Showing posts with label ayam hutan. Show all posts
Showing posts with label ayam hutan. Show all posts

Tuesday, July 10, 2012

Ayam hutan dua sejoli

Pelik bunyinya, kerana dua sejoli adalah sinonim dengan merpati. Merpati dua sejoli membawa maksud pasangan kekasih yang sehati-sejiwa. Kemana pergi pasti bersama.

Apa hal pulak dengan ayam hutan dua sejoli, adakah ini sepasang kekasih yang tidak sanggup berpisah atau telah mengikat janji sehidup semati?
Ini cuma intro semata-mata. Saja mau kacau kuah lebih sikit. Apapun ceritanya adalah ayam hutan yang aku bela lebih 40 ekor kini cuma tinggal 2 ekor saja. Gara-gara penyakit sampar yang melanda. Penyakit sampar ini memang takda ubat, sekor demi sekor ayam hutanku tumbang. Mungkin ada yang tak tahu apa itu sampar, orang utara panggil "kena hawag".

Kesan penyakit ini, mula-mula ayam tu nampak demam dan sejuk semacam. Pastu selsema dan nafas berbunyi. Ia akan murung dan nampak tak bertenaga (macam mengantuk). Pastu berak tahi kapur. Bila makan pun tak lalu dan nak bangun pun tak larat, pastu akan mati.

Sangat sedih melihat sekor demi sekor mati. Ada ketikanya, 6 ekor sekali tanam akibat penyakit ni. Macam-macam petua digunakan tapi takda yang jadi. Abis semua ayam-ayam tu mati. Ramai yang maklumkan memang peluang ayam nak hidup sangat tipis. Ada juga yang berpesan suruh beri ayam tu makan sejenis ubat, apatah namanya untuk antibodi. Ubat tu kena ambil ketika ayam sihat, boleh bertahan ketika serangan sampar nanti. Bagi ayam yang tak ambil ubat, time serangan sampar tu kira bersedia dengan cangkul la (tanam ayam yang mati), tak dapatlah nak menolong.

Satu petua yang agak unik, member aku minta bakarkan pulog sabut nyioq tua (sabut kelapa tua) beserta kulit bawang dan cabai kering di bawah reban atau pokok tempat ayam tu tidoq. tak jalan jugak, tak mampu sekat sampar dari merebak. Sampar adalah penyakit yang merebak dari ayam ke ayam yang lain. Kadang-kadang kita cuba mengasingkan ayam sihat agar tidak bersama-sama (berkawan) dengan ayam yang disyaki kena sampar. petua ni kadang-kadang tak menjadi jugak sebab ayam mengeram pun kena.

Suatu ketika tu aku menangkap seekor ibu ayam bersama 8 ekor anaknya yang baru keluar dari semak selepas menetas. Cadang nak selamatkan mana yang kita rasa berpotensi hidup. Lepas 2 hari kurung, mula nampak kesan serangan sampar. Dah ada anak ayam yang murung, macam sejuk dan berak taik kapur. Lepas tu sekor anak mati, lagi sekor anak ayam tu tumbang, pastu ibu dia pulak mati sampai la semuanya mati.

Apapun moga berkat dua sejoli ni mampu membiak semula meneruskan kemandirian spesies ayam hutan. Hah, macam mana pulak tiba-tiba muncul cerita ada sepasang ayam hutan yang terus hidup. Sepasang ayam hutan ni sebenarnya aku ambil semula dari kawan yang dulunya aku beri untuk dia bela. Syukur la ada backup, memang dah plan macam tu. Kalu bela sorang-sorang, jadi kes sampar ni maka hilang terus baka tu. Bila ada 2@3 port, kira selamat skit. Kawan aku ni beria-ia nak bagi setengah dozen kat aku, malu plak aku. Cukup la cuba sepasang dulu. Kita uji tanah kawasan tu dulu, takut kesan sampar masih wujud. Ada orang kata, lepas serangan sampar, rehat dulu 3 bulan supaya tanah tu pulih sepenuhnya dari wabak.

Kini cuma dua sejoli ni saja penghibur kat reban. Boleh tahan jugak kokok yang jantan tu, pantang dicabar. Dua sejoli ni tak berani lepas berkeliaran kat luar sebab ayam-ayam tu belum kenal tuan barunya. Cepat wei bertelur dan membiak :)

Fakta menarik : Ketika ayam kena serangan sampar, burung wak-wak tidak terjejas dan selamat. Begitu juga kucing.

Sunday, January 1, 2012

Anjing liar buru ayam hutan


Kali ni aku masih lagi nak bercerita tentang ancaman terhadap ayam hutan, red jungfowl. Ancaman terbesar yang kerap berlaku adalah serangan anjing liar. 3 tahun terakhir ni, tak kurang 10 kali serangan anjing liar ke atas ayam hutan peliharaan aku. Tu belum kira kes serangan anjing liar yang gagal menumpaskan ayam hutan tersebut.
Anjing ni seperti yang kita tahu memang mempunyai deria bau terbaik, mungkin juga paling baik diantara makhluk bernyawa. Kenapa aku kata demikian, hujah aku berdasarkan pengamatan terhadap beberapa serangan anjing liar tersebut.

