Sunday, April 27, 2008

Russia tembak UAV Georgia





Gambar hiasan

TBILISI: Sebuah jet pejuang Russia menembak jatuh pesawat pengintip Georgia di ruang udara Abkhazia, kata komander tentera udara Georgia.

Presiden dua negara berbincang mengenai insiden itu menerusi telefon kelmarin dalam apa yang disifatkan pemimpin Georgia, Mikhail Saakashvili sebagai perbincangan dalam suasana sukar.

Kolonel David Nairashvili, komander tentera udara Georgia, memberitahu rakaman video yang direkodkan pesawat itu sebelum ditembak jatuh Ahad lalu adalah jet penyerang Russia.

Rakaman itu yang ditunjukkan kepada agensi berita menunjukkan sebuah pesawat melepaskan peluru berpandu ke arah pesawat musuh dan beberapa saat kemudian skrin video gelap.

Insiden itu berlaku di ruang udara Abkhazia yang pada hakikatnya merdeka sejak keluar dari Georgia pada 1990-an.

Georgia membuat bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai insiden itu dan Majlis Keselamatan menjadualkan perbincangan Rabu ini. Menteri Luar Georgia, David Bakradze dijangka menghadirinya.

Duta Russia ke PBB, Vitaly Churkin memberitahu wartawan bahawa beliau tidak membantah perbincangan itu diadakan dan kami mempunyai beberapa perkara untuk diberitahu.”

Nairashvili berkata, tanda ekor kembar menunjukkan ia adalah MiG-29 dan radar menunjukkan ia berlepas dari bandar Abkhazia di Gudauta, bekas pangkalan tentera Russia. - AP

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...