Sunday, June 28, 2009

Ular sawa vs manusia

Ular sawa liar boleh memberikan ancaman. Elak mengganggu habitatnya.
Dapatkan petua dan pelajari tingkahlakunya suapaya kita boleh hidup
bersama dlm dunia masing-masing. Walaupun ular sawa pernah
membunuh manusia namun tidak sekotor tangan manusia yang
terus memburu dan membunuhnya sebagai makanan esotik
dan mendapatkan kulitnya.

Sebenarnya cerita ini adalah sambungan dari cerita ular gergasi telan buaya. Disebabkan cerita ini melangkaui sehingga ke topik ular sawa (phyton) maka dipecahkan ceritanya. Jika sebelum ini, pertembungan antara ular dan buaya, ini lain skittt... Patutpun ular tu menang, kebetulan ular tu lebih besar dari buaya. Tak dinafikan belitan ular tidak berbisa seperti ular sawa, ular tikus, ular belalai gajah atau ular anaconda merbahaya dan boleh membawa padah kepada pesaing atau mangsanya. Ular-ular ini menggunakan kemahiran membelit dan kekuatan ototnya untuk menumpaskan mangsa kerana tidak mempunyai bisa pada gigitannya.


Ingat, ular berbisa seperti tedung selar, tedung senduk, kapak, katam tebu, orok-orok tidak akan mendekati dan membelit mangsanya tetapi ianya akan menerjah pantas dan diikuti patukan berbisa ke atas mangsa, cukup untuk melumpuhkan dan membawa maut ke atas mangsanya. Inilah perbezaan antara serangan ular berbisa dengan ular tidak berbisa.


Bagaimana pula serangan ular tidak berbisa terutamanya ular sawa dan anaconda. Dua jenis ular ini mampu mencapai saiz yang cukup besar. Semakin besar dan panjang ular-ular ini maka semakin besar potensinya untuk menumpaskan mangsa dan pesaingnya setiap kali bersemuka. Apa akan berlaku jika ular-ular ini membelit manusia? Maka sedikit ilmu atau petua patut kita ketahui bagaimana melepaskan diri dari belitan ular-ular tidak berbisa ini.

Ketahuilah kita, jika ular ini bersaiz 2 kali ganda lebih besar daripada kita atau panjangnya melebihi 3 meter, kita memerlukan bantuan orang lain untuk melepaskan diri dari belitan ular ini. Maksudnya, dalam keadaan panik akibat dibelit ular, kita patut menjerit meminta pertolongan. Ular ini akan mengambil masa untuk membelit seterusnya menjerut anggota badan kita, segeralah menjerit ketika belitannya masih longgar. Ular ini akan berusaha menjerut mangsa dengan kekuatan ototnya sehingga ia menyedari nadi mangsa berhenti atau cukup lemah. Ketika itu mangsa kemungkinan telah mati atau pengsan disebabkan lemas, tidak dapat bernafas atau bahagian tulang tertentu telah patah, mangsa yang tewas ini akan ditelan bulat-bulat oleh ular tersebut.

Ketika dibelit ular, upayakan diri untuk mencengkam leher atau kepalanya. Ini bertujuan mengelakkan ular ini menggigit. Seseorang yang digigit ular sawa walaupun bersaiz ibu jari, kita tidak boleh menyentap kepalanya kerana gigi ular ini yang melengkung panjang dan tajam tidak akan melepaskan gigitan. Tindakan kita ini boleh menyebabkan mangsa lebih parah iaitu bahagian isi yang digigit ular tadi boleh tertanggal dari tubuh mangsa.

Belitan ular ini akan menjadi mudah jika kedua-dua tangan mangsa (manusia) dapat dibelitnya sekaligus. Maka elakkan ular dari membelit kedua-dua tangan kita. Tangan boleh membantu membuka belitan ular, biasanya kita membuka belitan ular bermula dari bahagian ekornya menghala ke bahagian kepala ular. Tangan juga dapat membantu ketika belitan ular pada bahagian leher. Selitkan tangan pada bahagian leher ketika ular cuba membelit dan menjerut leher kita. Leher yang dibelit ular akan menyukarkan pernafasan kita, apabila kita menyelitkan tangan, akan menyediakan ruang supaya pengaliran udara pada bahagian leher terus berfungsi.

Begitu juga di bahagian kaki, elakkan ular membelit kedua-dua kali sekaligus. Mangsa mudah tumbang ke tanah apabila kedua-dua kaki dibelit oleh ular. Dengan sebelah kaki, mangsa masih mampu bertarung nyawa melepaskan diri. Usaha sedaya mungkin merapatkan diri kita dengan batang pokok agar tubuh kita dan batang pokok terbelit bersama-sama oleh ular. Tindakan ini mengelakkan kita daripada lemas dibelit ular kerana masih ada ruang di antara tubuh kita dan batang pokok untuk memberi kita ruang bernafas. Ianya juga mengelakkan kita dari tumbang ke tanah. Mangsa yang tumbang ke tanah sukar bergerak seterusnya melepaskan diri dari belitan ular.

