Agak lama aku membela ayam hutan, red jungfowl. Bukan senang
nak dapat baka baik. Bagi yang dah lama menceburi hobi membela ayam hutan,
tentu tau apa yang diinginkan. Ada orang bela ayam hutan sebagai denak untuk
memikat ayam hutan yang memang real tinggal kat hutan sana. Ada orang membela
untuk hobi semata-mata, ada yang suka bentuk dan saiznya, bulu, ekor,
bunyi-kokok. Pendek kata setiap kita mungkin tak sama niat dalam melayan hobi yang
satu ni.
Sepanjang aku membela ayam hutan, paling mengecewakan adalah
ketika melihat ayam mati bergelimpangan dek serangan penyakit. Apalagi kalau
bukan sampar. Hal ni memang frust abis tapi apa boleh buat. Hukum alam cuma bagi
mengurangkan risiko semua ayam kita mati adalah mendapatkan vaksin untuk
ayam-ayam tersebut. Ini mungkin berkesan.
Ancaman lain kepada ayam hutan yang aku pelihara ialah
musang. Antara jenis musang yang pernah menyerang ayam peliharaan aku ialah Musang
Luwak seperti dalam gambar. Mulanya aku sangka kehilangan ayam aku dan jiran
yang lain adalah angkara anjing liar atau burung helang. Hampir 2 bulan ayam
aku dan jiran dikerjakan, pada awalnya memang tak perasan kehilangan ayam-ayam
ini. Tapi bila banyak sangat menyusut, maka terperasan la. Misteri kehilangan
ayam-ayam ni semakin pelik kerana ayam yang dipelihara tidur di atas pokok. Mana
mungkin serangan oleh anjing liar. Tak mungkin juga helang sebab kehilangannya
pada sebelah malam.
Maka beberapa ketika terkantoi la musang-musang ini apabila
jiran-jiran terserempak dan bertentang mata dengannya pada sebelah malam. Musang-musang
ini tak agresif dan tak akan menyerang manusia. Malah sifatnya juga pemalu
biasanya merayau dan mencari makanan pada waktu malam. Suatu ketika juga
jiranku terkejut kerana menjumpai sisa bangkai ayam di atas bumbung rumahnya. Hal
ini disedari bila tercium bau busuk bangkai. Ketika ini naluri aku makin kuat
mengatakan misteri kehilangan ayam peliharaan adalah angkara musang.
Memang sah la serangan musang apabila aku sendiri bertembung
dengannya di halaman rumah aku. Kejadian ni berlaku apabila aku memindahkan
seekor ibu ayam bersama 5 ekor anak yang baru menetas dalam sebuah sangkar
mudah alih ke halaman rumah aku. Sebabnya bimbang ayam-ayam tersebut hilang
begitu saja dek ancaman musang. Malam kejadian aku mendengar ibu ayam berketak
seolah-olah diganggu sesuatu. Aku pun pantas keluar rumah dan meluru ke arah sangkar.
Tindakan pantas aku menerpa menyebabkan musang yang masih lagi leka menghulur tangannya
ke dalam sangkar ayam terkejut besar. Jarak pertembungan kami kurang dari 2
meter. Ketika tu musang tersebut terkejut dan begitu juga aku.. haha. Nasib
baik ibu ayam dan anak-anaknya selamat cuma sedikit kesan bulu ayam
berselerakan sekitar sangkar. Tak sangka dapat bertembung dengan musang dan tak
sempat pun memikir apa yang patut aku buat. Musang tersebut dengan pantasnya
menghilangkan diri .
Setelah melalui sendiri pengalaman bertembung dengan musang,
akupun membeli sebuah perangkap bersaiz 1 X 1 X 2.5 kaki. Kena tangkap musang
tersebut agar ayam peliharaan aku selamat. Bukan boleh makan pun kalau dapat
musang tu, niat aku cuma nak buangkan musang tersebut ke habitat hutan sejauh
mungkin dari kawasan kediaman aku. Hampir sebulan memasang perangkap, aku masih
lagi gagal menangkap musang tersebut. Bermacam-macam umpan aku letakkan tapi
gagal mengena. Agaknya musang tersebut tak berani lagi mendekati kawasan
peliharaan ayam aku kerana kejutan tersebut. Alih-alih perangkap yang aku
pasang hanya mengena tupai. Kesian tengok tupai tu, aku lepaskannya semula. Lagipun
tupai tak mengancam ayam-ayam peliharaan aku, sekadar tumpang sekaki makanan
ayam saja.
Aku sendiri dah bosan kerana perangkap tak mengena
sasarannya. Ambil semula perangkap tersebut lalu catkan semula bahagian besi
yang dah berkarat. Apalagi simpan la perangkap tersebut ke dalam stor. Aku juga
ambil keputusan untuk mengurung ayam-ayam peliharaan dalam reban dan
sangkar-sangkar buatan sendiri. Semuanya dengan niat agar ayam-ayam tersebut
selamat dari ancaman musang andaikata muncul kembali. Cuma tak best la mengurung
ayam hutan ni, biasanya kita nak tengok ia mematuk makanan, bermain, berkejaran
dan terbang sekitar kawasan lapang di depan rumah aku ni.
3 comments:
Salam,
Di mana saya boleh mendapatkan perangkap itu? Di tempat saya tidak ada dijual perangkap tersebut.
Terima kasih.
cari saja kat kedai hardware... harga bawah rm40... cakap nak perangkap saiz musang... bukan saiz tikus.. :)
hardware katne area seri kembangan
Post a Comment