Wednesday, July 9, 2008

Krisis pertahanan Rusia vs AS


(Gambar hiasan- klik untuk zooming)

MOSCOW 9 Julai – Rusia semalam mengancam untuk bertindak balas secara ketenteraan jika Amerika Syarikat (AS) mendirikan sistem pertahanan peluru berpandu berhampiran sempadannya.

Moscow memberi amaran itu beberapa jam selepas Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice menandatangani perjanjian dengan Republik Czech untuk membina sebahagian daripada sistem perisai peluru berpandu AS di negara itu.

“Jika perisai antipeluru berpandu AS ditempatkan dekat sempadan kami, kami terpaksa bertindak balas bukan secara diplomatik tetapi dengan mengerahkan sumber tentera,” menurut satu kenyataan Kementerian Luar.

Kenyataan itu menegaskan, berkumpulnya elemen-elemen sistem pertahanan AS menghala ke wilayah Rusia sudah pasti akan mendorong Moscow “mengambil langkah sewajarnya untuk menangkis ancaman terhadap keselamatan negara ini.”

Perjanjian AS dengan Prague itu membenarkan sebuah stesen radar pengesan dan askar Amerika ditempatkan di bumi Czech. Ia sebahagian daripada sistem perisai lebih luas yang disifatkan oleh Washington sebagai perlu bagi menangkis sebarang serangan daripada negara-negara musuh AS seperti Iran.

AS juga mahu sistem radar yang diselaraskan dengan peluru berpandu pemintas di negara jiran, Poland walaupun rundingan dengan Warsaw menemui jalan buntu kerana Poland menuntut jaminan keselamatan tambahan.

Presiden Rusia, Dmitry Medvedev kelmarin berbalah dengan Presiden AS, George W. Bush berhubung sistem pertahanan peluru berpandu itu pada pertemuan pertama mereka semasa sidang kemuncak Kumpulan Lapan (G8) di Jepun.

Ihsan– AFP, Utusan
Berita asal-Rusia ancam tindak balas ketenteraan terhadap AS

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...