Thursday, June 5, 2008

Trip bercuti - pancing ikan haruan

Sempena cuti sekolah selama 2 minggu ini, kesempatan diambil untuk pulang ke kampung menziarahi orang tua. Pada awal cuti, saya dan isteri pulang ke kampung di Besut, Terengganu. Oleh kerana lama tidak pulang ke kampung, kami singah 2 hari 1 malam di Kuala Terengganu. Sempat jugalah bersiar-siar sekitar KT, cuci mata sambil membeli-belah. Tak lupa ambil angin sekitar pantai Batu Buruk sambil menikmati makan petang yang boleh didapati di gerai-gerai sekitar jalan pantai batu buruk. 2 hari berlalu, kami pulang ke Besut. Dapatlah melawat saudara mara yang dah lama tak berjumpa. Hah, Besut juga menarik. Kuala Besut terdapat sebuah jeti penumpang yang ingin berkunjung ke Pulau Perhentian. Mesti pergi bagi mereka yang belum pernah berkunjung ke sana.
Bestnya kat Kuala Besut adalah makan malam di kedai makan yang terdapat di sana. Bukannya kat tempat lain tak sedap, tapi kitorang rasa kat sini ada kelainan. Mesti makan ikan bakar kalau singgah sini. 3 hari kat Besut, kami bertolak ke kampung kelahiran saya saya di negeri Kedah. Negeri jelapang padi, maka kampung saya iaitu Kg Kubu, Bdr Baharu juga latar belakang ekonominya adalah bersawah. Nun luas terbentang petak-petak bendang seluas mata memandang.
Belumpun sampai ke kampung, macam-macam dok plan dalam kepala apa nak buat sepanjang bercuti. Yang pasti tiap-taip kali pulang ke Kg Kubu ini, saya ambil kesempatan untuk memancing ikan. Ingat zaman kecil dulu, saya, adik-adik dan rakan-rakan menangkap ikan sama ada dalam petak sawah, parit tali air atau sungai Kerian. Macam-macam kaedah digunakan asal minat dan rajin. Antara kaedah yang digunakan ialah pancing joran buluh, pancing taut, pancing rawai, pancing gewang, tahan bubu atau lukah, serampang, tahan pukat, tebar jala, menimba telaga atau bahagian-bahagian parit dan macam-macam lagi kaedah. Yelah, 25 tahun dulu masih kecil di bangku sekolah, ada peluang saja terus jadi. Dalam kelas pun sempat berpakat dan bincang sesama rakan tentang port-port baik untuk menangkap ikan. Time petang saja, ada saja kolam atau kubang yang jadi tempat kami menangkap ikan. Loni dah masuk dewasa, macam-macam kekangan nak melayan hobi yang satu ni.
Tu semua dah lama berlalu, loni ikan dah kurang. Kaedah tanaman padi secara moden dan penggunaan racun tanaman menyebabkan ikan yang suatu ketika dulu banyak dan saiz besar-besar kini hilang dan pupus. Lupa pulak, antara ikan yang biasa ditangkap adalah ikan haruan, keli, sepat, puyu, baung, toman, kelubi (hantu), teruboi, lampam, bujuk, kaloi dan udang galah.
Hah, kebetulan balik kampung kali ini, ingin saya papar pengalaman saya menangkap ikan menggunakan taut. Kita perlu mencari buluh sepanjang sedepa dan dipasang tali+kail. Seeloknya buluh hijau (matang) yang lurus. Ikatkan kail pada tali tangsi dengan kukuh. Tali tadi biarlah sepanjang 60cm setelah dipasang pada buluh. Tu saja caranya, biasanya saya akan sediakan 10 batang taut sekurang-kurangnya.
Cuti baru-baru ini, 3 malam saya memasang taut pada waktu malam. Bermula jam 6.30 petang, saya pasangkan taut di tebing parit tali air berhampiran rumah orang tua saya. Umpan yang digunakan adalah anak ikan puyu dan sepat. Ini kerana sasaran saya adalah untuk mendaratkan ikan haruan 'king size' kalau dapat. Kita juga boleh menggunakan umpan cacing jika sasaran kita ikan keli dan haruan kecil, umpan katak juga boleh digunakan. Setiap 2 jam saya akan memeriksa taut saya untuk melihat kalau-kalau taut dah dimakan ikan haruan. Nah, 3 malam menahan taut, saya berjaya memperolehi 10 ekor haruan (malam 1), 3 ekor haruan (malam 2) dan 8 ekor haruan (malam 3). Yang bestnya, ikan haruan yang berjaya ditangkap adalah pelbagai saiz, ada kecil dan besar. Malah seekor ikan haruan yang berjaya ditangkap adalah gred king size. Rasa puas dapat mendaratkan ikan haruan.
Saya juga sempat memancing ikan puyu selama 2 petang. Hasilnya banyak juga tapi tak teruja macam tangkap ikan haruan sebab ikan puyu saiznya kecil. Rumah orang tua saya yang dikelilingi bendang membolehkan saya menahan bubu dawai yang boleh dibeli di pekan Parit Buntar. Memang setiap kali balik kampung saya pasti menahan bubu untuk merasa makan ikan darat. Hasil ikan yang diperolehi dengan menahan bubu akan dibuat lauk (masak) dan juga umpan taut bagi ikan bersaiz kecil.
Antara masakan kegemaran saya adalah gulai, masak sambal, masak lemak cili padi dan goreng rangup. Hah, sedap bila dibayangkan masakan ibu.

Cerita menumpaskan ikan haruan siri 2, klik sini.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...