Bagi serangan berikutnya selepas serangan pertama anjing-anjing liar yang sama, depa dah mengecam bau badan manusia yang menghalau anjing-anjing liar ni. Aku percaya anjing liar ni tidak akan menyerang lagi ketika kita berada berhampiran reban peliharaan ayam atau lebih senang cakap berada di rumah sebab jarak antara rumah dan reban ayam biasanya dekat saja (paling jauh 50m). Sebabnya bau badan manusia dapat dicam berada dekat dengan reban ayam dan anjing ini sedar akan bahaya ancaman manusia.
Selalunya serangan anjing liar yang sama berlaku apabila anjing mengecam dan sedar bau manusia yang menghalau atau menakut-nakutkannya tiada berdekatan reban, senang cerita keluar berpoya-poya jauh dari rumah. Masa ni la anjing-anjing liar akan kembali menyerang dan berpesta merobek reban dan mengejar ayam peliharaan. Sangat sedih melihat ayam peliharaan mati, mungkin sekor tapi lebih malang kalau lebih dari sekor ayam yang tumpas.

Aku beberapa kali menyaksikan serangan anjing liar ke atas reban ayam hutan peliharaan aku. Bukan sekor dua anjing yang bergotong-royong menyerang ayam tersebut. Ada ketika melebihi 8 ekor anjing liar. Ada yang mengacah, berlari-lari keliling reban, menyalak dengan bunyi pelik yang jauh berbeza dengan salakan yang biasa kita dengar, ada yang meronda dan mengawal kemungkinan ancaman lain seperti manusia, yang mengorek lubang tanah untuk membuat perangkap agar ayam yang panik keluar dari reban. Sesekali terpikir kumpulan anjing ini begitu sistematik, kuat dan semangat kerjasama yang tinggi.

Setakat manusia keluar rumah untuk cuba menghalau anjing-anjing ini dengan jeritan “syoh… syoh… syoh” tak akan dilayan dan dipedulikannya. Aku sendiri pernah mengalaminya, satu ketika tu ada bekalan bunga api, maka aku nyalakan bunga api dan jerit la kata bombastik tu. Harapan aku anjing akan bau belerang dan dengar suaraku agar kehadiran aku disedari dan mampu menakut-nakutkannya. Tak jalan langsung kaedah tu. Mau tak mau kena memberanikan diri menghampiri reban bertemankan torchlight. Lalu capai batu atau buat-buat capai batu dan baling kearah anjing baru la ada kesannya. Memang betui pesan orang tua-tua, anjing takut pasir masuk matanya. Maka bila kita tunduk capai sesuatu lalu campakkan kearahnya pasti tergesa-gesa anjing tu lari menyelamatkan dirinya.

Percayakah kita bahawa ada perbezaan antara anjing peliharaan dan anjing liar ni walaupun spesies dan muka depa ni sama. Aku timbulkan isu ni sebab aku dah rasa pengalaman tu, bukan sekali dua. Sebelum terlupa baik aku maklumkan bahawa kesemua serangan anjing liar ni berlaku pada waktu malam atau awal pagi iaitu sebelum subuh. Setelah dengar salakan anjing yang pelik dari kebiasaannya secara berterusan maka akupun bangun dari tidur, otak akan mula bekerja biarpun agak lembab sebab baru bangun tidur. Setelah otak mentafsir dan mengesahkan bahawa itu adalah serangan anjing liar ke atas reban ayam peliharaan, maka input itu akan dihantar lalu anggota badan yang lain bertindak berdasarkan input yang diterima. Buka saja pintu rumah atau mungkin dah sampai ke pintu gate, masa ni la suatu perasaan yang janggal terjadi, rasa berdebar-debar disertai jantung berdegup kencang dan bulu roma meremang terutamanya sekitar tengkuk. Biasanya telahan aku ialah anjing-anjing liar ni berteman atau senang cerita bertuankan makhluk bukan manusia.

Biasanya aku take time kejap untuk pikir apa patut aku buat. Ayam-ayam tu jangan tanya la siap berketak cemas diacah dan dikerjakan anjing liar tersebut. Mau tak mau aku mesti tolong cuba halaukan anjing-anjing liar ni sedangkan hati perasan kehadiran makhluk Allah yang lain. Kan susah tu nak melangkah ke reban dengan hati ragu-ragu. Apapun aku memang prepare sebatang buluh bersaiz pergelangan tangan yang panjangnya lingkungan 1.5m berhampiran pagar rumah. Sedap dihayun batang buluh tu dan aku yakin buluh tu membantu jika anjing liar tersebut mensasarkan aku pulak. Melangkah menuju ke reban berbekalkan torchlight dan buluh adalah kelebihan tapi perasaan lain macam dan berseorangan adalah gangguan jiwa. Set nawaitu aku mesti lakukan yang sepatutnya, biasanya bacakan doa yang mudah dan ringkas lalu capai batu sekitar laluan ke reban tu. Hala lalu campakkan batu tu dengan penuh perasaan dan tenaga ke arah anjing. Selalunya anjing-anjing tu akan cabut lari atau jauhkan diri dari reban.

Istilah jauhkan diri dari reban tu sebenarnya tak sama dengan cabut lari. Cabut lari semua orang tau. Manakala jauhkan diri dari reban pula ialah berundur sedikit dan masih dalam mode stanby untuk meneruskan serangan, macam tu la lebih kurang.

