VIENNA 28 April - Pihak berkuasa Austria hari ini mengesahkan lelaki yang dipercayai mengurung dan menjadikan anak perempuannya sebagai hamba seks selama 24 tahun sehingga melahirkan tujuh anak, mengaku salah atas pertuduhan tersebut.
Lelaki itu, Josef Fritzl, 73, turut mengaku bersalah memasukkan mayat seorang anaknya yang meninggal dunia sebaik dilahirkan ke dalam mesin insinerator bagi tujuan pembakaran.
Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Elisabeth Fritzl, 42, memberitahu, bapanya telah memberinya dadah sebelum mengurungnya di bilik bawah tanah di rumah mereka di bandar Amstetten sejak 1984.
Tiga anak Elisabeth dikurung bersamanya tanpa pernah bersekolah serta tidak pernah didedahkan kepada cahaya matahari.
Pihak berkuasa bandar Amstetten yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Vienna masih mengumpul maklumat tentang kes yang mempunyai persamaan dengan kes Natascha Kampusch yang dikurung selama lapan tahun sebelum melarikan diri pada Ogos 2006.
"Kami berhadapan dengan kes yang sukar difahami. Segala yang berlaku adalah di luar imaginasi," kata Menteri Dalam Negeri, Guenther Platter.
Akhbar turut mempersoalkan budaya hidup bermasyarakat di bandar ini kerana tidak menyedari apa yang berlaku.
"Adalah sukar untuk hidup seperti biasa selepas kejadian ini. Seluruh rakyat wajib bertanya diri sendiri apa sebenarnya yang telah berlaku," tegas akhbar der Standart.
Josef yang juga seorang jurutera elektrik memberitahu para penyiasat bagaimana untuk memasuki bilik rahsia melalui sebuah pintu yang mempunyai kod rahsia.
"Terdapat sebuah almari yang dipenuhi dengan makanan dalam tin dan di sebaliknya anda akan menemui sebuah pintu yang dibuat dari konkrit dilengkapi peralatan elektronik dan kod rahsia pintu itu hanya diketahui oleh Josef," kata jurucakap polis, Heinz Lenze.
Bilik tersebut dilengkapi dengan kemudahan yang canggih termasuklah bilik tidur, dapur dan tempat membasuh, ujar Lenze.
Sementara itu, penyiasat mendapati isteri Josef, Rosemarie langsung tidak menyedari tentang perkara itu. Rosemarie menganggap Elisabeth lari dari rumah dengan meninggalkan sepucuk surat yang meminta "jangan mencarinya lagi".
Tiga daripada tujuh anaknya dipelihara oleh Josef dan Rosemarie selepas mereka 'ditinggalkan' di depan rumah bersama "nota dari Elisabeth yang menyatakan dia tidak mampu menjaga mereka".
Tiga lagi anaknya termasuk yang berusia 19 dan 18 tahun serta seorang lagi, lima tahun tinggal bersama Elisabeth di bilik bawah tanah sementara seorang lagi mati ketika lahir.
Kes ini hanya diketahui ramai setelah salah seorang dari anaknya sakit tenat dan terpaksa dibawa ke hospital pada minggu lepas. Josef kemudiannya memberitahu pihak hospital remaja berusia 19 tahun ini dijumpai pengsan di hadapan rumahnya.
Doktor kemudiannya meminta supaya ibu remaja ini dibawa ke hospital bagi mendapatkan sejarah perubatannya.
Josef membawa Elisabeth bersama dua anaknya keluar dan memberitahu isterinya "anak mereka telah pulang".
Polis yang berasa sangsi tentang penjelasan Josef kemudiannya menyoal siasat Elisabeth dan selepas memberi jaminan dia tidak akan dihantar pulang, dia mula mendedahkan mengenai penderitaannya itu.
Kesemua anak Josef bersama Elisabeth, Rosemarie dan Elisabeth sendiri kini diberikan sesi kaunseling psikologi dan sampel DNA mereka telah diambil untuk dianalisis.
Ihsan - Reuters, Misteri wanita hamba seks bapa di Austria terjawab (Utusan Malaysia)
0 comments:
Post a Comment