Memang aku meminati haiwan liar, tapi bukan lipas. Semuanya sudah berlalu, aku kira insiden ini dah sejuk baru fikir nak menulis. Sekurang-kurangnya aku tak dipengaruhi emosi marah dan kurang stabil. Insiden yang berlaku melibatkan pasangan suami isteri yang memang aku kenali. Nasib malang mereka bukanlah melibatkan kehilangan wang atau penipuan produk jualan atau konspirasi penindasan. Ianya berkaitan kebersihan makanan atau lebih jelas lagi makanan yang dihidangkan dan dimakan, tiba-tiba dikesan mengandungi ramuan tak sepatutnya. Bukan terlebih cili atau belacan tetapi seekor binatang yang sifatnya senang ditemui merayap di longkang dan tempat-tempat kotor yang lain.
Begitulah nasib yang menimpa kawan aku ini. Kalau nak dikira, aku sendiri malah pembaca di luar sana juga pernah menempuh pengalaman yang sama. Kebetulan tempat kejadian ketika itu telah diserbu pihak berkuasa tempatan dan dipaparkan didada akhbar tentang penemuan binatang yang sama di stor menyimpan makanan perniagaan mereka. Masalahnya bukan sebuah restoran terkenal sahaja seperti laporan akhbar, malah gerai-gerai kecil berhampirannya juga tidak terkecuali berlaku kes yang sama.
Kita sedia maklum betapa kotornya habitat tempat tinggal bagi lipas, tikus, lalat malah nyamuk sekalipun. Jangan fikir binatang-binatang ini yang statusnya menetap di sebuah bandaraya di Malaysia adalah terhormat dan pembersih. Kita sendiri sedia maklum bahawa binatang-binatang ini adalah antara vektor terbaik menyebarkan penyakit yang mengancam manusia.
Dengan kempen dan aktiviti penguatkuasaan, kesedaran segelintir kalangan peniaga restoran dan kedai makan masih ditahap acuh tak acuh. Selain berniaga untuk mendapatkan rezeki, mereka juga patut sedar dan menitik beratkan amalan kebersihan terutamanya ketika mengendalikan makanan.
Seorang penjual sayur pun akan membersihkan sayurnya termasuklah menjirus air terlebih dahulu sebelum dijual supaya sayur tersebut nampak segar dan bebas dari tanah dan sebagainya. Lain pula peniaga restoran atau gerai yang menyediakan makanan yang dimasak terlebih dahulu. Pelanggan yang menempah makanan-makanan ini tidak lagi membasuh atau membilas air kerana makanan telah siap dimasak. Sangat-sangat menjadi harapan semua pelanggan yang ingin makan di kedai makan, hidangannya bersih, segar, bebas keracunan dan harga berpatutan. Dalam situasi ini, bukan pelanggan inginkan semua kelebihan berpihak padanya, tetapi biarlah dalam situasi menang-menang antara peniaga dan pelanggan. Kedua-dua pihak memperolehi kepuasan, makanan bersih,suci dan halal manakala rezeki barakah.
Ini bukan kes mengisi minyak kereta. Andai tersalah isi minyak kereta sama ada diesel atau petrol, kenderaan tersebut akan rosak, lalu dibaiki. Malah mungkin terbiar rosak berpanjangan jika tuan kenderaan malas membaikinya. Namun bila tubuh badan diisi dengan makanan tercemar dan memudaratkan, ia mampu mengancam kesihatan. Nyawa kita ini sekali aja dek wei. Dah berlalu, nyawa tu tak berganti dah.
Dalam agama sendiri, penekanan terhadap makanan yang bersih-suci, berkhasiat dan tanpa syak perlu menjadi amalan penganutnya. Coretan ini bukan menasihati anda semua saja, malah menasihati aku sendiri. Kesian kawan kita ni, dengarnya dah separuh pinggan makan char kuey tiaw, baru sedar ada lipas di dalamnya. Itupun selepas diterbalik-balikkan kuey tiaw tersebut. Tentu rasa hampa, jijik dan teraniaya andai kejadian tersebut berlaku pada batang hidung kita sendiri. Aku tak ingin menceritakan dimana dan bila insiden ini berlaku. Cukuplah aku kabarkan ianya di hadapan kompleks membeli-belah terkenal yang turut menempatkan sebuah cawangan stesen penyiaran televisyen di sebuah bandaraya.
Gambar original yang belum di edit juga masih aku simpan bagi pihak kawan aku tu. Gambar yang terpapar ini sudah disunting dan di hilangkan nama gerai sebab rasional aku sekadar menegur dan menasihati. Bukan menghukum atau ingin menjatuhkan perniagaannya. Memang kejadian ni berlaku secara tidak sengaja dan kebetulan, namun ini bukan alasan mengabaikan kebersihan mengendalikan makanan. Banyak langkah pencegahan boleh diambil untuk mengelakkan insiden ini berulang. Fikir-fikirkan langkah pencegahan yang terbaik. Manakala pelanggan yang ingin makan juga patut meneliti dan tidak mengabaikan soal kebersihan.
Tepuklah dada, tanya selera.
Sunday, February 15, 2009
Lipas korban hidangan
Posted by Hissham Z at 7:16 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
naseb bek tak penah alami situasi mcm nie.. sukur...
sbb tu makan kat umah lagi baik, mak atau wife yang masak, terjamin. tapi tu la, sesekali tukang masak kat umah ni nak jugak penghargaan, maka bw la mkn kat luar. jgn kantoi lagi mkn kat gerai yg kotor. selamat
Post a Comment