Tahukah kita bahawa anjing liar ni bukan semberono main serang saja apa yang depa jumpa dan mengidam time malam-malam buta tu. Agaknya tok nenek depa ni menurunkan petua terbaik dalam panduan memburu mangsa. Anjing-anjing liar ni biasanya ada unit risik atau renjer. Tugas anjing renjer adalah terhad kepada merayau dan riki mangsa ketika waktu siang. Anjing-anjing ni tak akan menghampiri reban, usik atau serang mangsanya. Kalu mau serang mesti ajak geng ramai-ramai dan mesti time malam saja.



Ni nak bercerita tentang kesan serangan anjing liar pulak. Paling tragis ialah serangan anjing lair ke atas reban jiranku. Tak jauh pun dlm jarak 10m dari reban ayam peliharaan aku. Kesannya 18 ekor ayam sabung dan ayam kampong mati dikerjakan anjing-anjing liar tersebut. Dalam 18 ekor tu takda sekorpun ayam yang kena makan. Anjing-anjing ni sekadar melayan hobi memburu saja. Memang geram. Pernah juga serangan anjing liar membunuh 6 dan 5 ekor ayam serentak. Selalunya hasil serangan tu sekor dua saja yang mati.

Anjing-anjing ni bijak memburu. Memang sukar anjing-anjing ni nak pecahkan reban ayam yang aku buat. Dulu-dulu depa selalu korek tanah buat lubang supaya ayam yang panik ikut laluan tu, sah la sampai ke mulut anjing. Lepas kejadian tu aku simen pagar reban supaya anjing-anjing liar mati akal. Pastu depa guna teknik mengacah supaya ayam panik lalu terjun dari para tempat tidur. Nasib tak baik ada la ayam yang terhulur kepala ke pagar, ketika ni la anjing akan meragut kepala ayam.

Apakah bentuk kepuasan bagi anjing dalam melakukan serangan. Pertamanya ialah memburu dan membunuh semaksimum bilangan mangsanya. Kedua ialah mencarik-carikkan tubuh mangsanya. Dan ketiga adalah menjulang dan merebut-rebut mangsa antara anjing-anjing ini sebagai bentuk kepuasan memburu.

Adaorang bertanya kuatkah kudrat anjing ni. Mengikut kajian yang aku tonton dalam National Geographic Channel, yang pasti haiwan yang memiliki rahang paling kuat adalah Hyaena iaitu famili yang sama dengan anjing. Aku pernah snap gambar selepas serangan anjing ke atas pagar reban aku. Kesan keatas pagar tu seolah-olah rempuhan motosikal pada kelajuan 40kmj.

Haiwan lain yang mempunyai rahang yang kuat berdasarkan kajian tersebut diikuti sejenis kura-kura, jerung, singa, buaya dan lain-lain(mungkin aku lupa turutan tu sebab dah lama).

Bagaimana menanggani masalah serangan anjing liar ni.Kawan-kawan banyak mengesyor dan memberi idea mereka, terima kasih. Jom berkongsi. Supaya jelas, ringkas dan berkesan biarlah aku nyatakan dalam bentuk point, mana tau ada kawan-kawan kita diluar sana masih tercari-cari kaedah menanggani masalah serangan anjing untuk apa juga ternakan peliharaan.
  • Buru dan tembak. Mungkin upah pemburu untuk mencari jerumun anjing-anjing nih.
  • Gunakan racun PURADAN yang diletakkan pada bahagian dalam kepala ayam. Mana dapat kepala ayam tu, sendiri mau cari la kat gerai-gerai proses ayam atau kat pasar malam. Sekali anjing tu makan gerenti tumbang punya.
  • Letakkan paku atau mata kail pada perut atau kepala ayam. Jika anjing makan, dlm tempoh 3-4 hari mesti jalan punya anjing tu. Cara ni kejam sebab menyeksa haiwan.

Satu lagi pengalaman ketika reban jiran diserang anjing liar ni. Aku meneman dan membantu jiran menghalau anjing liar yang menyerang ayamnya sekitar jam 2 pagi. Confident sikit sebab berdua. Acah-acah campak batu maka kumpulan anjing ni pun melarikan diri. Sampai saja depan reban jiran tu, terkejut rupanya masih ada seekor anjing liar yang melolos masuk reban dan terperangkap didalamnya. Hampir 3 minit mengacah baru la anjing tersebut berjaya keluar dan melarikan diri. Sebenarnya anjing tu panik dan begitu juga kami, tak tau apa yang patut dibuat.

Tuesday, July 19, 2011

Ayam hutan diancam musang

 Agak lama aku membela ayam hutan, red jungfowl. Bukan senang nak dapat baka baik. Bagi yang dah lama menceburi hobi membela ayam hutan, tentu tau apa yang diinginkan. Ada orang bela ayam hutan sebagai denak untuk memikat ayam hutan yang memang real tinggal kat hutan sana. Ada orang membela untuk hobi semata-mata, ada yang suka bentuk dan saiznya, bulu, ekor, bunyi-kokok. Pendek kata setiap kita mungkin tak sama niat dalam melayan hobi yang satu ni.

