabkan kadar siraman air yang terlalu kerap. Tanah pokok tersebut sepanjang masa menyimpan air berlebihan. Memang pokok yang matang tidak akan mati disebabkan air berlebihan tapi boleh mengakibatkan pokok tersebut tidak mengeluarkan bunga. Peganglah pada kata-kata ini 'Bougainvillea sukakan pancaran matahari dan keadaan kering, ketika itulah bunganya muncul berseri-seri dan lebat'
Kecil tapi menawan

Musim bunga Bougainvillea

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...