Saturday, February 21, 2009

Gawat antara aku dan Malaysia





Ekonomi kita makin terjejas kesan keruntuhan sistem kapitalis negara barat. Tapi apa kaitan keruntuhan ekonomi mereka dengan ekonomi Malaysia? Ya, kuasa membeli mereka merosot maka pasaran produk eksport kita selama ini ke negara-negara Eropah dan AS juga terjejas. Sebenarnya kesan kemelesetan ini bukan hanya dirasai oleh Eropah, AS dan Malaysia sahaja malah melibatkan semua negara yang bertunjangkan pelaburan, pemasaran produk pembuatan yang merentasi sempadan negara mereka.

Suku pertama 2009 iaitu dari bulan Januari hingga Mac dijangkakan ramai pekerja di sektor perkilangan dan pembuatan akan kehilangan pekerjaan mereka malah sehingga kini ramai pekerja industri ini bekerja kurang dari 5 hari seminggu seperti kebiasaan. Gaji yang diterima mereka tentulah berkurangan. Ramai di luar sana mengeluh apabila majikan hanya membayar lingkungan 65 peratus daripada gaji mereka. Kasihan, survival mereka untuk hari seterusnya tentulah terjejas. Dengan kos sara diri dan keluarga semakin meningkat termasuk beban hutang rumah dan kereta, mereka pasrah dengan harapan ekonomi dunia dan sejagat segera pulih.

Suatu ketika dulu, ekonomi negara dipacu pesat kesan perkembangan industri pembuatan dan perkilangan. Kesannya kualiti kehidupan rakyat Malaysia meningkat namun pada masa yang sama kos sara hidup juga meningkat. Kesannya kos buruh juga meningkat dan kita mula melihat sesetengah perindustrian tidak lagi sesuai bertapak di Malaysia. Pelabur ini sama ada dalam dan luar negara mula melihat negara lain untuk melabur dan meneruskan aktiviti perkilangan mereka. Antara negara yang menarik di rantau ini yang menyediakan kos buruh yang jauh lebih murah berbanding negara ini adalah China, India, Vietnam dan Kemboja. Walaupun kos buruh di Malaysia lebih tinggi, namun terdapat tarikan yang spesifik kelebihan Malaysia antaranya infrastruktur optimum, jaringan perhubungan menarik , kawalan jenayah dan suasana aman, tenaga kerja mudah dilatih dan berilmu, galakan insentif kerajaan dan penubuhan koridor pembangunan ekonomi juga kawasan industri yang teratur dan spesifik.

Sebenarnya situasi perkembangan ekonomi negara kita hampir sama dengan apa yang berlaku di Singapura suatu ketika dulu. Kita cuma berbeza dan beruntung disebabkan jumlah penduduk dan tenaga kerja yang ramai selain saiz geografi yang lebih luas. Apabila disebut kita mengikuti jejak Singapura bermaksud minda penduduk dan tenaga pekerja perlu berubah ke arah lebih maju. Hari ini kita perlu berubah ke arah minda usahawan dan melihat peluang yang terhidang sebagai cabaran untuk direbut. Mereka yang mempunyai ciri dinamik ini dan berkemampuan perlu merebut peluang melabur biarpun cuma industri kecil atau hiliran namun memiliki potensi maju. Pelaburan tidak semestinya di dalam negara sahaja malah merentasi sempadan negara.

Tidak mustahil dalam tempoh kurang sedekad, Malaysia perlu mengeksport tenaga kerja ke luar sempadan negara. Ini disebabkan pelaburan oleh taikun kewangan dan organisasi multinasional negara luar terarah ke sesebuah negara. Ibarat “lubuk dimana semua ikan berkumpul maka sang burung juga patut berkumpul di sana demi rezeki terhidang”.

Sektor yang suatu ketika dilihat malap tapi mampu bersinar kembali ketika ini dan hari-hari akan datang adalah pertanian. Perubahan yang perlu dilakukan adalah pertanian moden dan bukan lagi sara diri. Perkembangan teknologi dalam pelbagai bidang membuka peluang pertanian komersial dan eksport. Hasil pertanian boleh menyumbang bahan makanan mentah untuk industri hiliran inovasi berasaskan makanan bercitasa unik buatan tempatan untuk eksport dan pasaran tempatan. Pertanian tunjang selama ini seperti kelapa sawit dan getah wajar dikekal kerana kejatuhan harga komoditi tersebut pada hari ini diyakini bersifat sementara sahaja.

Apa yang penting adalah minda kelas pertama. Carilah ilmu dan gilaplah potensi dan bakat diri. Mesti berani mencuba dan sedia bekerja keras selain melihat cabaran sebagai peluang. Dijangkakan sistem kewangan kapitalis bakal runtuh, maka sebagai Islam dan pendokongnya wajar kita menyokong sistem kewangan berlandaskan Islam. Jangan terkejut kerana telah terdapat syarikat kewangan barat sendiri yang mencuba dengan menawarkan sistem kewangan berlandaskan syariah selain sistem kewangan semasanya.

Adakah wang yang nilainya tercetak pada sehelai kertas mampu bertahan? Yakin benarkah kita? Apakah tiada alternatif lain yang lebih diyakini? Jawapannya, ada. Mengapa tidak kepada emas, atau lebih jelas dinar emas. Ia lebih stabil dan tidak menindas seperti yang berlaku sekarang ini dimana sistem kewangan semasa jelas lebih menguntungkan negara AS, Eropah, negara maju dan kaya sahaja.

Akhirnya, aku sendiri tertekan dan pasrah tahap kesan ekonomi yang merudum ini? Kesannya ketika ini belum mencapai kemuncaknya. Jika sebelum ini, anak desa berpusu-pusu ke luar daerah mastautin demi mencari rezeki di bandar besar. Hari ini sudah kedengaran anak desa ini kembali ke kampung kerana pengecilan operasi atau penutupan kilang tempat mereka mencari rezeki selama ini. Apakah situasi yang sama seperti kesan kejatuhan ekonomi Asia Tenggara 1997-1998 berulang yang menyaksikan pasaran kereta (baru dan terpakai) dan perumahan terjejas teruk. Selain itu, kesan kejatuhan ekonomi kepada penduduk sesebuah negara adalah peningkatan kadar jenayah dan sosial, keruntuhan institusi kekeluargaan, kejadian membunuh diri, keberhutangan yang tinggi yang membawa kepada pengisytiharan muflis.

Saja bercerita.
Nak mencuba produk jana pendapatan sambilan, klik ciput.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...