Sepanjang aku membela ayam hutan, paling mengecewakan adalah ketika melihat ayam mati bergelimpangan dek serangan penyakit. Apalagi kalau bukan sampar. Hal ni memang frust abis tapi apa boleh buat. Hukum alam cuma bagi mengurangkan risiko semua ayam kita mati adalah mendapatkan vaksin untuk ayam-ayam tersebut. Ini mungkin berkesan.

Ancaman lain kepada ayam hutan yang aku pelihara ialah musang. Antara jenis musang yang pernah menyerang ayam peliharaan aku ialah Musang Luwak seperti dalam gambar. Mulanya aku sangka kehilangan ayam aku dan jiran yang lain adalah angkara anjing liar atau burung helang. Hampir 2 bulan ayam aku dan jiran dikerjakan, pada awalnya memang tak perasan kehilangan ayam-ayam ini. Tapi bila banyak sangat menyusut, maka terperasan la. Misteri kehilangan ayam-ayam ni semakin pelik kerana ayam yang dipelihara tidur di atas pokok. Mana mungkin serangan oleh anjing liar. Tak mungkin juga helang sebab kehilangannya pada sebelah malam. 

Maka beberapa ketika terkantoi la musang-musang ini apabila jiran-jiran terserempak dan bertentang mata dengannya pada sebelah malam. Musang-musang ini tak agresif dan tak akan menyerang manusia. Malah sifatnya juga pemalu biasanya merayau dan mencari makanan pada waktu malam. Suatu ketika juga jiranku terkejut kerana menjumpai sisa bangkai ayam di atas bumbung rumahnya. Hal ini disedari bila tercium bau busuk bangkai. Ketika ini naluri aku makin kuat mengatakan misteri kehilangan ayam peliharaan adalah angkara musang. 

Memang sah la serangan musang apabila aku sendiri bertembung dengannya di halaman rumah aku. Kejadian ni berlaku apabila aku memindahkan seekor ibu ayam bersama 5 ekor anak yang baru menetas dalam sebuah sangkar mudah alih ke halaman rumah aku. Sebabnya bimbang ayam-ayam tersebut hilang begitu saja dek ancaman musang. Malam kejadian aku mendengar ibu ayam berketak seolah-olah diganggu sesuatu. Aku pun pantas keluar rumah dan meluru ke arah sangkar. Tindakan pantas aku menerpa menyebabkan musang yang masih lagi leka menghulur tangannya ke dalam sangkar ayam terkejut besar. Jarak pertembungan kami kurang dari 2 meter. Ketika tu musang tersebut terkejut dan begitu juga aku.. haha. Nasib baik ibu ayam dan anak-anaknya selamat cuma sedikit kesan bulu ayam berselerakan sekitar sangkar. Tak sangka dapat bertembung dengan musang dan tak sempat pun memikir apa yang patut aku buat. Musang tersebut dengan pantasnya menghilangkan diri .

Setelah melalui sendiri pengalaman bertembung dengan musang, akupun membeli sebuah perangkap bersaiz 1 X 1 X 2.5 kaki. Kena tangkap musang tersebut agar ayam peliharaan aku selamat. Bukan boleh makan pun kalau dapat musang tu, niat aku cuma nak buangkan musang tersebut ke habitat hutan sejauh mungkin dari kawasan kediaman aku. Hampir sebulan memasang perangkap, aku masih lagi gagal menangkap musang tersebut. Bermacam-macam umpan aku letakkan tapi gagal mengena. Agaknya musang tersebut tak berani lagi mendekati kawasan peliharaan ayam aku kerana kejutan tersebut. Alih-alih perangkap yang aku pasang hanya mengena tupai. Kesian tengok tupai tu, aku lepaskannya semula. Lagipun tupai tak mengancam ayam-ayam peliharaan aku, sekadar tumpang sekaki makanan ayam saja. 

Aku sendiri dah bosan kerana perangkap tak mengena sasarannya. Ambil semula perangkap tersebut lalu catkan semula bahagian besi yang dah berkarat. Apalagi simpan la perangkap tersebut ke dalam stor. Aku juga ambil keputusan untuk mengurung ayam-ayam peliharaan dalam reban dan sangkar-sangkar buatan sendiri. Semuanya dengan niat agar ayam-ayam tersebut selamat dari ancaman musang andaikata muncul kembali. Cuma tak best la mengurung ayam hutan ni, biasanya kita nak tengok ia mematuk makanan, bermain, berkejaran dan terbang sekitar kawasan lapang di depan rumah aku ni.

Sunday, April 17, 2011

Jaguh buru ayam hutan?


Ayam hutan merupakan speseis unik yang jarang ditemui. Ayam-ayam ini hidup meliar di kebanyakan pelosok benua. Malaysia juga tidak terkecuali, jenis ayam hutan yang selalu ditemui ialah red junglefowl (ayam-hutan merah) atau nama saintifiknya Gallus gallus. Nama pun ayam hutan tentulah habitatnya di hutan, belukar, lembah-paya, bukit-bukau, pinggir kampung dan tidak terkecuali ladang dan kebun.

Boleh dikatakan semua jenis ayam hutan adalah pemalu dan menjauhi kelibat manusia. Barangkali nenek moyang ayam-ayam ini mengajar dan menurunkan nasihat agar jauhkan diri dari manusia kerana mereka ancaman terbesar.

