Saturday, August 16, 2008

Sahara bumi hijau asalnya




(Klik gambar utk besarkan imej)

WASHINGTON 15 Ogos - Tanah perkuburan Zaman Batu yang ditemui di pesisir sebuah tasik purba yang kering di gurun Sahara didapati dipenuhi dengan rangka tulang manusia, ikan dan buaya, sekali gus menjadi petunjuk bahawa gurun terbesar di dunia itu, sebelum ini merupakan kawasan hijau.

Tapak arkeologi berusia 10 ribu tahun di Niger yang dikenali sebagai Gobero dalam bahasa Tuareg telah ditemui pada tahun 2000, tetapi kumpulan penyelidik hanya memperoleh maklumat yang lengkap pada masa ini bagi menyiapkan satu laporan penuh mengenai penemuan tapak itu, kata ahli paleontologis, Paul Sereno dari Universiti Chicago dalam satu kenyataan.

Para penyelidik menemui timbunan tulang manusia, haiwan dan artifak-artifak lain ketika sedang mencari fosil dinosaur.

"Kami percaya kawasan ini adalah kawasan Sahara," kata Sereno yang menemui tapak tersebut ketika bekerja dengan National Geographic.

Tapak itu mengandungi 200 kubur yang dipercayai merupakan peninggalan dua penempatan berbeza berusia seribu tahun antara satu sama lain.

"Yang paling dramatik ialah rangka dipercayai wanita yang sedang memeluk dua orang kanak-kanak ditemui terbaring di atas katil dipenuhi bunga-bungaan dipercayai berusia hampir lima ribu tahun lalu," katanya.

Kumpulan penempatan pertama terdiri daripada mereka yang berbadan tinggi dan tegap dipercayai kumpulan pemburu ganas dikenali sebagai Kiffian yang dipercayai meninggalkan tasik itu 8,000 tahun lalu ketika tasik itu mengalami kemarau, kata Sereno dalam laporan kepada Pustaka Awam Jurnal Sains, PLoS ONE.

Kumpulan kedua terdiri daripada mereka yang mula menetap di situ antara 7,000 tahun dan 4,500 tahun lalu dikenali sebagai puak Tenerian yang mempunyai badan yang lebih kecil dan rendah yang merupakan kumpulan pemburu, penternak dan menangkap ikan.

Kedua-dua komuniti itu meninggalkan banyak artifak bersejarah termasuk set pertukangan, mata pancing, seramik dan batu permata. Sahara merupakan padang pasir terbesar dunia dan berikutan perubahan orbit bumi 12,000 tahun lalu membawa monson ke utara untuk seketika.

"Data-data dari Gabero yang digabungkan dengan tapak-tapak yang sedia ada di utara Afrika menjadi satu titik permulaan bagi kita memahami sejarah lama yang kompleks mengenai evolusi bio sosial dalam menghadapi turun naik dan perubahan iklim di Sahara," kata Sereno.

Ihsan-AFP, Utusan Online
Artikel asal- Sahara suatu ketika dahulu kawasan hijau-Penyelidik

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...