Tuesday, July 8, 2008

Singapura mahu beli 100 pesawat F-35


(Gambar hiasan-Pesawat kalis radar F-35)

WASHINGTON 8 Julai – Singapura menunjukkan minat untuk membeli sehingga 100 pesawat F-35 Joint Strike Fighter keluaran Lockheed Martin Corp untuk beberapa dekad akan datang, sekali gus menyamai pelan pertahanan udara Israel.

“Israel menyatakan mereka mahu membeli sehingga 100 pesawat. Singapura juga pada asasnya menyatakan perkara yang sama,” kata Ketua Program Pentagon, Mejar Jeneral Charles Davis. Pembangunan F-35 yang merupakan pesawat kalis radar dibiayai bersama oleh Britain, Itali, Belanda, Turki, Kanada, Australia, Denmark dan Norway.

Amerika Syarikat (AS) pula merancang untuk membeli sejumlah 2,443 model F-35 termasuk 1,763 untuk Tentera Udara AS dan 680 untuk Marin dan Tentera Laut dengan kos dianggarkan AS$299 bilion (RM986.7 bilion).

Beratus-ratus pesawat model ini mungkin dijual ke seberang laut bagi menggantikan F-16s keluaran Lockheed dan F-18 keluaran Boeing.

Davis turut meramalkan Jepun akan secara rasmi meminta harga dan maklumat mengenai F-35 menjelang hujung tahun ini dalam prosesnya memilih pesawat pejuang generasi baru.

Jurucakap Lockheed Martin, Tom Jurkowsky berkata, program F-35 kini melalui “kemajuan teknikal memberangsangkan terutamanya dalam konteks pesawat paling kompleks pernah dibuat.”

Penerbangan ujian pertama bagi versi mendarat dan berlepas secara konvensional dilakukan pada 15 Disember 2006.

Antara pesaing utama model F-35 adalah Gripen keluaran Saab; Dassault Rafale; MiG-35; Sukhoi Su-35 dan Eurofighter Typhon keluaran konsortium syarikat Britain, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Ihsan– Reuters, Utusan Malaysia

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...