Friday, April 18, 2008

Cicit pahlawan Kedah

Bukti: Ku Bhadur menunjukkan gambar moyangnya, Tunku Mohammad Saad
yang juga anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin II.

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mendakwa dirinya adalah cicit kepada Almarhum Tunku Muhammad Saad Almarhum Tunku Bagus, pahlawan Kedah yang mengusir tentera Siam dalam Perang Singgora (1838-1869).
Ku Bhadur Ku Abdullah, 58, dari Kampung Bukit Petai, Simpor, Tikam Batu di sini, yang mendakwa memencilkan diri sebelum ini, berkata sudah tiba masanya untuk mendedahkan identitinya yang sebenar.

Selama ini, beliau memencilkan diri kerana mengikut jejak moyangnya bagi melindungi identiti sebenar selepas keturunannya diburu tentera Siam. Ku Bhadur mendakwa moyangnya, Tunku Muhammad Saad memencilkan diri di Pulau Tiga, Semeling di sini, selepas mengusir tentera Siam dari Kedah, Pulau Pinang dan Selatan Siam.
Dakwanya, moyangnya turut memusnahkan peralatan termasuk lambang kebesaran kerana tidak mahu identitinya diketahui, selain kecewa dengan perebutan untuk memegang tampuk pemerintahan Kedah.


"Selepas kejayaan itu, moyang saya sentiasa diburu tentera Siam yang mahu menghapuskan keturunannya. Berikutan itu, moyang saya tidak menggunakan nama Tunku pada anaknya, sebaliknya hanya menggunakan Ku bagi mengelak dikesan.
"Malah, saya juga menjalani kehidupan seperti orang kampung selepas tamat perkhidmatan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1994 bagi mengelak daripada dikenali," katanya kepada Berita Harian.
Ku Bhadur yang turut mengaku anak saudara kepada Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mendakwa masih menyimpan gambar moyangnya. "Keris Lindungan Bulan yang mempunyai hubung kait dengan Kesultanan Kedah juga masih berada dalam simpanan abang keduanya, Ku Sabri," dakwanya.

Mengikut sejarah, Tunku Muhammad Saad yang juga anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin II mengetuai Perang Singgora bersama saudaranya Tunku Muhammad Taib yang bergerak dari Kuala Merbok ke Trang sebelum berjaya mengusir tentera Siam yang mahu menawan Kedah.
Beliau turut terbabit mempertahankan Kota Kuala Kedah bersama Tunku Abdullah, Tunku Kudin, Taib Itam dan Datuk Muhammad Ali yang ingin ditawan Siam, Acheh, Bugis, Inggeris, Portugis dan Belanda. Ku Bhadur berkata, kini beliau sedia mendedahkan identitinya kerana mempunyai bukti kukuh termasuk makam moyangnya di Sungai Pasir, Tikam Batu.
"Cuma saya sebagai cicitnya berasa sedih kerana moyang saya tidak mendapat tempat dalam takhta Kedah, apatah lagi harta walaupun dia pejuang," dakwanya.
Seorang penduduk Kampung Bukit Petai, Zainab Yahya, 67, berkata dia memang mengenali Ku Bhadur iaitu cicit kepada pahlawan Kedah itu tetapi menjalani kehidupan seperti orang biasa. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd Yusof, berkata Tunku Muhammad Saad memang seorang pahlawan Kedah.
"Dia menyembunyikan identitinya kerana diburu tentera Siam yang mahu membunuh seluruh keturunannya. Dalam catatan sejarah, nama Tunku Muhammad Saad memang tertera sebagai pejuang Kedah mengusir Siam," katanya.

Ihsan : Zulfa Mohamad (Berita Harian)
Tajuk asal : Lelaki dakwa cicit pahlawan Kedah


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...