Showing posts with label sungai kerian. Show all posts
Showing posts with label sungai kerian. Show all posts

Thursday, December 12, 2013

Memburu ikan kaloi gergasi

Ikan kaloi Sungai Kerian - kental dan lasak

Pada 5 Disember 2013, aku, Damia (anak sulung) dan Syahril (sepupu) menaiki bot untuk memancing kaloi di Sungai Kerian. Dah lama berhajat untuk memancing kaloi, kebetulan kali ini air Sungai Kerian agak jernih disebabkan musim hujan yang berlarutan. Sebenarnya bulan September lalu, dah cuba buru kaloi gergasi dengan memasang rawai di dalam Sg Kerian tapi tidak bernasib baik. Mungkin disebabkan faktor air yang keruh dan berarus deras, tiada langsung kaloi yang tumpas.

Balik bercuti kali ini, Syahril dah ready nak bantu memburu kaloi, kalau dapat nak tumpaskan kaloi gergasi Sg kerian. Aku membawa pulang 2 set rod pancing untuk tujuan tersebut. Kat Shah Alam lagi aku dah siap membeli mata kail dan tali yang sesuai. 

Sebenarnya percutian aku hampir 2 minggu. Kebetulan adik perempuan melangsungkan perkahwinan dalam cuti tersebut. tinggal la beberapa hari pun untuk memancing, makin stres hujan turun berterusan. ada ketikanya, seharian hujan dan tak nampak langit.

Tekad nak buru kaloi belum luntur. Pada 5/12/13 (Rabu) kami mudik di Sg Kerian mencari port (lubuk) kaloi. Paginya aku ke Pekan Parit Buntar membeli umpan. Tak susahpun, beli cengkerik RM4.00 dah cukup. Masa kecik-kecik dulu, selalunya aku dan rakan-rakan menggunakan umpan pepatung atau kelopak bunga raya merah. Dah biasapun memancing kaloi, kadang2 ikan kaloi yang tumpas bersaiz lebih 5 kg.

album gambar menyusul nanti
 


Saturday, September 1, 2012

Trip pancing udang galah Sg Kerian

Bagi kaki pancing yang berminat memancing udang galah di Sungai Kerian tetapi tidak tahu bagaimana memulakannya, boleh mengikuti trip memancing udang galah yang ditawarkan oleh kumpulan nelayan yang mengusahakan bot sewa. Banyak lagi aktiviti menarik yang disediakan selain memancing udang galah.
Apa yang menariknya Sungai Kerian.
  • Sungai ini panjang menganjur dari Tasik Bukit Merah-Sg Selama-Sg Kerian.
  • Flora dan faunanya menarik bagi eksplorasi ber'bot' dan kaki foto.
  • Terkenal sebagai habitat Ikan Arowana Emas yang semulajadi.
  • Udang galah dan baung kuning Sg Kerian terkenal dan sedap isinya.
Tetamu luar menyewa bot kebiasaanya untuk
  1. Memancing udang galah
  2. Memancing ikan seperti baung, patin, kaloi, dan toman
  3. Snap gambar pro flora dan fauna bagi jurufoto yg meminati natural.
  4. Menikmati keindahan sepanjang Sg Kerian dan Sg Selama melalui jalan air.
  5. Melihat burung yang jarang ditemui terutamanya burung yang migrasi bermusim.
  6. Aktiviti memburu dengan senapang (perlukan permit memburu dari pihak berwajib).
Apa yang ditawarkan
Pakej lengkap penyewaan (8 jam siang atau malam)
(terhad kepada 2 pemancing + 1 jurumudi yang disediakan atas faktor keselamatan) 
  1. Bot gentian kaca dengan berenjin dan jurumudi berpengalaman
  2. Set rod pancing udang galah
  3. Umpan pancing boleh discuss jenis dan kos jika mahu
  4. Jaket keselamatan (life jaket) 
  
