Friday, August 31, 2012

Bersampan di belakang buaya

Persinggahan penulis di rumah Tok Batin Hitam di Hulu Sungai Pahang tempoh hari menyingkap satu kisah yang bagus untuk dikongsi pembaca sekalian khususnya buat kaki pancing sungai yang lazimnya mencari rezeki di situ.

Kisah misteri itu diceritakan seorang pemancing bernama Suhaimi yang entah macam mana hatinya bagaikan terpanggil untuk ke sungai memancing udang galah selepas terdengar pesanan isterinya yang sedang hamil empat bulan.

"Oleh kerana tidak mahu menghampakan hajat isterinya, aku bersama seorang rakan karib, Alang Ali terus mudik ke hulu sungai", kata Suhaimi.

Isteri Suhaimi langsung tidak merasa bimbang atas pemergian suaminya memancing udang galah lebih-lebih lagi ditemani Alang Ali iaitu Orang Asal masil kukuh berpegang kepada kepercayaan Islam dan petua orang dulu kala.

Alang dan keluarganya sudah lama memeluk Islam dan masih bujang tetapi berkawan rapat dengan Penghulu Batin Itam yang berperanan sebagai penyebar dakwah untuk menarik lebih ramai masyarakat Orang Asal di kampung berdekatan memeluk Islam.

Sebaik tiba di pengkalan, mereka tidak banyak bercakap dan terus menaiki sampan, tanpa menggunakan sebarang lampu, mereka amat pantas bergerak bagi merebut baki senja dan mahu pulang seberapa cepat yang boleh.

Sampan bergoyang
Keadaan cuaca pada malam itu tidak dianggap berbeza seperti kunjungan sebelum ini cuma, sesekali sampan terasa bergoyang agak berlainan tapi tidak merisaukan mereka. Suluhan bulan di langit, lubuk pertama ditemui.

Oleh kerana kawasan lubuk itu terlindung dari arus deras, sampan tidak dilabuhkan, tapi dibiarkan terapung bagi memberikan keselesaan memancing kepada Suhaimi dan Alang Ali. 

"Lubuk tersebut memang lumayan, udang galah yang dipancing bersaiz besar. Hanya menggunakan dua batang joran setiap seorang, aku dan Alang mendapat berbelas ekor udang galah.

"Pada waktu sama, aku terasa sampan bergerak perlahan ke lokasi yang lebih tenang tapi Alang Ali cuba berkayuh menghala ke arah lain tapi peliknya sampan tidak mengikut arah yang dikemudikan.

"Tapi lokasi pelik itu juga banyak aku naikkan udang yang lebih besar", katanya.
Setuju pulang ke pengkalan 
Oleh kerana merasakan rezeki sudah lebih mencukupi, mereka setuju pulang ke pengkalan, namun sepanjang perjalanan pulang, mereka berdua mula merasa pelik terutamanya apabila ada air yang menyimbah masuk ke dalam sampan.

Wajah Alang Ali tetap tenang mungkin cuba menyembunyikan perasaannya manakala Suhaimi tidak mahu memikirkan hal karut marut kerana sebelum menaiki sampan tadi dia sudahpun membaca doa Nabi Nuh naik bahtera.

Namun, sebagai manusia biasa, gelap malam sambil sesekali sampan dilimpahi kocakan air luar biasa, mula mencetuskan perasaan ingin tahu mereka berdua lantas meningkatkan kelajuan berdayung dengan harapan mereka selamat tiba di pengkalan.

Sebaik mendarat, alangkah terkejut mereka berdua apabila mendapati sampan yang dinaiki tiba-tiba tenggelam tetapi timbul semula tidak jauh dari pengkalan lalu menghilang ke tengah sungai.

Memeranjatkan
Kejadian itu amat memeranjatkan kerana sedetik kemudian barulah Suhaimi dan Alang Ali menarik nafas panjang kerana baru sedar 'sampan' yang mereka naiki tadi rupa-rupanya belakang seekor buaya tua Sungai Pahang.

Sejurus berada di rumah, mereka berdua langsung tidak bercerita mengenai 'sampan buaya' yang mereka naiki kerana isteri suhaimi terlebih dahulu menyebut kisah 'sampan' misteri yang pernah menyakat penduduk di situ.

Mendengar celoteh isterinya itu, lantas Suhaimi teringat bahawa isterinya adalah waris cucu kepada Pawang Dolmat (pawang buaya) yang terkenal di Pahang suatu ketika dulu.

Cerita ini oleh
Nuri Angkasa
bhnews@bharian.com.my

1 comments:

Unknown said...

X faham.
Sampan landing atas belakang buaya @
Buaya tu sampan?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...