Oleh Efindi Badarudinefindi@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Beberapa laman web yang menawarkan peluang pekerjaan di luar negara terutama kepada wanita mungkin digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa memancing mereka membawa dadah ke negara terbabit.
Sindiket terbabit dikesan menawarkan gaji lumayan tanpa mengira kelulusan akademik pemohon bagi menarik perhatian wanita muda di negara ini sebelum diperalatkan membawa dadah ke luar negara. Mereka yang terpengaruh kemudian diperdaya membawa beg dipenuhi dadah.
Berikutan peningkatan kes membabitkan tangkapan wanita muda negara ini di luar negara, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta golongan berkenaan lebih berhati-hati.
Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak mereka tidak menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Menurutnya, pelbagai taktik digunakan sindiket terbabit membawa dadah ke luar negara termasuk memberi wang serta menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan.
Katanya, ada sindiket dadah antarabangsa menggunakan taktik menghubungi mangsa dengan menawarkan peluang pekerjaan di luar negara.“Kebanyakan mangsa masih muda, mudah terpengaruh dan tidak memaklumkan kepada keluarga tawaran berkenaan sehingga ditahan di luar negara kerana membawa dadah.“Sindiket ini akan menggunakan pelbagai taktik termasuk menawarkan peluang pekerjaan melalui Internet dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Sambil berasa sedih dengan kejadian menimpa beberapa wanita muda yang ditahan kerana kesalahan membawa masuk dadah ke negara asing, Lee meminta wanita muda di negara ini memaklumkan kepada ibu bapa mengenai perkembangan diri dan jangan sesekali berselindung mengenai siapa teman lelaki atau sebagainya.“Kita tidak mahu ada lagi rakyat negara ini menjadi mangsa penipuan yang akhirnya membawa kemusnahan kepada diri mereka,” katanya.
Sebelum ini sindiket pengedaran dadah antarabangsa turut dikesan memerangkap wanita muda negara ini membawa dadah ke luar negara dengan cinta palsu dan menawarkan kemewahan kepada wanita terbabit supaya mempercayai suspek membantu membawa beg berisi dadah.
Difahamkan, anggota sindiket kebanyakan lelaki rakyat asing akan memikat wanita muda tempatan dengan menunjukkan kemewahan dan kesenangan selain memberi cinta palsu sebelum memerangkap mangsa.
Kebanyakan wanita muda di negara ini yang terpedaya dengan ketampanan lelaki warga asing selain kehidupan mewah selepas berpasangan dengan suspek, akan mudah menuruti kehendak suspek tanpa berfikir risiko bakal dihadapi mereka.
0 comments:
Post a Comment