Tuesday, April 15, 2008

Kami tidak takut - Iran

TEHERAN 15 April - Iran akan "menghapuskan Israel daripada arena global" jika diserang oleh rejim Yahudi itu.

Timbalan komander tentera Iran, Mohammad Reza Ashtiani memberi amaran keras itu hari ini ketika perang mulut antara kedua- dua negara musuh itu semakin sengit.

"Kami tidak takut dengan tindak- tanduk Israel, tetapi jika Israel melancarkan serangan ke atas Republik Islam Iran, kami akan menghapuskannya daripada arena global," kata Mohammad menurut laporan agensi berita Mehr.

Kenyataan beliau disiarkan seminggu selepas Menteri Infrastruktur Negara Israel, Benjamin Ben-Eliezer memberi amaran, sebarang serangan Iran ke atas Israel "akan membawa kepada kemusnahan negara Iran."

Mohammad bercakap pada satu sidang media menjelang Hari Angkatan Tentera Kebangsaan Iran pada Rabu ini apabila perarakan besar-besaran tentera dijadual berlangsung di ibu negara.

"Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad, kami mempunyai semangat yang tinggi untuk mempertahankan sempadan negara kami," ujar beliau.

Israel minggu lepas mengadakan latihan ketenteraan lima hari diberi nama Turning Point, dengan melancarkan serangan udara dan peluru berpandu olok-olok ke atas bandar-bandar, termasuk dengan senjata bukan konvensional.

Latihan itu mencetuskan perasaan cemas di negara jiran, Lebanon di mana pergerakan Syiah, Hizbullah mendapat sokongan padu Teheran.
Ihsan- AFP & Utusan Malaysia

2 comments:

syah said...
This comment has been removed by the author.
syah said...
This comment has been removed by the author.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...