Friday, November 9, 2007

Pembangunan ketenteraan Iran

Pembangunan ketenteraan Iran: Kesilapan dasar luar Amerika?
Ihsan : Wan Abdul Latif Wan Muda

Usaha berdikari Iran di bidang ketenteraan mula menampakkan kejayaan dengan menghasilkan kelengkapan untuk hampir kesemua cabang perkhidmatan angkatan bersenjatanya.

Usaha yang sudah dirintis hampir dua dekad itu memberi gambaran baik terhadap pengukuhan republik itu dari segi menyediakan terknologi sesuai dan pelbagai kelengkapan yang dapat memenuhi keperluan tentera udara, darat dan laut.
Sehingga kini kelengkapan yang dikeluarkan termasuklah peluru berpandu darat ke udara Shahab Thageb, pelancar roket berganda FAJR-3, sistem komunikasi, kereta kebal dan perisai, artileri, peluru meriam, senjata anti-kereta kebal, mortar serta kapal perang dan bot.
Dalam konteks pembuatan pesawat, industrinya sudah dimulakan hampir lapan dekad setengah lalu menerusi Iran Aircraft Manufacturing Industries Company (Hesa) yang lokasinya 28 kilometer dari Bandar Isfahan.
Menerusi kerjasama dengan syarikat asing dari Ukraine, pesawat penumpang 52 tempat duduk dikenali Iran-140 berjaya dikeluarkan. Sejak pertengahan 90-an, kajian terus dilakukan bagi menghasilkan pesawat untuk pertahanan termasuk kegunaan maritim bagi tujuan rondaan laut.
Pada 2004 prototaip Iran 140 M berjaya dihasilkan dan masih diuji untuk memenuhi piawaian eskport.
Untuk jenis pertahanan dan menyerang, pesawat Shagheb dibangunkan. Sekalipun bentuknya tidak aerodinamik sebagaimana pesawat pejuang genarasi keempat Barat seperti Raptor, Rafale dan Eurofighter, tetapi kemampuannya mampu mencabar keupayaan taktikal sesetengah pesawat.
Teheran mendakwa, Sagheh mampu mencabar pesawat F-16, generasi keempat buatan Amerika.
Sagheh boleh melancarkan roket serta menggugurkan bom seberat 900 kilogram kawalan jauh yang mengguna teknologi laser. Selain itu pesawat turut dilengkapi radar terkini. Sukar dipastikan sama ada pesawat ini dimodifikasi atau versi import yang dilakukan perubahan.
senjata antipesawat
Kebelakangan ini beberapa perkembangan muncul apabila Iran mempamerkan perolehan baru senjata antipesawat dan antikereta kebal yang mempunyai sistem pandu arah lebih tepat serta keupayaan jarak berkesan memusnah sasaran. Selain itu terdapat pesawat unik yang dapat melakukan manuver beberapa meter dari paras laut dikenali pesawat hidra (hydra plane). Pada 2004 Kementerian Pertahanan pernah mengumumkan kejayaan menghasilkan sejenis peluru berpandu yang boleh mengelak dikesan oleh radar pengesan elektronik.
Peluru berpandu tersebut dinamakan Kausar yang mampu mencari sasaran menggunakan sistem imej terutama kapal serta pesawat yang sedang bergerak. Peluru berpandu tersebut tergolong jenis jarak dekat yang direka khas untuk dilancar dari bot laju dan helikopter. Sementara itu jenis peluru berpandu yang terdapat dalam inventori ialah Hab-3 yang boleh mengenai sasaran sejauh 1300 km. Jarak sejauh ini menimbulkan kebimbangan tercetus konflik kerana boleh sampai sasaran di Israel.
Kebimbangan Tel Aviv kian meningkat apabila Teheran mengumumkan untuk membangunkan program pengkayaan uranium sehingga perang psikologi dilancarkan oleh media massa bagi membina 'ketakutan' tentang ancaman yang boleh ditimbulkan bahawa Iran sedang bersiap-sedia membangunkan senjata nuklear.
Menerusi serangan psikologi awal ini Israel berusaha membina landasan kukuh menarik fokus Amerika seterusnya dapat mempengaruhi pendirian sekutu utamanya di Eropah tentang bahaya dan ancaman sebenar yang mampu dilakukan Iran.
Israel mahu Iran diserang
Israel mahukan tapak loji di Busher dan Natanz diserang selain infrastruktur berkaitan yang dapat membantu pembangunan senjata nuklear turut dimusnahkan.
Ditinjau aspek kemajuan, apakah faktor yang mendorong penghasilan kelengkapan ketenteraan?