Kemudahan lain
  1. Perkampungan nelayan (Simpang Kubu) menyediakan homestay dengan harga yang berpatutan.
  2. Jalan berturap yang selesa sehingga ke pengkalan bot.
  3. Suasana sawah padi yang cukup indah, diselang-seli dengan terusan (parit) yang menjadi tumpuan kaki pancing haruan, puyu dan keli.
  4. Ternakan ikan dalam sangkar di dalam Sungai Kerian. Ikan ketika ini adalah talapia, baung dan keli boleh dibeli terus. Ikan ini yg menariknya tidak hanyir seperti ternakan kolam.
  5. Berhampiran bandar Parit Buntar untuk kemudahan membeli keperluan.

Apa yang kaki pancing dapat
  • Jurumudi berpengalaman yang tahu selok belok pengendalian bot dan lubuk memancing.
  • Semua hasil memancing adalah milik anda.
 Bagi geng pancing yang ingin kendali sendiri bot

Jenis bot fiberglass

Kapasiti bot

Harga sewa

Bot dgn enjin 4hp

1-2 pemancing

RM 80

Bot dgn enjin 8hp

2 pemancing

RM 100

Bot dgn enjin 15hp

3 pemancing

RM 120

Bot dgn enjin 15hp berbumbung

3-4 pemancing

RM 150

Anda semua dialu-alukan ke kampung kami

KAMPUNG KUBU & KAMPUNG ASAM KUMBANG
Bandar Baharu, Kedah

Jom nikmati hasil pengalaman memancing udang galah
untuk booking hubungi
Syahril Aman aka Kumbang - 01136169663
Raja Suzilawati - 0167491559
Penulis Hissham Alam Megah - 0192625653
Nah, hasil tangkapan yang mengujakan, sepit biru juga berjaya ditumpaskan.

Bot memecut menuju lubuk memancing udang galah. Sungai Kerian bagaikan rumah kedua kerana di sinilah pelbagai aktiviti harian berlaku :)
Teruja bila joran2 disentap serentak oleh sepit biru. Macam nak luruh jantung selagi udang belum tewas. Jarang2 berlaku, menjadi kenangan manis dan bualan di kedai kopi.

APABILA KRU RTM DATANG UNTUK SHOOTING PANCING UDANG GALAH SG KERIAN

Tarikh : 2 dan 3 Oktober 2013
Hari : Rabu dan Khamis
Penginapan : Homestay Toklang Ina
Kolaborasi : Geng pancing udang galah, Penduduk Kg Asam Kumbang dan 6 Kru RTM
Aktiviti : Memancing udang galah dan jelajah cabang Sg Kerian antara Simpang Gagah, Pengkalan Orang Putih, Teluk Pilu, Lubuk Rumbia dan Kuala Polong pada 2/10/2013.
Cabaran memancing 2 jam dengan hasil sekati (600 gram) udang galah pada 3/10/2013.
Diskusi dan kongsi pengalaman 'anak sungai' dan aktiviti kampung dengan kru RTM 

Lubuk Joran siri 2


Team abang-abang bawah ni sempoi, lama tak jumpa sama-sama depa... nah sekali mau jumpa, atur program mengail udang sama2. Sembang tanya habaq pun dapat, jenggo sepit biru pun dapat... pergh tahniah...







Sunday, June 19, 2011

Karam di lubuk buaya



Kejadian itu masih kekal terpahat di dalam ingatan aku. Mana taknya, nyawa aku dan rakan hampir melayang di Sungai Kerian akibat karamnya perahu yang kami naiki. Perahu tu karam berpunca pemanduan kurang berhemah diri aku sendiri lalu terbaliklah ia. Kejadian itu berlaku pada hari ke-4 raya qurban tahun 1998. Ketika itu masih lagi dalam mood raya, sempena cuti aku dan rakanku, nazaruddin plan nak pancing udang galah. Memang aku kaki pancing udang galah sejak dari kecil lagi. Maklumlah rumah berhampiran sungai. Pada pagi kejadian lebih kurang 10.00 pagi, aku dan Nazaruddin pun turun le ke sungai. Sampai di tebing sungai, aku pun mempelawa rakanku ini menaiki perahu orang tuaku. Kebetulan ari tu orang tuaku tak ke sungai untuk memancing udang seperti lazimnya.

