Monday, June 9, 2008

Bujang Seruai; Mana yang kejam

Klik gambar untuk zooming

Penduduk Kampung Seruai melihat buaya sepanjang 6 meter yang ditangkap di Sungai Seruai, Batang Saribas, di Betong pada pagi semalam. Namun penduduk hampa kerana reptilia yang ditangkap bukan Bujang Seruai yang mengorbankan Rudy Semion petang Selasa lalu. Ia berikutan perut buaya berkenaan yang dibelah hanya menemukan beberapa tulang haiwan dan bulu ayam sahaja. (Dipetik dari Berita Harian 09062008-Buaya ditangkap bukan Bujang Seruai)

Kali ini kita membalas dendam terhadap makhluk reptilia satu ini demi anak anak muda yang terkorban. Namun korban manusia ini bukanlah terhadap pelaku perbuatan membaham anak muda kita, tetapi terhadap sasaran yang salah. Begitulah nasib buaya tersebut bila kita berkuasa dan berkeupayaan. Manusia vs buaya ini adakah berada dalam situasi menang-menang? Jawapan sebenar adalah sebaliknya, kita sama-sama kalah dan rugi.

Sebenarnya, dari sudut sains; setiap makhluk bernyawa akan cuba memastikan kemandirian spesies agar ia dan generasi seterusnya terus kekal hidup. Masing-masing cuba untuk 'survive' dan memastikan bahagian kawasan masing-masing dibawah kawalan dan penguasaannya. Begitulah yang terjadi! andai kuat maka kekal atau mampu merebut kawasan yang lebih besar. Jika lemah belum tentu generasinya berketurunan. Apapun manusia selalunya menang bila merebut kawasan berbanding makhluk Allah yang lain sebab dikurniakan akal fikiran sesuai dengan peranannya iaitu khalifah di muka bumi. Adakah kita berlaku adil terhadap makhluk bernyawa yang lain? Biarlah masing-masing yang menjawab.

Andai haiwan mampu berfikir dan berkata-kata seperti kita, tentu mereka akan berdebat dan bertegas. Manusia pembuli. Mereka tamak dan berterusan mengancam kemandirian spesies yang lain. Tentulah makhluk bernyawa yang lain marah dan kecewa. Habitat mereka makin kecil dan peluang mendapatkan makanan terhad. Maka berlakulah konfrantasi antara haiwan dan manusia, kita saling memburu. Haiwan sendiri acapkali berdengki dan memusnahkan tanaman serta pembangunan yang diusahakan manusia. Kebolehan manusia membalas dendam lebih dahsyat dan sukar dibendung. Manusia biasanya bermaharaja lela dan tidak diambil tindakan oleh penguasanya apabila menyakiti malah membunuh hidupan yang lain tanpa pertimbangan dan kewajaran setimpal. Biasanya haiwan mempunyai alasan tersendiri dan jelas sebab menyerang dan menyakiti manusia. Mereka perlukan habitat dan makanan. Mereka juga diancam oleh kita.

Bernilaikah nyawa haiwan pada kita manusia? Sedap benarkah daging mereka sebagai juadah kita? Adakah tindakan kita memburu haiwan tertentu selepas mengkaji potensi kepupusan pada masa depan? Jawapan ada dalam diri kita sendiri. Tepuklah dada.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...