Maka tidak hairanlah, kesukaran bertembung dengan ayam hutan akan menyebabkan timbul perasaan teruja bagi mereka yang berpeluang melihatnya secara sengaja atau tidak sengaja. Perasaan ini akan dikongsi bersama rakan-rakan di meja kopi bahawa si polan dapat melihat aksi ayam hutan.

Dari perasaan teruja mendengar di polan bercerita maka mulalah timbul perasaan geram dan kepingin menikmati daging ayam hutan. Ditambah lagi dengan cerita rakan-rakan yang pernah merasa daging ayam hutan selalu memuji dan mengakui daging ayam hutan yang jauh lebih enak mengatasi ayam peliharaan di rumah.

Pelan disusun dan strategi diatur untuk menumpaskan ayam hutan. Dalam ramai-ramai mereka berbincang, ada yang mengesyorkan agar meracip dengan denak, memasang jerat bidas dengan umpan buah sawit, menggunakan jaring (penyauk) menyuluh ketika malam dan ada juga cadangan ditembak dengan senapang.

Begitulah bermulanya langkah memburu ayam hutan. Memang orang dulu-dulu juga memburu ayam hutan. Peminat ayam hutan juga cuba memikat dengan caranya, begitu asyik katanya. Cuma kejadian penangkapan suspek pemburu ayam hutan ini amat mengejutkan. Pendek kata manusia ni kalau dapat betis, dia mahukan paha pulak. Memburu ayam hutan dalam kuantiti yang banyak dengan tujuan mengadakan kenduri. Memang pupus ayam hutan jika semua orang berkeinginan yang sama. Habis semua habitat atau port ayam hutan diserbunya. Asal muncul saja atau terbang sekalipun laras senjata akan dihala dan dibedil.

Memang patutpun ada peraturan dan penguatkuasaan bagi melindungi haiwan-haiwan liar yang terancam. Tangan-tangan manusia ini akan cuba menguji sejauh mana ia mampu capai dan bertindak. Kalau tak diambil tindakan, mereka akan terus berleluasa. Di luar sana memang ramai kaki pikat ayam hutan, mereka ini memang meminati dan melayan hobi dengan cara tersendiri. Tak dapat ayam hutan pun takpa, Janji dapat dengar kokok dan melihatnya, itu dah cukup. Mereka juga cuba membelanya, biarpun bukan 100 peratus original tapi mereka berbangga bercerita tentang ayam yang mereka miliki persis ayam hutan liar. Untuk pengetahuan, ayam hutan liar sukar dibela kerana akan mati meragan jika dikurung. Kebanyakan yang dibela telah dikacuk terlebih dahulu dengan baka ayam lain.

Jika direnung memang lucu mereka ini, tapi itulah namanya hobi dan minat tersendiri. Respect beb. Mereka ini selalunya berdisiplin, kalu dirasakan ayam hutan berkurangan, mereka pendamkan dulu hobi tersebut. Yelah, kalu tinggal ayam hutan remaja dan anak-anak takkan hampir punya dengan denak diorang. Turun ke laman pun jangan harap ayam-ayam ni akan rapat apatah lagi masuk bertempur dengan denak. Boleh diandaikan, peratus ayam hutan nak pupus memang sukar jika cara burunya sekadar racip dan denak.

Satu kisah menarik di sesetengah kampung pendalaman. Ada diantara mereka ini sangat anti dengan ayam hutan. Mana tidaknya, ayam hutan selalu berkunjung menziarahi ayam peliharaan mereka. Baka ayam baik-baik seperti sabung (ayam betina) habis menjadi mangsa habuan (mengawan) ayam hutan jantan. Tup-tup bila menetas telur dan membesar, baka ayam tersebut bersaiz kecil dan mungkin juga bertelinga putih seperti ayam hutan. Marah diorang bila generasi ayam bersaiz kecil angkara ayam hutan yang datang tidur dan makan kemudiannya membuat onar.. hehe.

Mungkin di kampung pendalaman tersebut ada banyak ayam hutan. Selalunya ayam hutan yang berkunjung dan mendekati ayam peliharaan kat rumah mereka ni adalah ayam hutan muda yang baru baligh, ayam hutan jantan yang kalah untuk menjadi dominan dan mungkin juga gagal merebut hati ayam hutan betina liar. 

Apapun memburu ayam hutan adalah salah mengikut Akta perlindungan hidupan liar 1972 (akta 76). Pihak Jabatan Perhilitan ditugaskan untuk menguatkuasakan akta bagi melindungi binatang liar, burung liar dan serangga daripada pupus dan ditangkap oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Namun pada musim-musim tertentu, kita boleh memohon lesen untuk memburu mendapatkan binatang liar dan burung liar yang dilindungi. Berurusanlah dengan Jabatan Perhilitan untuk tujuan tersebut. Untuk membela binatang liar dan speseis burung liar termasuk ayam hutan juga memerlukan lesen dari pihak Jabatan Perhilitan.

Wednesday, September 2, 2009

Red junglefowl, menariknya ayam hutan


Puas aku merayau mencari ayam hutan original untuk tatapan kawan-kawan yang selalu bertanya. Nak rakam sendiri kat hutan susah beb.. aku sendiri jarang ke hutan sebab kekangan masa dan loni aku menetap jauh dari kampung halaman.. dah 10 tahun merantau mencari rezeki di tempat orang.

