Sunday, February 7, 2010

Serangan 8 ekor anjing, ada yg menggigit


Salam. Memang meletihkan apabila mengadap laptop demi menyiapkan suntingan video untuk projek terbaru aku. Berbekalkan segelas horlick panas juga gagal menghalang mata lesu untuk meneruskan projek separuh siap itu. Akhirnya aku kalah, jam 2.00 pagi aku bergegas bangun menutup suis lampu dan kipas. Lantas aku meluru ke bilik tidur demi menunaikan fitrah manusia iaitu tidur agar tubuh, mata dan minda dapat berehat seketika selepas letih bekerja.
Ketika berbaring di katil, cukup pantas mataku terlelap. Sedar-sedar, tubuhku mengimbangi langkahan pantas kaki. Aduh, kemana pulak destinasiku, sedarku tidak ada perancangan dalam masa terdekat untuk bergerak keluar dari rumah. Aku amati persekitaran, perjalananku ini aneh sekali dimana laluannya begitu asing dan langsung tidak nampak kelibat manusia.
Kakiku terus melangkah sehinggalah tiba di suatu laluan yang sunyi, aku terkejut bukan kepalang kerana yang menyambutku bukanlah sapaan manis insan budiman tetapi kumpulan anjing-anjing berwajah bengis. Difikiranku cuma terdetik, bagaimana harus aku mempertahankan diri dan kepada siapa patut aku meminta pertolongan sedangkan bayang manusia pun tak nampak. Dalam suasana hampir gelap itu, aku dapati tak kurang 5 ekor anjing sedia menyerang diriku. Takut dan terkejut usah cakaplah, tapi aku harus bersedia mempertahankan diri.
Tepat telahan aku, kumpulan anjing mula menyerang, pantas dan ganas. Aku mempertahankan diri sebaik mungkin. Menepis, mengelak dan sesekali menendang balas dengan harapan kumpulan anjing tersebut berputus asa dan berhenti menyerang diriku. Jelas, kumpalan anjing makin galak mengasak berselang-seli dan hingga kini aku masih lagi mampu mempertahankan diri. Hairan dari mana datangnya kekuatan dalam diriku untuk bertahan dalam tempoh yang lama malah sesekali mampu menyerang balas terhadap anjing-anjing tersebut. Degup jantung makin laju dan takut jangan ditanyalah, bimbang betul andai digigit anjing. Tak pasal-pasal kena samak, mungkin luka parah atau paling membimbangkan penyakit anjing gila pula menyinggah.
Kini pasti kumpulan anjing yang menyerangku sebenarnya melebihi jangkaanku. Bukan 5 ekor tapi 7 ekor kesemuanya. Ya sah. Kebanyakan anjing tersebut bertompok dan berbagai warna. Ketika aku bergolek ke tanah untuk mengelak terkaman anjing-anjing tersebut, tanganku tercapai suatu benda. Pantas aku angkat dan perhatikan, ahhhh, span yang digulung seakan bantal panjang. Mahu tak mahu, aku gunakan juga batang span ini untuk mempertahankan diri, itu saja yang ada. Apapun berguna juga batang span ini biarpun lembut dan gagal mencederakan anjing-anjing itu. Dengan batang span itu aku memukul anjing dengan harapan menghalang gigitan sampai ketubuhku.
Bagaikan tak kenal erti putus asa dan letih, kumpulan anjing terus menyerang diriku. Tanpa sedar muncul seekor lagi anjing berbulu putih. Sah, aku berhadapan dengan 8 ekor anjing ketika ini. Kedudukan mereka pula mengelilingi aku seolah-olah mengepung supaya tiada ruang untuk aku melarikan diri. Anjing putih yang muncul tiba-tiba terus menyerang aku. Kali pertama serangannya berjaya kutepis, kemudian diselang-seli serangan oleh anjing-anjing yang lain. Munculnya tiba-tiba membantu kumpulan anjing yang lain meninggalkan kesan psikologi negatif terhadap aku apatah lagi kudratku makin lemah ketika ini. Walaupun serangan dari 7 ekor anjing yang lain tidak sukar untuk aku patahkan, tetapi ancaman anjing putih cukup merbahaya, serangannya padu dan bijak mengunakan ruang.
Akhirnya aku tewas ketika mempertahankan diri. Batang span yang aku gunakan untuk memukul anjing-anjing ini tampak terlalu lembut untuk mencederakan anjing, malah terkulai-kulai bila terpukul ke badan anjing. Disuatu peluang, anjing putih menyerang pantas, batang span yang aku hayun ke arahnya selamba diredahnya lalu terus menggigit lenganku. Nasibku baik sebab gigitannya terlepas, mungkin gigitannya tidak cukup tepat untuk terus membaham dan menjatuhkan aku. Anehnya dengan lengan cedera digigit anjing tersebut, aku tidak merasai kesakitan. Ya sedikit kesakitan pun aku tak rasa. Kumpulan anjing ini terus menyerang. Aku tewas sekali lagi, anjing putih cukup gagah. Kali kedua, ia berjaya menggigit lenganku, juga ditempat yang sama. Aku yang cedera digigit lagi masih tak merasai sebarang kesakitan ditempat luka. Aneh bukan. Ketika memikirkan kenapa aku tidak merasai kesakitan digigit anjing putih, barulah aku sedar. Aku bermimpi rupanya.
Dipendekkan cerita. Selang seminggu aku mimpikan perkara yang sama lagi. Bezanya kali ini aku diserang cuma 3 ekor anjing. Salah seekornya berbulu putih tetap berjaya menggigit aku ketika seberapa dayaku cuba mengelak. Memang sangat mendebar dan menakutkan.
Mimpi ini hampir sebulan berlalu tapi sukar untuk aku lupakan. Asyik ingat dan tertanya-tanya adakah membawa apa-apa petanda. Aku cuba dapatkan maksud mimpi di internet. Aku masukkan kata kunci “mimpi digigit anjing” di enjin carian google. Nah, berjela-jela telahan makna mimpi muncul sesuai dengan kata kunci. Satu yang menariknya, mimpiku memberi peringatan agar aku berwaspada.
Kebetulan 2 hari lalu, kediamanku dipecah masuk pencuri. Ini bukanlah kali pertama dipecah masuk, bulan yang sama pada tahun lalu juga berlaku kejadian serupa. Apapun aku bersyukur kerana ahli keluargaku tidak dicederakan. Cumanya letih membaiki semula pintu rumah dan mengemas. Malah tiada barang berharga dicuri. Mana taknya, memang tiada barang berharga pun. Bergaji kecil di bandar, apalah yang mampu aku kumpulkan untuk bermewah-mewah.
Ketika ini juga fikiranku masih lagi ligat memikirkan tentang kejadian pecah masuk rumah, kaitan dengan mimpi buruk, perasaan tak sedap hati dan macam-macam lagi. Inilah life, tak semuanya boleh dirancang. Aku percaya musibah yang diturunkan adalah ujian Allah untuk hambanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...