Opsttt, lupa bagitau Sungai Kerian tu memang panjang, Jangan tanya berapa kilometer tapi korang boleh lihat sendiri kat google map dan buat penilaian sendiri berapa panjang sungai tersebut. Bila dah panjang, aku kena la bagitau area mana pengkalan bot dan kampung aku, namanya Kampung Kubu dalam daerah Bandar Baharu. Aku jugak nak bagitau lah keadaan Sungai Kerian tu. Bukan sekadar berliku-liku dan deras arusnya ketika air sungai surut. Ingin aku maklumkan juga kedalaman perut sungai puratanya lebih kurang 20 meter, aku tak ukurpun guna pita ukur cuma sekadar angkaran saja bila jatuhkan tali pancing ke perut sungai. Pancing udang galah ni kena jatuhkan tali kail sampai mencecah perut sungai. Maka bahagian tali yang hampir dengan mata kail perlu dipasang ladung yang merupakan logam pemberat agar mata kail yang terpasang umpan tadi tidak hanyut dan terapung. Udang galah ni biasanya mendiami perut sungai dan jika ia bergerak pun hampir-hampir mencecah dasar jugak.

Ayuh, sambung semula cerita. Kat pengkalan bot ni memang banyak bot fiber glass tapi ayahku cuma memiliki sebuah perahu kayu sahaja dan sebuah enjin bot 2 kuasa kuda (ketika tu). Walaupun tak sehebat bot fiber glass, tapi syukur la kurang-kurangnya enjin motobot buruk masih boleh digunakan. Kira tak payah berkayuh dengan dayung, kalu tak mau kebas tangan dan terbatas pergerakan memancing. Selesai membuka ikatan tali yang menjadi pengikat perahu di pengkalan bot. Aku pun menolak tebing sungai dengan kaki agar perahu bergerak keluar dari pengkalan. Yes, berjaya step 1. Aku pun bergerak ke belakang perahu dimana tersangkutnya enjin motobot 2 kuda. Apalagi, start enjin lalu bergerak slow-slow ke arah hulu sungai. Niat nak mancing udang galah di port (tempat) baik yang selalu aku pancing dulu-dulu. Ketika tu air sungai sedang surut, maka perahu sedang bergerak menentang arus. Memang tak laju pergerakan perahu dek aliran arus sungai yang menujah.

5 minit kemudian tiba la kat port memancing yang dimaksudkan. Berdebar-debar nih, moga-moga ada rezeki udang galah kat situ. Selesai ikat tali perahu pada ranting pokok yang menjulur ke sungai. Apalagi, buka ikatan set rod pancing yang berjumlah 8 batang lalu pasangkan umpan pumpun pada mata kail. Rakan aku nih memang tak penah ke sungai apatah lagi memancing udang galah. Ni kira pengalaman pertamanya, bangga aku sebab merealisasikan harapan dan impian mamat sorang nih. Macam-macam aku ajar padanya bagaimana memancing udang galah. Dalam ajar-ajar tu sesekali aku kenakan jugak mamat ni. Kami berdua saja, maka sapa lagi nak kenakan kawan kalu bukan aku.. he3. Bukan apa saja usik bagi happening skit. Apapun kat port tu kami dapat 2 ekor udang galah.

