Wednesday, May 7, 2008

Taufan Nargis; Pokok selamatkan mangsa

Penduduk merayu pasukan antarabangsa memberi bantuan segera.

MyanmarYANGON: Helikopter tentera digunakan untuk menghantar makanan dan air minuman kepada mangsa taufan Nargis di delta Irrawaddy, Myanmar.
Seluruh kampung di kawasan berkenaan dilaporkan musnah akibat bencana alam berkenaan. Ketika operasi bantuan oleh tentera dimulakan, rakaman televisyen Myanmar menunjukkan penduduk yang terselamat berbaris untuk dibawa dengan menaiki helikopter keluar dari perkampungan mereka yang teruk dilanda bencana itu.

Penyakit, kelaparan dan kekurangan air menjadi ancaman baru kepada beratus ribu penduduk yang terselamat dari Taufan Nargis, kata agensi bantuan. Ada laporan menyatakan 60,000 dikhuatiri maut kerana Nargis. Seorang doktor di Labutta, bandar di delta Irrawaddy berkata, penduduk kampung memaklumkan kepadanya beribu-ribu orang mati selepas satu siri gelombang kuat memusnahkan rumah mereka.

Penduduk terpaksa berpaut pada pokok untuk menyelamatkan diri masing-masing.
“Semua mangsa dibawa ke Labutta dan saya bertanyakan kepada mereka, ‘Berapa ramai antara anda yang selamat?’ dan mereka berkata kira-kira 200 hingga 300,” kata Aye Kyi kepada radio Perbadanan Penyiaran Australia.
“Saya kemudian bertanyakan mereka, ‘Berapa ramai penduduk di kawasan anda?’ Mereka menjawab kira-kira 5,000 orang. Gelombang berkenaan setinggi 12, 13 hingga 20 kaki dan apabila rumah dipenuhi air mereka duduk di atas bumbung tetapi rumah berkenaan musnah akibat angin kencang,” katanya.
Di Bogalay saja, sekurang-kurangnya 10,000 terbunuh, kata kerajaan tentera dalam senarai kemusnahan dan kematian mengikut bandar.

Penduduk menggesa pemerintah tentera Myanmar membuka pintu kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa berikutan beratus ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di kawasan tenggara delta berkenaan selepas bencana hujung minggu lalu.
Pada satu sidang media kelmarin, Menteri Penerangan, Kyaw Hsan merayu bantuan dan mengatakan kerajaan perlukan kerjasama dengan penduduk dan pihak tertentu dari dalam dan luar negara.
Kerajaan tentera berkata, hampir 22,500 penduduk terbunuh dan 41,000 yang lain hilang dalam kejadian taufan paling buruk di Asia selepas kejadian yang melanda pada 1991, apabila sekurang-kurangnya 143,000 penduduk terbunuh selepas satu kejadian taufan melanda Bangladesh.
Ihsan- Reuters & Berita Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...