Koleksi ini bukan dari rakaman aku tapi dari seorang peminat ayam hutan dari Thailand. Fuih… sangat-sangat cantik ayam hutan ini “Red junglefowl” dengan bentuk dan warna yang menawan. Paling best adalah bahagian ekor. Ayam hutan jantan ini hanya dihiasi bulu ekor yang boleh dibilang. Begitu juga yang ayam hutan betina yang mempunyai ekor nipis tetapi panjang. Sekali pandang persis burung dan memangpun ayam dari keluarga burung.

Biasanya peminat membela ayam hutan yang sudah dikacukkan dengan ayam kampung, ayam katik atau ayam tempatan yang lain. Bagi yang lama mengenali ayam hutan tentu boleh membezakan ayam hutan tulen atau sebaliknya. Perbezaan antara ayam hutan yang dibela dengan hidup liar di hutan juga boleh dibezakan dari bulunya. Ayam hutan liar memiliki bulu yang lebih cantik dan nampak urat berkilat setiap bulunya disebabkan faktor pemakanannya dan kemahiran penjagaan bulu semulajadi.

Bentuk badan ayam hutan liar juga lebih menarik kerana diet pemakanan yang seimbang dan mengikut keperluan. Bandingkan ayam hutan yang kita bela lebih kepada obesiti sebab sepanjang masa mengunyah makanan yang terhidang. Dah tu… asyik patuk dedak, jagung atau gandum saja.. mana tak buntal.

Apapun, ayam hutan seperti video di atas sangat menarik. Alangkah baik jika setiap kali membuka tingkap rumah awal pagi, kita dapat melihat ayam-ayam ini berkejaran mencari makanan di suatu sudut halaman rumah kita. Fuih, syoknya.

Lagi cerita red junglefowl, ayam hutan.

Thursday, November 13, 2008

Ayam Hutan, Junglefowl - Siri 2

Koleksi ayam hutan di tempat aku

Antara koleksi ayam hutan pelosok dunia
(Klik gambar untuk besarkan imej)
Hari ini aku ingin menyambung cerita tentang ayam hutan yang terdapat di sekitar kawasan kediamanku. Bagi kawan-kawan yang belum dan ingin membaca siri ayam hutan terdahulu sila klik sini. Ayam hutan ini dalam Bahasa Inggeris disebut ‘Junglefowl’ manakala dalam Bahasa Jawa disebut ‘ayam Alas’.

Seperti yang kita ketahui terdapat 4 jenis ayam hutan iaitu ayam hutan merah (Gallus gallus), ayam hutan srilangka (Gallus lafayetii), ayam hutan kelabu (Gallus sonneratii) dan ayam hutan hijau (Gallus varius).

Aku agak yakin ayam hutan disekitar kediamanku adalah spesies ayam hutan merah atau red junglefowl. Ini berdasarkan fizikal terutamanya warna bulu ayam hutan jantannya. Mungkin aku salah tetapi pembaca boleh melihat sendiri berdasarkan gambar yang disediakan. Yang betinanya setakat ini sukar dibezakan diantara spesies kerana bulunya hampir sama iaitu monoton.

Aku tak nak komen sama seperti artikel sebelum ini. Apa yang menariknya yang ingin aku berkongsi ialah ayam hutan liar di atas bukit berhampiran rumahku sering turun melawat selain aksi kokoknya saban hari demi menyahut kokokan ayam peliharaan aku. Bukan sekali dua malah berkali-kali ayam hutan ini melawat sekitar reban aku. Kadang-kadang ibu ayam hutan membawa anak-anaknya sekali. Paling kerap apabila pemotong rumput membersihkan kawasan semak samun di kaki bukit. Selepas rumput dipotong, ayam ini berpeluang mencari makanan yang terhidang di atas tanah sekitarnya.

Tentu kawan-kawan terdetik berapa banyak ayam hutan liar yang telah aku tangkap berdasarkan cerita tadi. Tiada seekorpun dapat ditangkap kerana sifat ayam hutan yang pemalu. Pantang nampak bayang manusia, unggas ini akan menjauhi sejauh mungkin dari kelibat manusia. Syukurlah andai nasib kita bertuah dapatlah bertembung unggas ini.

Kokokan ayam hutan berbeza dengan ayam kampung, ayam serama, ayam sabung atau spesies yang lain. Bunyinya lebih nyaring tetapi singkat. Jika ayam hutan yang lebih tua maka bunyinya lebih nyaring dan sedap didengar. Ibarat kelapa, makin tua makin banyak santannya. Kokok ayam ini bukan suka-suka. Unggas ini berbunyi bagi menandakan kawasannya. Biasanya ayam hutan yang lebih tua dan dominan akan berani memasuki kawasan ayam hutan lain. Malah sedia bertempur sesama mereka demi mendapatkan kawasan yang banyak sumber makanan, habitat tempat tinggal atau merebut ayam hutan betina.