Lepas sejam pancing situ, kami ambil keputusan pindah ke port mancing yg lain pulak. Kat port ke-2 tu pun dapat la 2-3 ekor udang galah saiz teruna dan baby saiz ibu jari. Pasang niat nak naikkan udang galah saiz ranggah dengan sepasang sepik biru panjang 2 kaki. "Belum rezeki tu, jangan cepat putus asa" dok terbayang di fikiran kami. Sambil pancing dok bercerita la projek dan pengalaman masing-masing sebab lama tak jumpa. Aku ketika tu sedang mengikuti pengajian peringkat diploma di utara tanah air, si Nazaruddin pulak sambung pengajian di KL. Lebih kurang sejam jugak di port ke-2 kami angkat kaki untuk cari port baru dengan harapan untuk penuhkan kampit udang yang terikat di sisi perahu.

Nasib yang sama jugak di port memancing berikutnya. Tak banyak pun, dalam 6 port memancing, akhirnya kami ambil keputusan untuk balik. Tu pun selepas 5 jam memancing. Kira puas la memancing dengan hasil 15 ekor udang galah pelbagai saiz cuma kami gagal naikkan ranggah saja. Rakan aku ni punya la suka sebab kali pertama memancing dah berjaya naikkan udang galah. Mamat ni selalunya dok pancing ikan puyu saja dalam bendang tepi rumah dia.

Perut masing-masing dok menyanyi irama lapar. Dok terbayang udang galah goreng kunyit beserta kacang buncis dan salad bakal jadi menu hidangan. Fuih, sedap tu. Bukan takda masakan lain yang best, cuma nak rasa nikmat isi udang galah tanpa gangguan rasa lain. Biasanya orang buat masak ros tomato dan masak lemak cili padi beserta belimbing buluh. Terangkat beb. Udang galah yang dipelihara dalam kolam tak mampu menandingi yang keenakan udang galah yang hidup di habitat semulajadi Sungai Kerian.

Sambung semula cerita, ni kira klimaks la. Dengan hasil 15 ekor udang galah, kira kejayaan besar la tu aktiviti memancing kami. Kami pun ambil keputusan untuk pulang. Jam pun dah hampir pukul 4 petang. Siap angkat kesemua pancing dan buangkan umpan yang masih bersisa pada mata kail, aku bukakan tali pengikat perahu pada ranting pokok yang menjulur ke arah sungai. Rakanku pulak naik kampit udang galah ke dalam perut perahu. Bukan apa, kalu dibiarkan kampit tersebut di sisi perahu boleh menyebabkan udang galah mati sebab kena hempasan air ketika perahu bergerak.

Aku pulak hidupkan enjin bot dan mula bergerak perlahan-lahan. Memang tak mau singgah mana dah, nawaitu nak terus pulang ke pengkalan sebelum balik rumah masing-masing. Perahu yang tadi bergerak perlahan mula memecut bila aku tinggikan minyak. Rakanku pulak berkemaskan barang dalam perahu yang nampak bersepah. Ketika dia cuba mengumpulkan semua rod pancing dengan niat untuk mengikat dalam satu set agar mudah dibawa balik nanti. Ketika itulah kejadian perahu kitorang terbalik takkala aku membetulkan haluan perahu yang tersasar menghampiri tebing sungai. Niat nak belokkan perahu kembali ke haluan sepatutnya tapi tak sangka ketika tu rakanku sedang bertinggung (cangkung) untuk mencapai rod pancing sebelum diikat. Apalagi rakanku hilang imbangan badan lalu terduduk (terlentang ke belakang) di bahagian tepi perahu. Fuhhh, 2 saat saja air melimpah dan perahu terus tenggelam. Hanya muncung kepala perahu saja yang nampak manakala bontot perahu tenggelam disebabkan enjin bot masih tersangkut di situ. Nasib baik enjin bot tak cukup berat, kalu tak tenggelam terus dalam dasar sungai dan jadi tukun kat situ.