Pada dekad 80-an kedudukan Iran adalah kritikal selepas Iraq melancar perang. Inventori bekalan senjata hampir habis apabila negara Barat yang diketuai Amerika menyokong kempen perang Iraq dan mengenakan pelbagai sekatan mandatori. Harapan Washington, menerusi dasar pemencilan Teheran akan lemah kerana kekurangan rakan diplomatik dan pemencilan di kalangan negara-negara serantau, sedangkan kedudukannya adalah strategik di pintu masuk Selat Hormuz di Teluk Parsi-tempat laluan lebih 60 peratus bekalan minyak dunia. Semasa tempoh sukar tersebut langkah diambil memulakan rancangan berdikari.
Teheran terpaksa menukar strategi pada pertengahan 80-an dengan menggunakan "ombak tentera" iaitu mengerah bilangan yang ramai dalam satu-satu misi. Kelemahan Iran juga ketara apabila Iraq melancarkan perang antara kota kerana ia memiliki bekalan peluru berpandu terlalu sedikit untuk membalas serangan Iraq yang dilakukan terhadap bandar-bandar. Dalam tempoh tujuh minggu pada 1988 daripada 1,500 peluru berpandu yang dilancarkan, 70 peratus adalah oleh Iraq.
Semasa kesukaran ini Teheran mengambil peluang menjalinkan kerjasama dengan Rusia. Sepanjang 1988-1991 perbelanjaan mendapatkan senjata Rusia berjumlah AS$4,800 juta selain AS$4,500 juta dari China.
China terbabit melatih juruteknik untuk mengeluar peluru berpandu Scud B dan Frog (free round over ground) menggunakan lesennya. Teheran menjadi pelanggan asing China pertama, seterusnya membolehkannya mengeluarkan peluru berpandu Oghab (40 km), Nazeat dan Shahin-2 berkeupayaan 100-130 kilometer.
Sejak 2004, Iran mendakwa mempunyai peluru berpandu yang boleh dilancarkan ke sasaran mencecah 2000 kilometer sekali gus menambahkan kekuatan ketenteraannya. Jarak sejauh itu boleh ditujukan terhadap Israel dan kawasan tenggara Eropah. Teheran menegaskan, peluru berpandu tersebut hanya untuk pertahanan dan akan digunakan untuk membalas serangan terhadap kemudahan nuklearnya.
Peluru berpandu Shahab 3 (tahi bintang dalam bahasa Parsi) dengan kemampuan jarak 1300 kilometer membolehkan mengenai mana-mana kawasan Israel. Jarak ini juga turut mengancam pangkalan tentera Amerika yang bertaburan di Asia Barat.
program tenaga nuklear
Shahab 3 diumumkan untuk pertama kali ketika kemelut perang mulut Iran-Israel semasa berdepan tekanan antarabangsa memuncak berhubung program tenaga nuklearnya. Peluru berpandu tersebut sudah diuji sejak 1999 dan boleh dilancar dari tapak kawasan pedalaman menerusi pelancar mudah alih. Pelancar mudah alih memberi kelebihan kerana mobilitinya dapat diubah-ubah walaupun mampu dikesan melalui debu atau asap ditempat pelancarannya.
Pada 2006 satu lagi peluru berpandu berjaya diuji dengan kebolehan mengelak radar dan mengenai beberapa sasaran serentak menggunakan kepala peledak berganda. Peluru berpandu Fajr-3 atau "Kemenangan" boleh sampai ke Israel dan pangkalan tentera Amerika di Timur Tengah.
Apa-apa pun kemajuan yang dicapai, kecenderungan masih mengarah kepada sokongan yang diberikan oleh China dan Korea Utara sebagaimana sering didakwa Barat. Misalnya enjin Shahab 3 dibeli dari Korea Utara melepasi ujian, tetapi ujian membabitkan enjin buatan Iran menggunakan teknologi Pyongyang gagal.
Shahab 3 dikaitkan versi peluru berpandu Nodong-1 Korea Utara tetapi diperbaiki menggunakan teknologi Rusia. Negara tersebut menyediakan kemudahan terowong angin yang menjadi komponen penting untuk pengilangan peluru berpandu.
Terdapat juga ura-ura Korea Utara akan mengeksport peluru berpandu jarak jauh Taepongdong 2 (6,000 kilometer) kepada Iran dan bekerjasama membangunkan kepala peledak (warhead) peluru berpandu dengan Pyongyang. Komponen kelengkapan Taepongdong 2 yang dieksport dipasang di kilang berdekatan Teheran.
Sehingga ini Iran dikaitkan dengan bantuan Rusia untuk menghasilkan peluru berpandu Shahab 4 yang berupaya ke sasaran 2,000 km.