Senjata utama ayam hutan jantan tentulah taji (susuh). Makin tua unggas ini makin panjang tajinya. Malah ada yang menjangkau 3 inci lebih. Memang gerun, andai ayam hutan ini sedang bertarung atau sedang menggelupur, jangan dekati bimbang taji ayam ini boleh mencederakan kita. Bukan niat menakut-nakutkan tetapi tragedi ini pernah berlaku.

Percaya atau tidak ayam hutan ini atau mungkin ayam bekisar (campuran ayam hutan dan ayam kampung/ serama) boleh dijinakkan. Tak pasti apa ilmu yang digunakan tetapi yang pasti ialah ilmu kesabaran, tekun dan niat ikhlas tidak menyakiti unggas ini. Aku sendiri tak pasti ketulenan ayam hutan ini atau cuma ayam bekisar. Memang jinak kerana ayam-ayam ini berani mendekati manusia malah sedia meragut cebisan roti dari tangan kita. Kira jinak-jinak merpati, nak pegang atau usap bulunya mimpilah. Kalau setakat beri makan padi, jagung dan pucuk daun pisang depan kaki tak jadi masalah, unggas ini berani mendekati.

Ini bukan cakap kosong, jom tonton video klip 1 dan klip 2 di bawah. Tonton sendiri rakaman ini. Ini video amatur, so jangan harap sangat kualiti gambarnya. Gambar jelas cuma bergetar sebab sebelah tangan pegang gajet yang sebelah lagi sibuk hulurkan makanan kepada unggas ini. Video ini juga telah bertukar format kepada flash sebab dimainkan di web youtube demi berkongsi pengalaman dan informasi. Aku tak dapat letakkan video tersebut di sini sebab dah tersedia di youtube, cuma klik saja untuk tonton.

Lagi cerita red junglefowl, ayam hutan
Ayam hutan-junglefowl
Red junglefowl, menariknya ayam hutan
Klip video 1
Klip video 2

Tuesday, March 25, 2008

Ayam Hutan - Junglefowl



(Klik pada gambar untuk zooming)

Cerita dan gambar ayam hutan, junglefowl siri 2, klik sini.
Bunyi kokok sayup kedengaran di pinggir kampung. Namun bayangan empunya diri sukar bertembung manusia. Itulah misteri bagi ayam-ayam liar yang hidup di hutan. Dalam Bahasa Jawa disebut dengan nama ayam alas manakala dalam Bahasa Inggeris junglefowl; semuanya merujuk pada tempat hidupnya dan sifatnya yang liar.

Ayam-ayam ini dari segi bentuk tubuh dan perilaku hampir serupa dengan ayam-ayam peliharaan, kerana hubungkait (keluarga) dengan ayam peliharaan. Perbezaan diantara jantan dengan betina adalah dari segi bentuk tubuh, warna dan ukurannya (dimorfisme seksual, sexual dimorphism). Ayam hutan jantan memiliki bulu yang berwarna-warni dan indah, manakala ayam betinanya yang cenderung berwarna monoton dan kusam. Begitu juga suara kokok, hanya ayam hutan jantan berbuat demikian. Ayam hutan betina boleh bersiul untuk menarik perhatian ayam jantan mendekatinya.

Secara umum terdapat empat spesies ayam hutan yang berhabitat mulai India, Sri Lanka sehingga sampai ke Asia Tenggara (merangkumi Malaysia) termasuk Kepulauan Nusantara. Keempat spesies itu adalah:
Ayam-hutan merah, Gallus gallus
Ayam-hutan Srilangka, Gallus lafayetii
Ayam-hutan kelabu, Gallus sonneratii
Ayam-hutan hijau, Gallus varius

Ayam hutan adalah pemakan segala, meskipun cenderung sebagai pemakan biji-bijian. Namun seperti ayam lain, ayam hutan juga memakan pucuk-pucuk rumput, serangga dan berbagai haiwan kecil yang ditemuinya.

Keluarga unggas ini biasanya hidup berpasangan atau dalam kelompok kecil. Tidur di atas ranting perdu atau semak, tidak terlalu jauh dari atas tanah. Pada musim bertelur, betina membuat sarang sederhana di atas tanah dan mengeram telurnya hingga menetas. Anak-anak ayam hutan diasuh oleh induk betinanya.

Tidak seperti ayam peliharaan, ayam hutan pandai terbang; tidak lama setelah meninggalkan sarang tempatnya menetas. Penulis pernah terlihat jarak aksi terbangnya melebihi 200 meter dan yakin unggas ini mampu terbang lebih jauh jika terdesak.

Ayam hutan merupakan salah satu jenis unggas yang menjadi sinonim dengan manusia sejak ribuan tahun yang lalu. Unggas ini boleh wujud berhampiran habitat manusia contohnya pinggir kampung, bukit dan hutan. Tidak hairanlah manusia sering menjumpainya atau telur jika bernasib baik. Telurnya boleh ditetaskan dengan meletakkan bersama telur ayam kampung untuk dieramkan oleh induk tumpang. Teknologi penetasan telur yang mengaplikasikan suhu juga adalah alternatif untuk menetaskan telur ayam hutan ini.

