Berita yang tersebar bahawa US telah mempercepatkan pengeluaran bom pemusnah kubu bawah tanah ‘ultra besar’ GBU-57A/B untuk dipasang pada pesawat pengebomnya seawal Julai 2010 begitu membimbangkan ramai pihak. Adakah akan berlaku peperangan terbaru? Kuasa ketenteraan dunia ini cuba menghasil bom yang digelar Penembus letupan Besar (MOP- Massive Ordnance Penetrator) bagi menanggani ancaman nuklear Korea Utara dan Iran. Kesannya, bukan hanya ketiga-tiga negara ini sahaja berlumba menghasilkan keupayaan senjata tercanggih, malah negara lain juga curiga terutamanya yang memiliki sejarah konfrantasi dengan US dan blok sekutu kuasa besar yang lain.
US menghasilkan bom seberat 30000 paun (13608 kg) bukan kuasa nuklear ini masih dalam ujian dan direka untuk memusnahkan kubu bawah tanah yang jauh lebih kuat impaknya. Bom ini kelak seandainya diluluskan oleh Kongres US, akan dipasang pada pesawat pengebom kalis radar B-2 ‘Stealth’ atau B-52.
Bom ini juga adalah kesinambungan daripada generasi bom terdahulu iaitu Guided Bomb Unit 28 (GBU-28) yang seberat 5000 paun (2268kg). Generasi bom pemusnah kubu bawah tanah GBU-28 adalah lebih ringan mampu dibawa pesawat F-15 Strike Eagle dan F-111. Sejak tahun 2002 lagi Firma Northrop Grumman dan Lockheed Martin membangunan generasi bom pemusnah kubu bawah tanah yang dikenali ‘big BLU’.
Dengan ukaran 6 meter panjang, bom pemusnah kubu bawah tanah GBU_57A/B ini mampu menembusi kubu bawah tanah (konkrit padu) sehingga 200 kaki iaitu jauh lebih hebat kesan impaknya berbanding generasi terdahulu. Sesuai dengan gelaran ‘ibu segala bom’, ia direka untuk menembusi kubu konkrit dan batuan keras terlebih dahulu sebelum meletup. Senjata kawalan untuk sasaran tepat pula dibina oleh Boeing Co. Kelak bom pemusnah kubu bawah tanah ini bakal menjadi bom terbesar pernah digunakan oleh US. Sasaran dan objektif utama masa terdekat ini tentulah melenyapkan keupayaan nuklear Iran dan Korea Utara. Lebih mudah dimaksudkan adalah menyerang dan mengebom loji nuklear dan tempat simpanan senjata yang mungkin tersorok di dalam kubu bawah tanah.
Ketaksuban US mengeluarkan bom yang sebegitu canggih atas dasar memerangi musuhnya. Negara ‘Uncle Sam’ ini masih dibelenggu budaya cowboy ketika memerangi puak red indian suatu masa dulu. Ketika ini US dilihat membuli negara-negara yang enggan menerima edeologi dan tunduk kepada kemahuannya tetapi bersikap hati-hati apabila berdepan dengan Rusia, China dan India. Untuk merealisasikan dasar pertahanan atau ketenteraannya, US sering melibatkan pihak NATO agar tindakannya tidak bersendirian dan kesannya juga ditanggung antara anggota sekutunya. Begitalah yang terjadi dalam peperangan di Iraq dan Afganistan.
Kita juga tertanya-tanya tentang Sistem Perisai Peluru Berpandu US yang ingin ditempatkan di Republik Czech dan Poland. Ia sebahagian daripada sistem pertahanan yang disifatkannya sebagai perlu bagi menangkis sebarang serangan daripada negara-negara musuh US seperti Iran. Namun tindakan ini seolah-olah ‘mengejutkan beruang yang sedang tidur’. Beruang yang dimaksudkan adalah Rusia. Sistem pertahanan tersebut terlalu hampir dengan sempadan Rusia dan sekutunya malah boleh dihalakan dengan mudah andai dimasa hadapan berlaku konflik antara mereka. Reaksi Rusia adalah bantahan keras dan mengancam mengambil langkah sewajarnya untuk menangkis ancaman terhadap keselamatan negara itu.
Baru-baru ini juga, sekutu US di Asia iaitu Jepun menyatakan harapannya untuk melihat dunia bebas senjata nuklear menjelang tahun 2020. Nampak mustahil harapan ini menjadi kenyataan. Terbaru, Myanmar juga disebut-sebut ingin membina loji senjata nuklear dengan bantuan Korea Utara. Sukar untuk menyekat negara-negara lain memiliki senjata nuklear andai ada negara kuasa nuklear masih belum melupuskannya. Sikap dwistandard US menyokong banyak perkara dan tindakan negara sekutu iaitu Israel terutamanya dalam isu persenjataan, peperangan yang lalu dan isu rakyat Palestin dilihat berat sebelah. Israel juga disyaki menyimpan senjata nuklear. Hal ini sentiasa dicurigai jiran negara-negara arab yang lain. Jika satu pihak dibenarkan memiliki senjata pembunuh besar-besaran adalah mustahil jiran atau musuhnya tidak berkeinginan memiliki senjata yang sama untuk pertahanan negaranya.
Israel dikatakan memiliki 100 butir bom GBU-28 yang dibekalkan oleh US. Manakala dalam “Operasi Desert Storm’ hanya 2 butir bom GBU-28 digunakan oleh US di Iraq. Tentu kita tertanya-tanya bilakah dan dimana bom terbaru GBU-57A/B bakal digunakan nanti. Selamatkah dunia untuk diwarisi anak cucu kita nanti? Manusia diminta memakmurkan bumi tetapi berlaku sebaliknya bumi akan hancur dan musnah oleh tangan manusia sendiri.
0 comments:
Post a Comment