Kami pulak panik dengan muka masing-masing pucat. Terapung-apung di tengah sungai yang lebarnya lebih kurang 70 meter, masing-masing terdiam tanpa kata. Kebetulan juga ketika tu air sungai sedang pasang, kalu air sungai sedang surut maka kami bakal dihanyutkan arus. Nasib baik aku dan rakan boleh berenang. Ketika darurat macam ni memang penting ilmu renang, kalu tak tahu renang abis la. Yang bermain kat kepala aku ialah buaya boleh muncul bila-bila masa saja. Memang Sungai Kerian banyak buaya, sebab tu la udang galah pun banyak. Mula-mula terpikir jugak nak berenang ke tebing sungai, akupun perhatikan bahagian tebing mana nak mendarat, wargh... terpandang kuala pertemuan parit besar dengan sungai. Sah la aku tahu tempatnya. Tadi masa perahu bergerak tak perasan pun. Inilah kuala yang menjadi buat mulut kaki pancing udang galah. Selalu diorang terserempak buaya timbul di kawasan tersebut. Menurut diorang, buaya tu la yang menjaga kuala tersebut. Biasanya hanya seekor saja buaya yang menjadikan setiap kuala sebagai kawasannya. Buaya-buaya lain akan mencari kawasan mereka sendiri. Manakala buaya yang baru meningkat dewasa pulak biasanya merayau-rayau mencari makanan, kalu nasib tak baik dan terserempak buaya yang menjaga kawasan tersebut. Nahas la.

Balik cerita kami, aku dan rakan nekad bertahan di tengah sungai. Berenang agar kekal terapung. Nun di hujung sana lebih kurang 600 meter sayup-sayup dengar nelayan yang memancing dengan perahu, menjerit perasan ada bot terbalik. Dalam hati aku rasa lega dan berharap mereka lekas sampai dan menyelamatkan kami. Penantian cukup menyeksakan, memang dok terbayang buaya bila-bila masa boleh muncul depan kami. Masa tu aku pasrah la, lawan sekadar terdaya. Otak sempat lagi pikir, kalu buaya muncul, ia akan pilih sama ada aku atau rakanku bakal dilahapnya. Kalu aku yang dipilih, rugi la buaya tu sebab aku kurus kering, berat cuma 52kg time tu. Kalu dipilihnya rakan aku memang banyak isi sebab beratnya lebih kurang 70kg anggaranku. haha.. maka aku berenang tak jauh dari rakanku. Memang menyeksakan, sesekali aku memandang tebing, mana la tahu ada buaya yang baru nak turun tebing sungai untuk melihat apa yang terjadi. Bagaimana enjin bot yang menderum hebat tadi tiba-tiba lenyap bunyinya bersama kocakan air yang menghempas tebing sungai. Hampir 7 minit terapung baru la muncul dua buah perahu nelayan yang nampak ketika perahu kami terbalik tadi. Aku la yang paling pantas capai perahu salah satunya dan lekas-lekas memanjat naik ke dalamnya. Dalam hati masih lagi terpikir, selagi lambat keluar dari permukaan sungai, buaya masih ada peluang menyambar kaki kami. Tuhan saja la yang tahu perasaan ketika tu. Dah diselamatkanpun, sempat lagi aku bertanya kenapa lambat sampai, memang mulut tak sedar dek untung. Mereka pun bagitau la kena naikkan semua tali pancing yang terpasang di dalam sungai, kena bukakan tali pengikat perahu pada pokok, kena hidupkan enjin baru la boleh bergerak ke arah kami.

