Wednesday, January 21, 2009

Menumpaskan ikan haruan - siri 2




(Klik gambar untuk besarkan imej)

Salam sejahtera kepada pembaca. Ingin aku berkongsi sedikit pengalamanku menangkap ikan air tawar atau di utara tanah air lebih dikenali ikan darat. Yang pasti ikan ini bukan tinggal di atas darat seperti namanya. Ikan ini boleh dijumpai di sungai, parit, alur, telaga, bendang (petak sawah), kubang atau lopak air yang pernah bersambungan dengan sumber air.

Setiap kita memiliki pengalaman sendiri mengenai hobi menangkap ikan. Malah ramai di luar sana menyimpan pengalaman yang lebih menarik atau memperolehi ikan yang lebih banyak atau lebih besar. Ada yang memancing, menahan lukah/ tembila/ bubu, mengagau, menahan taut (tajur), menjala, menahan jaring/pelompat, menimba telaga/parit untuk mendapatkan ikan air tawar ini. Kaedah-kaedah ini pernah aku lakukan suatu ketika dulu. Maklumlah orang kampung.

Aku sejak kecil lagi memang menjadi hobi menangkap ikan air tawar ini. Kebetulan kiri, kanan, depan dan belakang rumah orang tuaku dikelilingi sawah padi yang terbentang luas. Maklumlah negeri jelapang padi. Ikan sepat ronggeng, sepat benua (siam), puyu, teruboi, selat (belida), keli kayu, keli bunga, haruan, bujuk menjadi buruanku suatu ketika dulu. Ikan-ikan ini banyak terdapat di dalam parit dan petak sawah di sekeliling rumahku.

Bayangkan jika hujan lebat dan air naik paras buku lali (banjir) di halaman rumah. Rumah orang tuaku seperti rumah orang kedah yang lain, rumah kayu bertiang tinggi. Tinggi lantai dari tapak rumah lebih kurang 7 kaki. Musim hujan petak sawah dipenuhi air menyebabkan ikan-ikan berpesta besar menjelajah pelusuk sudut air.

Kami adik beradik pernah beberapa musim memancing ikan-ikan seperti di atas cuma dari tangga, muka pintu atau muka tingkap. Joran buluh disediakan pelbagai saiz panjang antara 5 kaki hingga 13 kaki boleh dihulurkan dari bawah rumah hingga ke halaman rumah ketika air naik. Biasanya air hujan yang membanjiri tapak rumah adalah jernih maka jelas kelihatan ikan-ikan ini. Joran yang dipasang tali antara sedepa hingga 2 depa dan diikat kail pelbagai saiz bergantung ikan yang ingin dipancing boleh dihulur terus ke mulut ikan, maklumlah nampah jelas depan mata. Ikan-ikan ini macam kita manusia juga, bila hujan dan sejuk mudah lapar. Hulur saja joran terus disentap ikan-ikan ini. Dulu-dulu kami sediakan hingga 10 set joran mengikut saiz panjang. Saiz kail boleh ditukar bila-bila masa sebab kami pasang kili.

Ikan-ikan air tawar ini tidak memilih umpan, paling senang pancing adalah ikan puyu. Macam-macam umpan dia makan. Antaranya belalang, cengkerik, pepatung, udang kecil, anak ikan, anak kerengga, anak tebuan, ulat pokok nipah, ulat sagu dan cacing.

Dulu-dulu kami sediakan umpan tradisional seperti anak haruan berusia kurang sebulan yang diperam dengan garam dan asam keping. Lagi lama peram lagi suka ikan-ikan ini. Kami gunakan jaring untuk menyauk kumpulan anak ikan haruan ini. Masukkan dalam bekas, kemudian letakkan garam dan asam keping. Biarkan sekurang-kurangnya 4 hari. Cukup tempoh, letakkan pada mata kail dan hulur ke dalam sawah atau parit. Cukup mudah untuk kita mendapat ikan puyu, keli, haruan, bujuk dan selat. Bagi ikan keli, umpan kegemarannya cacing dan cenggerik. Ikan haruan dan bujuk suka umpan anak ikan, cacing, cengkerik dan katak minyak/kembung. Ikan sepat suka cacing liar+minyak masak.

Sepetang memancing ikan, kadang- kadang boleh dapat sampai 120 ekor ikan puyu pelbagai saiz.