Bagi versi jarak dekat Fateh A-110 dikatakan dibangunkan bersama China. Peluru berpandu ini menggunakan roket yang dijana oleh minyak sepenuhnya berkeupayaan ke sasaran 110 kilometer berasaskan model peluru berpandu DF-11A China yang memiliki kemampuan sehingga 400 kilometer. Sejenis lagi yang turut digerakkan oleh bahan api petroleum ialah Zelzal-2 yang jaraknya mencapai 200 kilometer.
peluru berpandu
Terdapat penilaian tersendiri yang diberikan tentang usaha membangunkan peluru berpandu. Permulaannya, peluru berpandu dibeli dari Rusia dan mengkajinya sehingga menghasilkannya sendiri senjata yang dikenali Shahab 1. Dengan ketinggian 10 meter peluru berpandu ini boleh menghantar kepala peledak satu tan sejauh 320 km. Kajian lanjutan dibuat untuk membolehkannya mencapai jarak sehingga 400 km menerusi ujian sepanjang 1994, 1999 dan 2001.
Bukan sekadar itu, usaha digandakan untuk menghasilkan keluarga peluru berpandu baru dan lebih berkuasa yang dipanggil Shahab 3 berasaskan model Korea Utara. Wujud pandangan lain, usaha bersungguh-sungguh menghasilkan peluru berpandu yang cukup berkuasa bertujuan melancar satelit ke angkasa atau kepala peledak antara benua. Sama ada membina angkatan roket, membeli atau membina satelit, negara tersebut menerima bantuan teknikal bukan sahaja dari China dan Rusia bahkan India, Itali dan Korea Utara. Sehingga kini hanya Israel sahaja di Asia Barat yang mampu melancar satelit ke orbit.
Untuk mengesahkan kemampuan sebenar, fokus diberikan kepada latihan tentera dengan meneliti dan menganalisa formasi, koordinasi, strategi dan senjata yang digunakan. Lebih khusus perhatian ditumpukan terhadap peluru berpandu yang digunakan sebagaimana latihan pada Januari lalu untuk penelitian lebih rapat kemajuan yang dicapai industri senjata Iran.
Dalam beberapa latihan tentera Pengawal Revolusi memberi penekanan kepada atur gerak serangan peluru berpandu untuk menguji keberkesanannya menerusi siri latihan sejak kebelakangan ini. Amerika percaya Teheran melancarkan perang psikologi dengan melebih-lebihkan kemampuan sebenar peluru berpandu jarak dekat seperti Zelzal, Fajr-3 dan Fajr-5 yang dikatakan mempunyai kemampuan mengelak radar dan kepala peledak berbilang.
Sehubungan itu latihan dan ujian peluru berpandu Iran, data berterusan dikumpul menerusi perkhidmatan pelantar perisikan kapal terbang, UAV dan satelit. Israel pula memperkemas kemampuan dengan menguji sistem penangkis peluru berpandu Arrow yang dibiayai lebih 90 peratus perbendaharaan Amerika.
Sekiranya sistem mencapai tahap dikehendaki bererti Israel menjadi satu-satunya negara yang menggabungkan dua sistem peluru berpandu penangkis: Patriot dan Arrow dalam doktrin pertahanan siap sedia! Sejak pentadbiran Bill Clinton lagi sudah dijanjikan perkongsian maklumat yang diperoleh oleh satelit, bahkan dalam isu yang dianggap 'remeh' ketika itu untuk menyediakan perisai perlindungan daripada serangan roket Hizbullah.
Dalam kaitan keseluruhan terdapat pandangan berlawanan dengan dakwaan Menteri Pertahanan Iran, Ali Samkhani yang disiarkan pada 2002 pernah menyatakan 'Iran mampu membangunkan apa-apa saja dan tidak memerlukan bantuan sumber asing seperti China dan Rusia'.
China telah beberapa kali diminta Amerika menghentikan kerjasama dengan negara yang disenaraikan Jabatan Negara "negara jahat" kerana kebimbangan perolehan teknologi dan kelengkapan yang akan mengancam mereka.
Menerusi gambaran secara umum, persediaan dilakukan Teheran adalah melengkapkan sistem pertahanan demi menjaga keselamatan yang pastinya sukar sekiranya terus bergantung kepada pihak lain. Akses keselamatan adalah maruah dan sekalipun masih banyak kekurangan, usaha terus digandakan untuk mempertingkat perolehan dan keupayaan. Peningkatan usaha ini merisaukan bukan sahaja Amerika bahkan Israel yang melancarkan pelbagai lobi memburuk-burukkan Iran.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...