Anak ayam hutan lazimnya sukar tinggal bersama ayam peliharaan kita. Biasanya ia akan lari ke hutan dan berdikari. Jika kita membelanya, ia selalunya dikurung, namun sukar hidup lama kerana umpama sumpahannya yang masih misteri untuk dijelaskan. Selalunya ayam hutan yang dibela oleh kita telah dikacukkan dengan ayam peliharaan (ayam kampung). Kacukan ayam hutan dan ayam peliharaan biasanya dikenali ayam bekisar. Tetapi kita masih memanggilnya ayam hutan bila menjelaskannya kepada rakan disebabkan perasaan bangga memilikinya biarpun bukan tulen 100%.

Mengapa unggas ini begitu istimewa di kalangan kita? Ianya adalah kerana suara kokoknya yang merdu dan bulunya yang indah. Dan kokoknya itu bukan kokok biasa, andai kita di dalam hutan, kokoknya membawa isyarat tertentu yang sukar dijelas secara fakta. Ayam hutan mempunyai misterinya yang tersendiri, sukar melihatnya kerana haiwan ini pemalu dan sering mengelak dari bertembung manusia. Orang-orang tua berpesan minta berhati-hati mengusik atau menangkap unggas ini kerana adakalanya berkait dengan alam ghaib.

Bagi penggemar ayam hutan, mereka sanggup meredah hutan dan ladang-ladang bagi menangkap ayam hutan ini. Teknik yang digunakan ialah jerat dan racip. Ayam hutan yang ditangkap jarang dibela kerana sukar dikurung. Biasanya bila manusia mendekati, ayam hutan yang dikurung akan meronta pada jaring menyebabkan bulunya tertanggal. Ayam hutan liar yang berjaya ditangkap dan apabila dikurung akan muram dan pasif kerana dikeluarkan daripada habitat sebenar. Lazimnya tidak hidup lama apabila dikurung. Penggemar ayam hutan yang berjaya menangkap unggas ini akan menyembelih kerana isinya yang enak persis burung.

Satu lagi keistimewaan ayam hutan jantan adalah kegarangannya bila bertembung spesiesnya. Mereka akan menyerang satu sama lain untuk menentukan pemenang dan menguasai kawasan sekitar atau untuk memikat ayam betina. Serangan sesama ayam hutan jantan biasanya dengan cara mematuk menggunakan paruh. Namun senjata utama spesies ini ketika bertempur adalah taji yang terdapat pada sebelah atau kedua-dua belah kakinya. Taji yang runcing dan panjang (boleh panjang melebihi 2 inci) mampu membuatkan lawannya gerun atau berundur sebelum bertempur. Andai pertempuran tercetus antara ayam hutan jantan tidak mustahil ada yang luka, cedera atau terbunuh. Yang menang berkokok riang membuktikan kekuasaannya manakala yang kalah longlai mengundur diri atau terbujur kaku, itulah hukum rimba.

Memang menarik bercerita tentang ayam hutan. Namun sebagai manusia, kita dikurniakan akal untuk berfikir. Cerita ini bukan bertujuan memberi galakan kepada kaki buru hidupan liar. Ia sekadar menyedarkan kita keistimewaan dan keunikan spesies yang diancam kepupusan ini. Kita bersyukur andai hari ini kita masih berpeluang melihatnya, namun esok belum menjamin kemandirian spesies ini kekal di bumi kita. Bersama-sama kita menghargainya supaya generasi akan datang juga berpeluang melihatnya secara langsung.

Untuk pengetahuan pembaca,
Akta perlindungan hidupan liar 1972 (akta 76) jadual empat memperuntukkan bahawa spesies ayam hutan dilindungi daripada ancaman manusia. Pihak Jabatan Perhilitan ditugaskan untuk menguatkuasakan akta bagi melindungi binatang liar, burung liar dan serangga di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) daripada pupus dan ditangkap oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jenis-jenis lesen yang perlu diambil oleh orang ramai yang ingin mendapatkan binatang liar, burung liar atau serangga yang dilindungi oleh Jabatan Perhilitan ialah lesen binatang buruan (KPM 14A), lesen binatang liar yang diperlindungi (KPM15A), lesen serangga diperlindungi (KPM16A), lesen burung-burung pemburuan (KPM17A).

Lesen menangkap burung liar yang diperlindungi (KPM 18A), Lesen berniaga burung / binatang liar lesen dan lesen berniaga daging (KPM 19A), Lesen mengawet burung / binatang liar (KPM 20A), Lesen Import / Export Binatang / Burung Liar (KPM 21A), Lesen menangkap burung liar (KPM 22A), lesen memelihara burung liar (KPM 22A), Lesen menempat / Mengurung binatang / burung liar (KPM 24A), Lesen Terofi Binatang / Burung Liar yang diperlindungi (KPM 25A) dan Lesen mengambil dan menjual sarang burung layang-layang (KPM 26A).

Di bawah Seksyen 64 (1), mereka yang melakukan perbuatan menembak, membunuh atau mengambil binatang liar atau burung liar yang diperlindungi sepenuhnya dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-keduanya sekali. Di samping itu, di bawah Seksyen 65, mereka yang menembak, membunuh atau mengambil binatang liar yang diperlindungi sepenuhnya seperti badak kerbau, harimau belang atau harimau dahan atau memiliki sebahagian daripadanya dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Lagi cerita red junglefowl, ayam hutan
Ayam hutan, jungleforl-siri 2
Red junglefowl, menariknya ayam hutan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...