Paling best dan matlamat sebenar aku nak cerita adalah pancing ikan haruan. Ye la, ikan ni boleh membesar sehingga saiznya melepasi 2 digit timbangan kilogram. Pelbagai cara memperolehinya, antaranya menahan taut (tajur), memancing, mengelau, mengagau, menjala, dan memukat. Kaedah paling kerap aku gunakan untuk menumpaskan haruan adalah menahan taut. Senang sebab dipasang di tebing parit atau batas sawah pada sebelah malam berumpankan anak ikan puyu atau sepat. Taut yang dibuat daripada buluh menyerupai pancing tetapi lebih pendek (sedepa) dan dipasang tali dan kail agak besar sebab haruan bermulut besar.

Ikan haruan aktif pada waktu malam terutamanya yang bersaiz besar. Sebilangan orang-orang lama di kampung aku sehingga sekarang suka mengelau ikan haruan pada sebelah malam berumpankan anak katak dengan joran melebihi 12 kaki. Tali yang dipasang pada joran juga agak panjang dan saiz mata kail adalah besar. Caranya dengan menguncat-uncat umpan anak katak minyak dengan tujuan menarik haruan menyambar umpan di lokasi/lubuk ikan haruan.

Berbalik kaedah taut tadi, selepas dipasang di tebing parit atau batas sawah sebelum maghrib, kami tinggalkan taut yang berumpan tadi dan pulang ke rumah. Setiap 2 jam kami berlampukan torchlight atau pelita ayam akan menyuluh dan memeriksa setiap taut. Ketika inilah hasil yang pelbagai saiz tumpas dan keletihan meronta pada taut yang dipacak di tebing. Kalau dapat port/lubuk yang belum diteroka orang lain, hasilnya lumayan. Penuhlah uncang jaring dengan ikan haruan. Haruan king size juga boleh tumpas dengan kaedah ini.

Dengan memeriksa taut setiap 2 jam sekali dapat mengelak ikan ini lemah lalu mati, terbelit pada semak di dalam parit dan mungkin juga terlepas disebabkan bibir mulutnya pecah akibat rontaan kuat dalam tempoh yang lama. Biasanya semalaman kita boleh memeriksa taut sebanyak 3 kali dan sekali lagi selepas subuh. Setiap kali memeriksa taut juga kita akan menggantikan umpan yang habis disambar ikan. Seeloknya umpan dibiarkan hidup dan berenang digigi air sebab cara ini menarik haruan menyambar umpan.

Pernah suatu malam aku memperolehi haruan melebihi 30 ekor. Macam-macam saiz ada. Tempat kurungan ikan ini juga kena kukuh, sebab pengalaman aku pernah berlaku bekas kurungan (baru beli) yang diperbuat dari kayu dilapik plastik layar biru pecah dek tumbukan dan rontaan ikan-ikan bersaiz besar pada waktu malam. Malam harinya gembira mendapat ikan haruan yang banyak dan besar-besar, paginya meleleh air liur putih mata kerna bekas kurungan pecah. Ikan-ikan ini jangan dicari atau ditanya, mereka mahir mengesan tempat berair seperti parit dan sawah setelah terlepas dari kurungan.

Sehingga penghujung tahun 2008, aku masih meneruskan hobi yang satu ini bila pulang bercuti di kampung. Tahun ini belum tahu lagi bila pulang ke kampung. Sambil berehat dan santai, layanlah hobi. Tak payah berjemur dibawah terik matahari sebab kaedah taut diaplikasikan sebelah malam saja. Siangnya, kalu letihpun sebab menahan bubu memerangkap anak ikan puyu dan sepat sebagai umpan taut. Lagi best, bubu-bubu ini dipenuhi puyu dan sepat bersaiz besar. Rezeki bakal ke dalam kuali la. Itulah sedikit cerita dan pengalaman aku.

Klik sini untuk membaca ikan haruan siri 1.
Klik sini untuk menonton video ikan haruan yg aku tumpaskan.

2 comments:

tajudin said...

ohhh bagus sungguh cerita ni, terkonang den cerita masa den kocik-kocik.

memang rasanya elok juga kita sesekali catatkan pengalaman masa kecil, budak sekarang ramai dah tak tau...

Hissham Z said...

thanks coz sudi baca. tu la masa aku kecik2 dulu. kalu musim ikan, bgn tidur smpi nak tidur balik dok ingat nak cari ikan. maklumlah hobi budak kampung, budak loni semua kearah gajet permainan elektronik ja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...