Thursday, July 31, 2008

AS bekal Israel sistem pengesan misil



(Sekadar gambar hiasan)

Kelmarin, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memaklumkan bahawa sekutu rapat negaranya iaitu Amerika Syarikat (AS) akan menempatkan peralatan pertahanan yang menghubungkan Israel dengan dua sistem pengesan peluru berpandu tidak lama lagi, untuk membolehkan rejim Yahudi itu menangkis sebarang kemungkinan serangan senjata nuklear dari Iran.

Rundingan pada peringkat akhir itu antaranya membincangkan keperluan untuk menaik taraf perisai peluru berpandu balistik Arrow II milik Israel.

Washington mengetuai usaha untuk menghalang program nuklear Iran menerusi sekatan dan turut menyedari ancaman Israel untuk melancarkan serangan tentera jika usaha diplomasi dirasakan menemui jalan buntu.

Barak berkata, kerajaan Israel dan AS sehaluan berhubung keperluan untuk tidak menolak sebarang pilihan dalam usaha menyekat program nuklear Iran.

Menteri itu, bagaimanapun enggan menyatakan sama ada Israel sanggup bertindak sendirian untuk melancarkan serangan ke atas Iran.

Teheran bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa negara itu mahu membina senjata nuklear dan juga berikrar untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan ke atasnya.

Begitulah tindakan negara kuasa ketenteraan uniliteral dan sekutu rapatnya membuli negara-negara Islam yang cenderung menggunakan 'Hukum Rimba'. Impaknya, 2 negara Islam iaitu Iraq dan Afganistan tumbang dan porak-peranda atas laungan membasmi senjata WMD, membasmi pengganas dan mengembalikan demokrasi untuk rakyat 2 negara tersebut. Apakah selepas ini Iran akan diserang?

Moga Kita dijauhi siri peperangan berikutnya. Kesan perang cukup besar tidak sekadar melihat rakyat negara berkenaan menderita dihujani peluru dan kemusnahan. Negara jiran, serantau dan global juga menerima impak peperangan tersebut. Berlainan ideologi dan pendekatan antara negara atau bloknya tidak harus dijadikan alasan menghalalkan peperangan.

Seorang presiden atau perdana menteri sesebuah negara yang dilantik hasil kemenangan dan sinambungan parti politiknya tidak wajar diberi kuasa mencetuskan perang. Tanyalah setiap askar mana-mana negara, apakah mereka suka berperang, membunuh dan menzalimi semasa manusia demi melaksanakan misi petualang pemimpin negara mereka yang taksub mencanang ideologi demokrasi acuan tersendiri. Jawapan itu ada dalam diri setiap kita yang dikurniakan fitrah seiring dengan ajaran Ugama.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...