Showing posts with label buaya PD. Show all posts
Showing posts with label buaya PD. Show all posts

Sunday, August 22, 2010

Penemuan bangkai buaya di Port Dickson

 Lokasi penemuan bangkai buaya di garisan merah

Menggemparkan!
Itulah ungkapan yang biasa keluar apabila satu lagi berita tentang buaya muncul. Apatah lagi lokasi pertembungan antara manusia dan makhluk ini di kawasan popular sebagai kawasan pelancongan. Sebenarnya pertembungan dua makhluk ini (buaya dan manusia) jarang berlaku kerana buaya sendiri tidak suka kerana boleh mendatangkan padah padanya. Halwa telinga kita sendiri apabila mendengar perkataan ‘buaya’, persepsi yang muncul dibenak fikiran adalah ancaman, musuh, bahaya, membunuh, hancur digigit, teruja, gergasi, libas, udang galah, lubuk, puaka dan sebagainya. Kita sebenarnya teruja bila disebut penemuan buaya kerana kita miskin dengan pengalaman sebegitu apatah lagi menyimpan kenangan penemuan dengan mata kepala kita sendiri.

Bukan semua buaya ini adalah agresif, mendendami  dan mengidam daging manusia. Sehingga kini hanya buaya yang menghuni Sungai Rejang, Sarawak menyimpan sejarah dan laporan kes-kes serangan terhadap manusia. Sungai-sungai lain di Semenanjung Malaysia amat jarang kejadian buaya menyerang manusia. Jika pernah berlaku pun disebabkan kita memasuki lubuk buaya, terganggu sarang tempat buaya bertelur, terpijak belakangnya ketika di sungai, terancam, terjala atau terpukat buaya. Sungai-sungai di Malaysia sebenar kaya dengan hidupan akuatik yang menjadi makanan utama buaya. Buaya gemar memakan ikan dan udang. Selain itu jika rezekinya baik, dapatlah makan kera, itik, babi hutan, monyet, rusa atau haiwan liar lain. Sengaja aku ceritakan sedikit profil buaya di awal cerita penemuan bangkai buaya di Tanjung Agas, Port Dickson.

Bangkai buaya yang ditemui di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson pada 2 minggu lepas (2 Ogos 2010) Walaupun berita ini hampir sejuk, tapi aku ingin mengulasnya. Sehingga hari ini, masih ramai yang mengunjungi blog ini utk membaca berita penemuan buaya di Port Dickson yang pernah dilaporkan pada Feb 2009. Mungkin tag tajuk tersebut sepadan dengan berita penemuan bangkai buaya baru-baru ini. Betul ke buaya tersebut bersaiz besar? Berikut maklumat tentang bangkai buaya tersebut.
Jenis : Buaya Tembaga
Jantina : betina
Panjang : 5.48 meter
Ukur lilit : 2.43 meter
Berat : hampir 1000kg

Ya, kesimpulannya bangkai buaya tersebut memang besar. Saiznya mengatasi buaya-buaya yang terdapat Zoo Negara, Zoo Taiping, Zoo Melaka dan Taman Buaya Langkawi yang pernah aku kunjungi. Adakah kemungkinan bangkai buaya tersebut telah kembung, mungkin juga. Punca kematian buaya tersebut dikatakan kesan tembakan yang terdapat berhampiran sisi kiri kaki depan. Ada khabar mengatakan buaya tersebut ditembak di Sungai Linggi yang ketahui memang banyak buaya. Untuk maklumat Sungai  Linggi merupakan garis sempadan antara Port Dickson, Negeri Sembilan dan Melaka. Jarak lokasi penemuan bangkai buaya tersebut dengan penghujung Muara Sungai Linggi adalah kurang dari 1 kilometer. Boleh disimpulkan bahawa bangkai buaya tersebut hanyut dibawa arus dari Sungai Linggi lalu ditemui terapung di kawasan pantai Tanjung Agas oleh orang ramai.

Perkara yang sering bermain diminda kita, adakah pantai Port Dickson ada buaya yang berkeliaran? Selamatkah kita untuk mandi dan berenang di PD? Pahit untuk ditelan oleh kita semua terutamanya penduduk setempat, pengunjung setia PD dan pihak kerajaan negeri, memang beberapa kali telah direkodkan penemuan buaya di pantai Port Dickson di bahagian selatan yang penghujungnya adalah muara Sungai Linggi. Sebenarnya pantai Port Dickson menganjur panjang melangkaui beberapa mukim. Penemuan buaya yang direkodkan adalah di lokasi Port Dickson Selatan. Berikut antara lokasi penemuan buaya yang pernah direkodkan.
Pantai Tanjung Tuan (16 Februari 2009)
Pantai Kampung Hilir, Melaka yang berhampiran PD (15 April 2010)
Pantai Kampung Nelayan yang berhampiran muara Sungai Linggi (16 Mei 2010)
Pantai Kampung Kuala Linggi, Melaka yang berhampiran PD (26 Mei 2010)
Pantai Tanjung Agas (2 Ogos 2010- yang sedang diulas)

Terdapat satu kes iaitu pada 2 Jan 2010, seorang pengunjung pantai PD berhampiran Si Rusa yang mendakwa kakinya digigit ‘benda hitam’ seperti buaya. Berita tersebut menggemparkan ramai pihak. Berdasarkan kesan gigitan, ada pihak berkaitan yang menafikan ianya gigitan buaya berdasarkan rasional dan kajian mereka.