Setelah kami berdua diselamatkan, perahu kami yang karam tadi di tarik ke tebing sungai. Kami rapatkan perahu tu ke tebing dan buangkan air yang memenuhinya. Baru perasan, kampit berisi udang galah masih kemas terikat. Kira rezeki udang galah memang untuk kami jugak, takda yang terlepas. Alhamdulillah, selesai saja buang air dalam perut perahu, aku tolak semula perahu menjauhi tebing dan menaiki kembali perahu tu. Sah, takda bahagian perahu yang rosak cuma enjin bot saja dimasuki air menyebabkan ianya tak boleh dihidupkan. Aku pinjamkan dayung dari nelayan yang menyelamatkan kami. Bukan orang lain pun, sahabat-sahabatku juga. Menetap dalam kampung yang sama denganku. Tujuan aku pinjamkan dayung ialah untuk mengayuh perahu bagi mengutip papan lantai perahu yang bertaburan di sekitar tempat perahu karam. Sahabat-sahabat juga membantu. Sekejap saja kami selesai kutip dan pasang kembali lantai perahu, satu lagi tugas sukar menanti. Aku meminjam rod pancing sahabat yang datang menyelamatkan kami tadi. Tujuannya adalah untuk cuba memancing rod pancing orang tuaku yang telah jatuh tengelam di perut sungai ketika perahu terbalik tadi. Harapanku agar mata kail yang dicampak ke dasar sungai bakal tersangkut pada rod pancing yang tenggelam. Sekali lagi sahabat-sahabat tak lokek membantu. Akhirnya daripada jumlah 8 rod pancing yang tenggelam, kami dapat naikkan 4 rod pancing tersebut. Kira syukur dan berbaloi la daripada hilang kesemuanya. Hampir sejam tersadai di kawasan tragedi setelah menyelesaikan apa yang patut, salah seorang sahabat ku pelawa untuk menunda perahuku ke pengkalan. Ibarat "pucuk dicita, ulam mendatang" aku pun sambut pelawaan (setuju) itu. Mau tak sambut, kalu kayuh pakai dayung yang dipinjam tadi, boleh jadi hampir 30 minit baru boleh tiba di pengkalan tambatan perahu. Bila perahu ditunda oleh sabahat tadi, lebih kurang 5 minit dah sampai ke pengkalan. Untuk maklumat, sahabat yang menunda perahuku tadi menggunakan enjin bot 3 kuasa kuda.

Dalam perjalanan tu, sahabat tadi memaklumkan mereka juga terkejut dengan kejadian perahu kami terbalik. Yang pertamanya ialah betul-betul di muka kuala tempat buaya kerap muncul terapung. Yang kedua, kawasan tu juga merupakan kawasan agak keras bagi kaki pancing. Mereka sering terserempak jelmaan perempuan tiga beradik yang suka mengusik kaki-kaki pancing terutamanya ketika pancing waktu malam. Sempat juga disoalnya aku, ada ternampak ke jelmaan perempuan 3 beradik tu. Pantas aku menjawab, takda la pulak. Tentu ada yang tertanya, kat mana kawasan tragedi tersebut. Bagi yang familiar kawasan tu, aku maklumkan tempatnya ialah diantara Pengkalan Orang Putih dengan Kuala Pengkalan Paklang Man. Ada sebuah kawasan pokok rasau yang dibelakangnya ada sebuah kuala pertemuan parit besar dengan sungai di sebelah Perak. Untuk makluman semua. Sungai Kerian tu merupakan garis sempadan negeri Kedah dan Perak.

Itulah ceritanya. Hampir 13 tahun kejadian tu berlalu. Memang tak boleh lupa sepanjang hayat. Di situlah tempat aku memancing udang galah, memancing ikan kaloi king size, mencari buah nipah dan meneman ayah menembak burung punai di atas pokok jawi yang banyak terdapat di tebing sungai. Dulu-dulu segenap pelosok sungai aku merayau, nama tempat (port) memancing seperti Sungai Selama Kedah, Sungai Selama Perak, Sungai Kampung Raja, Simpang Gagah, Pengkalan Orang Putih, Pokok Binjai Tumbang, Kuala Pak Bakar dan Feri Tenggelam memang tak asing bagiku. Apapun banyak lagi nama tempat memancing udang galah di sekitar batang Sungai Kerian yang aku dah lupa. Berbelas tahun dah tak turun ke sungai tu.

Terima kasih kepada Md Sabri dan Abang Din yang datang membantu ketika perahu terbalik.
Buat rakanku Nazaruddin, tak menyesal blajar renang sampai kena tampar depan junior-junior sebab kantoi berkubang.


 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...