Monday, July 21, 2008

Beruang masuk perangkap Perhilitan

Kegelisahan penduduk berakhir semalam apabila umpan mengena

PEKAN: Kegelisahan lebih 150 penduduk Kemboja di Kampung Sekor di sini, terhadap ancaman seekor beruang matahari berakhir apabila haiwan itu memasuki perangkap, semalam. Dengan umpan nasi dan minyak masak, beruang jantan yang sebelum ini sering berkeliaran dan mengancam keselamatan penduduk memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak dua minggu lalu.

Ulasan Penulis
Memang menarik dan teruja dapat menjerat beruang. Diketahui beruang merupakan haiwan liar, ganas dan boleh menyerang manusia jika diancam. Kebiasaannya beruang keluar mencari makan pada waktu petang dan malam. Ia mempunyai habitat sendiri dan kebiasaannya jauh dari pandangan manusia atau nun jauh di pelosok hutan.

Kelmarin beruang matahari yang ditangkap adalah susulan laporan penduduk setempat yang bimbang ancaman beruang ini dan 2 ekor yang lain kerana merayau dan mencari makan sekitar kampung penempatan manusia.

Penulis beranggapan mungkin habitatnya telah diceroboh manusia, mungkin juga rantaian makanannya terputus dihabitatnya atau beruang ini sukar bersaing untuk mencari makanan akibat saingan oleh pemangsa dan beruang lain. Barangkali juga populasi haiwan ini telah bertambah maka lingkungan habitatnya makin besar demi makanan, tempat tinggal dan kawasan memburu.

Jangkaan umur beruang jantan ini antara 7 hingga 8 tahun. Pihak Perhilitan masih lagi dalam usaha menangkap 2 ekor lagi beruang di sekitar kampung yang sama. Kaedah yang digunakan untuk menangkap beruang adalah memasang perangkap. Setakat ini tiada kes beruang tersebut menyerang manusia di kampung tersebut. Beruang yang ditangkap akan dipindahkan ke Mini Zoo Perhilitan di Temerloh.

INFO: Beruang Matahari
* Beruang matahari juga dikenali beruang madu atau nama saintifiknya Herlarctos malayanus.
* Dipanggil beruang matahari kerana tompok 'U' keemasan pada dadanya.
* Spesies beruang terkecil di dunia dan berukuran kira-kira 1.2 meter panjang apabila berdiri dan berat mencecah sehingga 64 kilogram.
* Satu-satunya spesies beruang di Malaysia.
* Boleh ditemui di Hutan Hujan Tropika di Asia Tenggara, termasuk di Sabah.
* Spesies ini juga banyak dijumpai di Selatan China, Myanmar, Sumatera, Laos dan Vietnam.
* Walaupun kecil, ia liar dan berbahaya.
* Pantas memanjat dan makanan kesukaan ialah madu dan haiwan kecil seperti cicak, burung serta buah-buahan.
* Dikenali sebagai omnivor dan herbivor. Kerap menggunakan deria bau berbanding mata.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...