Persoalan yang menyesakkan fikiran kita, kenapa buaya-buaya ini berkeliaran dan dijumpai di pantai PD bahagian selatan sejak akhir-akhir ini? Sedangkan sejarah pantai PD sejak dulu lagi terkenal sebagai pantai tarikan pelancong dari dalam dan luar Negara.
Adakah buaya-buaya ini telah berelovusi dan menjadikan pantai PD sebagai habitat barunya?
Selain buaya dari Sungai Linggi, betulkah ada buaya air masin di pantai PD?
Adakah Sungai Linggi terlalu banyak buaya sehingga memaksa buaya yang kalah dlm persaingan merebut kawasan untuk berpindah ke pantai PD?
Adakah Sungai Linggi kekurangan makanan untuk buaya-buaya ini sehingga buaya keluar dari habitat asalnya?
Adakah manusia mengganggu dan merosakkan habitat asal buaya di Sungai Linggi?
Adakah buaya boleh mendiami kawasan air tawar dan air masin pada bila-bila masa?
Adakah kesan arus air dari Sungai Linggi yang mengalir masuk ke laut PD mempengaruhi lingkungan pergerakan buaya?
Adakah kemungkinan buaya-buaya ini menyerang manusia?
Sampai bila kejadian ini akan berlaku? Selamatkah kita untuk mandi di PD?

Semua persoalan ini sukar untuk dijawab. Patutnya ada kajian dari pihak yang pakar tentang kejadian penemuan buaya di pantai Port Dickson. Tentu banyak kebaikan sama ada untuk manusia atau buaya dapatan dari penjelasan terperinci. Mungkin akan ada saranan kepada kita bagaimana manusia dan buaya boleh meneruskan kehidupan tanpa saling mengancam.

Aku percaya, adalah nakal untuk menyimpulkan bahawa keseluruhan pantai PD tidak selamat utk aktiviti mandi dan berenang. Pantai PD menganjur panjang, mungkin Port Dickson  bahagian utara menjadi tarikan untuk kita kunjungi.

Mungkin anda berminat membaca post:
Kelibat buaya Tanjung Tuan, Port Dickson
Buaya Bujang Seruai-siapa kejam
Harimau bintang tumpaskan buaya
Badak air tumpaskan buaya
Ular gergasi telan buaya
Buaya darat ditemui di Brazil

Monday, February 16, 2009

Kelibat Buaya Tanjung Tuan



Gambar di atas dirakam di Port Dickson oleh seorang ahli persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Khoo Swee Seng yang terkejut dan teruja kerana berpeluang meneropong seekor buaya air masin yang kebetulan timbul di perairan Tanjung Tuan semalam. Beliau yang datang ke situ setiap tahun bagi memenuhi hobinya meneropong pelbagai jenis raptor di kawasan itu dan terkejut apabila ternampak kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.

“Saya tidak menyangka ketika cuba meneropong pelbagai raptor di kawasan ini tiba-tiba objek yang saya lihat dalam teropong itu adalah seekor buaya,” katanya.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin ketika beliau dan isteri bersama dua sukarelawan datang ke Tanjung Tuan dekat sini.

“Setiap tahun saya datang ke Tanjung Tuan sempena Minggu Melihat Raptor untuk menyaksikan penghijrahan pelbagai jenis raptor seperti helang yang menyeberang dari Pulau Rupat, Sumatera ke sini, tetapi kali ini, saya tidak menyangka seekor buaya berada di kawasan ini.

“Buaya yang dipercayai buaya air masin atau nama saintifiknya, estuarine crocodylus prosus, muncul kira-kira 20 meter dari pantai selama kira-kira 30 minit dan kelihatan bergerak melawan arus ke arah selatan,” katanya.

Kesimpulannya, kawan-kawan kita yang mandi-manda di pantai Port Dickson dan sekitar eloklah berhati-hati. Bukan apa, kita beringat. Memang diketahui, terdapat buaya air masin tapi jarang ditemui. Dalam National Georaphic Channel ada dirakamkan kehidupan buaya air masin dan habitatnya. Di Malaysia, kita lebih mengenali buaya air tawar yang senang di temui di sungai-sungai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Buaya-buaya ini kebiasaannya tidak menyerang manusia dan memakan haiwan kecil, ikan dan udang. Ini kerana jenis buaya itu sendiri memang diketahui tidak agresif terhadap manusia. Antara buaya-buaya itu adalah buaya katak, buaya jenjulung dan buaya tembaga. Cuma kita jangan mengancamnya atau mengganggu habitatnya, kebanyakan haiwan lain juga akan bertindak balas apabila merasa diri mereka terancam termasuklah buaya.

Namun berlainan pula buaya yang terdapat di Sungai Rajang, Sarawak. Buaya-buaya ini agresif dan memburu manusia. Banyak laporan akhbar melaporkan serangan buaya ini terhadap manusia. Ramai yang menjadi mangsa dan terkorban. Antara hulu sungai yang bersambungan dengan Sungai Rajang dan sering melaporkan serangan buaya ganas ini terhadap manusia adalah Batang Lupar.

Tiada petua terbaik menghalang serangan ini selain menjauhi dan tidak mengganggu habitatnya. Beringat dan berhati-hati sebelum kena, “air tenang jangan disangka tiada buaya”. Seandainya kita dalam situasi diserang buaya, langkah yang terbaik adalah elakkan buaya mengheret kita ke dalam air. Tapi kalau dah berada di dalam air, maka langkah terbaik adalah mencucuk-cucuk sekitar dan sebaik-baiknya tepat ke mata buaya. Ini adalah petua ketika berdepan serangan buaya, besar kemungkinan buaya akan melepaskan gigitannya.

Gambar di atas, ihsan Metro Online 160109

Mungkin anda berminat membaca post:
Penemuan bangkai buaya di Port Dickson
Buaya Bujang Seruai-siapa kejam
Harimau bintang tumpaskan buaya
Badak air tumpaskan buaya
Ular gergasi telan buaya
Buaya darat ditemui di Brazil

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...