Saturday, April 19, 2014

Madu lebah bandaraya Shah Alam

Tahun ke-15 aku menetap di Shah Alam, Selangor.

Ceritanya bermula 4 bulan yang lalu apabila mata terpandang makhluk kecil berterbangan sekitar pokok mangga besar. Seperti dijangka, memang sah aksi sekumpulan lebah berterbangan di sekitar pasu bunga berhampiran pangkal pokok mangga. Kedudukan pasu kosong yang terbalik menjadi pilihan sang lebah untuk menghuninya. Aku jangkakan mungkin persinggahan sementara sahaja, sebab sekitar kawasan kediaman kami adalah tumpuan orang samada berehat atau memetik buah mangga yang selama ini berbuah sepanjang tahun. Jangkaan aku meleset sebab bulan berganti bulan, kumpulan lebah terus bersarang di situ.

Kumpulan lebah semakin banyak, berterbangan sekitar pasu dan kawasan tanaman pokok bunga dan buah-buahan. Ada hampir 50 pasu pokok bunga dan herba. Manakala sekitar kawasan rizab TNB pula ada pelbagai pohon buah-buahan dan herba antaranya mangga, nanas, ubi kayu, dragon fruit, limau bali, rambutan, jambu batu, jambu air, betik, delima madu, kelapa, buluh, biak, pokok kaduk dan pokok pisang.

Mungkin tanaman ini menarik minat sang lebah mengumpul madu seterusnya bersarang sekitar kawasan ini. Untuk menjaga kawasan rizab TNB ini biasanya aku gunakan racun rumput 'Roundup' sekali setiap 2 bulan. Ok la, selama ini subkontraktor TNB tidak perlu lagi memotong rumput sekitar hadapan rumah kami. Setiap kali aku meracun, kelihatan lebah berterbangan selepas diganggu kehadiran aku. Lebah-lebah ini selalunya hinggap pada sejenis tanaman (rumput kecil) setinggi sekaki yang mengeluarkan bunga bewarna ungu muda.

Pada awal kehadiran lebah ini sebenarnya merunsingkan kami dari aspek keselamatan. Bimbang lebah ini akan menyengat mangsa suatu hari nanti. Namun beberapa 'orang lama' meyakinkan kami bahawa lebah ini bukan speseis lebah liar. Lebah ini adalah speseis lebah madu yang mungkin suatu ketika dulu pernah diternak oleh orang lain.

Jiran-jiran sekitar kejiranan aku mengaku tiada pengalaman dan tidak berani mendapatkan madu lebah tersebut. Aku sendiri tidak tahu dan takut untuk mengganggu kumpulan lebah ini. Niat untuk mendapatkan madu lebah tersebut terpendam begitu saja. Ada yang memberi cadangan, panggil saja pasukan bomba untuk menyelesaikan masalah.

Jeng... Jeng... Nak dijadikan cerita. Pagi 2 hari lepas, aku menyapa dan berbual dengan bapa mertua kepada jiran sebelah rumah (Cikgu Zahid) yang datang untuk ziarah cucunya yang berumur setahun yang kurang sihat akibat cirit-birit. Beliau menetap di Jitra, kedah. Sembang punya sembang terpacul cerita lebah bersarang. Terus beliau menawarkan diri untuk membantu mendapatkan madu lebah tersebut berbekalkan pengalaman yang ada.

Aku cuma diminta menyediakan surat khabar lama untuk mengasap sarang lebah tersebut. Cukup mudah tugas aku, selebihnya bapa mertua jiran aku yang buatkan. Memang banyak koloni lebah yang bersarang di dalam pasu tersebut. Kelihatan cukup banyak lebah berterbangan dan melarikan diri akibat tidak selesa bau asap dan haba yang terhasil dari pembakaran kertas surat khabar lama. Tempoh 4 bulan lebah bersarang mungkin adalah jangka masa yang lama untuk lebah membiak dengan banyaknya.

Hampir 20 minit mengasap sarang lebah tersebut, Pak Hasan memutuskan untuk menterbalikkan kedudukan asal pasu tersebut. Teruja dan terkejut juga sebab inilah pengalaman pertama aku menyaksikan bagaimana madu lebah diambil dari sarang lebah. Memang menakjubkan melihat kedudukan sarang lebah di dalam pasu, kehebatan sebuah senibina kediaman makhluk unik ini.

Sarang lebah dileraikankan dari pasu dan dimasukkan ke dalam baldi. Sebahagiannya pula dituang ke dalam penapis. Yang menariknya adalah mencedok cairan madu lebah yang bewarna keemasan yang tersisa selepas sarang lebah dikeluarkan terlebih dahulu. Pak Hasan mencedok dengan senduk lalu meminta aku menadah tangan. Madu lebah dituang di tapak tangan aku lalu mengisyarat agar aku menjilatnya. Fuih, suatu pengalaman indah sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata bagi aku yang kali pertama melalui detik ini. Cairan madu lebah fresh dari sarang membasahkan tekak aku, cukup nikmat.

Kelihatan lebah-lebah yang mati akibat terperangkap ketika proses mengasap. Ada juga lebah berterbangan sekitar kami, masih pening agaknya. Tiada seekor pun lebah yang menyengat biarkan beberapa ekor lebah hinggap di sekitar muka, telinga dan badan kami. Aku patuh pada pesan Pak Hasan agar tidak panik. Jangan sesekali menyepit atau menindih lebah tersebut dengan anggota badan. Lebah tidak akan menyengat selagi tidak diancam dengan perbuatan tersebut.

Kemudiannya Pak Hasan mengasingkan lebah yang masih terperangkap atau mati pada sarang lebah. Kedua-dua tangan Pak Hasan dipakaikan sarung plastik dengan bantuan aku. Sebahagian kecil sarang lebah tersebut dipatahkan dan diserahkan kepada aku untuk dikunyah. Cukup manis, aku menikmatinya. "Buanglah sisa kunyahan", pesan Pak Hasan. Kami menikmati sarang lebah tersebut seketika. Pak Hasan selesai mengasingkan lebah-lebah yang terperangkap pada sarang. Seterusnya Pak Hassan mengepal dan memerah sarang lebah tersebut di atas penapis. Kelihatan cairan madu lebah mengalir laju jatuh diatas penapis lalu tumpah ke dalam balang plastik yang sedia menanti. Aku anggarkan hampir 700ml juga cairan madu lebah yang terkumpul.

Madu lebah tersebut dibahagikan 3 bahagian untuk keluarga Pak Hasan, aku dan jiran sebelah (Haji Zainal). Pasu yang menjadi kediaman lebah dikembalikan ke kedudukan asal. Mungkin lebah-lebah tersebut masih sudi bersarang lagi di situ. Aku mengucapkan terima kasih kepada Pak Hasan kerana bantuannya mendapatkan madu lebah. Sukar diluahkan dengan kata-kata tentang keterujaan aku memungut madu lebah untuk pertama kalinya.

Pak Hasan berbisik, "Bertuah kamu sebab lebah bersarang di sini. Bukan saja-saja, mungkin lebah-lebah ini membawa penawar bagi penyakit pada tubuh kita. Orang lain menempuh hutan belantara dan pokok yang melangit nak dapatkan madu lebah". Aku menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapatnya.

Syukur atas nikmat yang Allah berikan.


 


*gambar akan dimasukkan nanti.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...