Dimana ular menyerang manusia? Paling kerap serangan ular tentulah di habitatnya. Apabila kita memasuki habitatnya, kita lebih mudah diserang hendap oleh ular. Ular tidak berbisa ini gemar menyamar ketika menghampiri atau dihampiri mangsanya. Ular juga akan keluar dari habitatnya untuk mencari makanan seandainya makanan berkurangan dihabitatnya atau jumlah ular yang banyak berbanding peluang mendapatkan mangsa untuk makanannya. Sebab itu ular merayap sampai ke reban ayam atau kandang kambing atau mungkin ke dalam rumah kita.

Ular aktif pada waktu malam. Ketika inilah ular keluar mencari makanannya. Ular kurang aktif ketika cuaca panas dan bersuhu tinggi. Keluar pada waktu malam juga dapat mengelakkan ular bertembung manusia. Ular seperti haiwan liar yang lain akan cuba mengelak bertembung manusia. Sifatnya pemalu namun jika diancam ia menjadi agresif. Bagi ular sawa dan anaconda, habitat yang sesuai bagi kemandirian spesiesnya adalah hutan, rimbunan pokok, lubang gelap, gua, paya, lembah yang lembab, kubang-telaga, parit dan alur. Tempat-tempat ini kerap ditemui ular dan juga dilaporkan serangan ular ke atas haiwan liar, ternakan dan manusia sendiri. Sebab itu orang tua berpesan, andai masuk hutan atau paya walau sekecil manapun atau cuma dibelakang rumah kita, bawalah senjata seperti parang atau sabit. Ketika darurat diserang ular, senjata ini berguna mempertahan diri kita.

Pernah berlaku, seorang lelaki yang meredah hutan berhenti rehat seketika untuk menghilangkan letih. Lalu mengeluarkan parangnya dan menetak batang kayu buruk sebesar batang kelapa yang ingin diduduki dihadapannya. Alangkah terperanjatnya lelaki itu, batang kayu buruk tadi memancutkan darah yang cukup banyak, sedarlah dia bahawa batang kayu buruk itu adalah ular sawa yang cukup besar yang menyamar kaku. Dia bernasib baik kerana kebetulan menetak ular itu terlebih dahulu. Tanpa parang, kemungkinan lelaki tersebut menjadi mangsa ular yang menyamar seperti batang kayu buruk. Ular itu mati sebelum lelaki tadi menjadi mangsanya.

Orang tua juga berpesan, jangan turun sendirian atau membiarkan kanak-kanak bermain atau menangkap ikan di dalam telaga buruk tanpa pengawasan orang dewasa. Lubuk yang banyak ikan tidak mustahil dihuni juga oleh ular sawa yang gemar memakan ikan. Kita mungkin menjadi mangsa jika dibelit ular di dalam air, senang dilemaskan tanpa disedari sesiapa.

Di malaysia sendiri, kita pernah beberapa kali dikejutkan berita manusia mati dibelit dan ditelan ular sawa . Ular sawa apabila dewasa berukuran 1.5 meter (5 kaki) namun boleh mencecah 8 meter panjang dan berat 200 kg. Bayangkan ular ini menanti anda untuk menyerang hendap. Ingat, jangan berleka ketika memasuki habitatnya dan jangan membelakangi nasihat dan petua ini.

Jauh dari sudut pengetahuan sebahagian kita, telah ramai menjadikan hobi membela ular sawa. Terdapat beberapa speseis ular sawa yang menarik minat pembelanya kerana keunikan ular sawa itu sendiri. Janganlah pula kita memasuki habitat ular sawa liar dengan tujuan menangkap dan membelanya di rumah. Ular sawa yang telah biasa dengan kehidupan di habitat asalnya tentu tidak selesa tinggal bersama manusia di rumah. Manusia sendiri tentu tidak mahu tinggal dihabitat ular jika diberi pilihan. Ular liar yang dikurung kemungkinan akan tertekan dan boleh bertindak agresif. Hanya mereka yang mahir dan tahu selok-belok tentang ular ini boleh menangganinya.

Ular sawa yang mudah dipelihara di rumah, biasanya dibeli dari kedai-kedai haiwan. Lebih mudah jika dipelihara dari kecil. Ular ini boleh mengenali tuannya. Sering dipaparkan dokumentari kehidupan ular jinak ini bersama tuannya. Ular ini cukup mesra dan boleh bergurau dengan tuannya dengan cara tersendiri.

Menanggani haiwan ini dengan sabar, memahami tingkahlakunya
dan menyayangi haiwan unik ini, anda mungkin boleh memeliharanya.
Buangkan perasaan fobia dan negatif terhadap ular sawa.
Kita boleh hidup bersama ular sawa. Ramai yang mempunyai hobi
memelihara ular sawa kerana haiwan ini boleh dijinakkan.
Dengan kulit yang indah berseni, anda mungkin tertarik
untuk memilikinya. Tukarkan persepsi anda terhadap ular sawa.

1 comments:

Kitty said...

I think bringing sickle or sharp blade when going into the jungle does not help defend oneself against python attacks. Only 2 days ago, a 2.5m python got into our chicken coop at 5am. We shot it with a shot gun, we saw the blood, it tried to get away. We tried to hack the head off with a sharp parang and a meat cleaver, but could not even make a nick. The ular seemed to have 9 lives! In the end, we called the Bomba and they took it away.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...