Monday, April 21, 2008

Gajah pygmy Zoo Lok Kawi




BAGI pelancong dan penggemar hidupan liar yang berkunjung ke Sabah, peluang menyaksikan kelibat orang utan, monyet bangkatan (Proboscis Monkey), badak sumbu Sumatra dan gajah Pygmy di habitat asalnya tentunya memberi kepuasan yang tidak terhingga. Walaupun kosnya agak mahal kerana lokasi untuk meninjau haiwan berkenaan terletak di kawasan terpencil seperti Sukau, Kinabatangan, Tabin dan Segama, ia bukan halangan, malah dianggap cabaran alam yang mengasyikkan.

Namun, dengan belanja yang mencecah ratusan ringgit bagi membiayai kos pengangkutan, penginapan dan pemandu pelancong, tidak ramai yang mampu berkunjung ke lokasi seperti itu dan berpeluang melihat haiwan endemik Borneo itu dari jarak dekat. Bagi pelancong luar, soal kos mungkin tidak menjadi masalah dan sememangnya sering memilih lokasi seperti itu untuk menghabiskan percutian di Sabah sekali gus menjadikan mereka golongan paling ramai melihat secara dekat haiwan terbabit, berbanding warga tempatan.

Bagaimanapun, sejak awal tahun lalu, pelancong dan penduduk tempatan mempunyai pilihan lain untuk melihat haiwan itu secara dekat menerusi pembukaan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan yang terletak hanya kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga mengunjungi satu-satunya taman haiwan terbesar menempatkan pelbagai spesies haiwan Borneo di Sabah itu yang juga dikenali Zoo Lok Kawi, diurus Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Walaupun letih, hampir seharian di situ dipenuhi dengan pelbagai pengalaman baru kerana dapat melihat secara dekat kira-kira 100 spesies haiwan termasuk burung, reptilia dan mamalia, selain menikmati keredupan taman botani yang disediakan Jabatan Perhutanan Sabah.

Walaupun tidak sehebat Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka, penggemar hidupan liar pasti tidak kecewa dengan pelbagai tarikan dan kemudahan yang disediakan kepada pengunjung di taman seluas 112 hektar itu.

Dengan bayaran masuk RM10 bagi warga tempatan dan RM20 bagi warga asing, pengunjung dibekalkan peta sebagai penunjuk arah untuk memulakan 'pengembaraan' dengan menyusuri jalan berturap sepanjang lebih satu kilometer yang di kiri kanannya menempatkan pelbagai habitat haiwan.

Berhampiran pintu masuk, pengunjung disapa keletah pelbagai spesies burung seperti kakak tua, burung hantu, merak dan tiung serta disaji spesies haiwan aktif pada waktu malam seperti musang dan harimau dahan. Perjalanan seterusnya menemukan pengunjung dengan kumpulan rusa chital, burung emu, gajah Pygmy dan badak sumbu Sumatra, selain burung unta, beruang, harimau, orang utan, monyet bangkatan, seladang, memerang dan kancil.

Peminat burung pula berpeluang memerhati kelibat pelbagai spesies burung yang dilepas bebas dicelah kehijauan daun dan rimbunan pokok hutan dalam sebuah sangkar gergasi. Di satu sudut, pihak zoo menyediakan tempat bagi pengunjung melihat haiwan reptilia seperti ular tedung, ular sawa, buaya, biawak dan kura-kura.

Di zoo ini, pengunjung tidak disediakan pengangkutan, sebaliknya diberi kebebasan bergerak dengan berjalan kaki dari satu habitat ke habitat lain. Jika tidak tahan dengan terik mentari dan tidak membawa payung, pihak zoo ada menyediakan kemudahan menyewa payung dengan bayaran RM2.

Kalau letih berjalan, pengunjung boleh berehat di mana-mana enam pondok rehat sekitar zoo atau di mana-mana pondok pemerhatian haiwan yang disediakan di setiap habitat, lengkap dengan kipas dan kerusi kayu. Dua tandas awam turut disediakan di kawasan zoo, manakala bagi pengunjung yang kehausan dan kelaparan, pihak zoo turut menyediakan sebuah kafe berhampiran habitat gajah untuk kemudahan mereka.

Bagi yang membawa kanak-kanak, pihak zoo ada menyediakan tarikan khas untuk mereka iaitu peluang menyertai aktiviti berkaitan hidupan liar di Zoo Kanak-Kanak dan menyaksikan persembahan haiwan di pentas amphiteater.

Di akhir lawatan, pasti tidak lengkap jika pengunjung tidak meluangkan masa mengunjungi taman botani yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan seperti halia, periuk kera, orkid dan herba. Menariknya, di kawasan ini Jabatan Perhutanan menyediakan tempat perkelahan yang dilengkapi kemudahan pondok rehat dan tempat barbeku untuk pengunjung bersantai.

Suasana redup dipayungi kayu balak dan pokok getah tua serta bunyi aliran air anak sungai pasti mendamaikan pengunjung yang meluangkan masa berehat di kawasan ini. Walaupun kunjungan ke zoo ini tidak sama seperti berkunjung ke habitat asal hidupan liar yang ada di Sabah, pengunjung pasti berpuas hati kerana dapat mengumpul banyak pengetahuan mengenai dunia haiwan.

Bagaimana ke sana Untuk ke situ pengunjung boleh memandu sendiri atau menaiki teksi dari bandar raya Kota Kinabalu, pekan Putatan atau Donggongon, Penampang melalui Jalan Lama Penampang-Papar atau Jalan Putatan-Lok Kawi.

Ihsan : Mohd Izham Unnip Abdullah (Berita Harian)
Artikel asal : Taman hidupan liar Borneo

1 comments:

Anonymous said...

Naik bas x boleh ka ?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...