Friday, March 13, 2009

Harimau Sumatera vs manusia




Hari-hari terakhir Raja Rimba tidak mustahil berlaku. Begitulah nasib yang menimpa spesies terbesar keluarga kucing yang hidup liar di hutan Asia Timur hingga Asia Selatan. Berita konflik manusia dan harimau menjadi bualan sejak hujung Februari lepas hingga sekarang. Pembaca berita online dan perayau internet menjadi krisis ini sebagai tatapan. Enjin jejak dan enjin carian di internet merekodkan permintaan yang tinggi bagi berita dan isu ini. Begitulah manusia dan perasaan ingin tahunya. Rasa belas dikalangan kita terhadap haiwan unik ini namun tak lebih dari itu usaha kita mengelakkan haiwan ini dari pupus.

Terbaru dilaporkan adalah serangan harimau sumatera di Pulau Sumatera. Kisah dua beranak keluarga pembalak yang menjadi mangsa haiwan ini mendapat liputan meluas di media massa termasuk di Malaysia. Selain itu, antara daerah lain yang kerap melaporkan serangan haiwan ini adalah Riau, Aceh, Jambi dan Lampung. Kawasan-kawasan ini yang dahulunya hutan tebal kaya dengan flora dan fauna kini semakin mengecil saiznya akibat penerokaan berleluasa atas nama projek pertanian dan pembangunan.

Ancaman terhadap harimau Sumatera sememangnya berpunca daripada pembukaan tanah hutan dan rimba. Hutan rimba yang dahulunya luas dan didiami pelbagai haiwan lain antaranya adalah haiwan mangsa kepada ‘Pak Belang’ ini. Bukan haiwan mangsa ini perlu kita belas kerana itulah hukum alam. Diciptakan sebaiknya kitaran rantaian makanan bermula dari tumbuhan hinggalah pemangsa terakhir oleh Tuhan. Antara haiwan, kemandirian spesies mereka tidaklah sehingga membawa kepada kepupusan haiwan saingan mereka. Punca kepupusan sebenar adalah tangan kotor manusia iaitu Khalifah muka bumi ini. Sikap tamak, tiada kesedaran dan kasih terhadap haiwan ini dikalangan kita menjadi punca permasalahan ini timbul.

Saiz hutan rimba yang semakin mengecil menyebabkan haiwan-haiwan lain yang selama ini menjadi makanan kepada harimau ini berkurangan. Akibat makanan yang kurang, harimau ini perlu keluar berburu sehingga ke pinggir kampung dan menjadikan haiwan ternakan sebagai mangsa. Malah terdesak mendapatkan makanan, harimau memburu manusia. Manusia taksub meneroka hutan belantara dengan tujuan pembalakan dan pertanian seperti kelapa sawit.

Sebenarnya bukan harimau sahaja yang menyerang manusia, turut dilaporkan gajah juga menyerang dan membunuh manusia akibat gangguan terhadap habitat mereka. Bagi harimau Sumatera, dianggarkan tidak melebihi 300 ekor sahaja yang tinggal sedangkan suatu masa dulu melebihi 1000 ekor. Adakah generasi masa depan sempat melihat secara 'live' harimau ini sama ada di hutan, zoo atau safari? Mungkin sekadar menatap gambar atau album kenangan lampau sahaja suatu hari nanti.

Mengapa harimau ini berkurang terlalu banyak? Hello kawan, spesies harimau bukan macam ayam kampung, bertelur sebakul belum sebulan dah menetaskan anak. Spesies harimau merupakan mamalia yang mengandungkan anak bagi suatu tempoh yang agak panjang dan kebiasaannya melahirkan anak antara seekor hingga tiga ekor. Itu belum kira anak harimau yang mati ketika membesar akibat saingan sesama mereka, ancaman haiwan lain dan penyakit. Maka berapa kerat sangatlah yang hidup, cuma tanpa ancaman manusia diyakini mereka boleh berkembang dan meneruskan kemandirian spesies.

Harimau pada hari ini diletakkan sebagai simbol kekuatan dan keberanian. Tepat dan sesuai benar dengan sifat haiwan ini. Cuma segelintir dikalangan manusia terpesong akan tindak-tanduk mereka. Timbul kepercayaan bahawa organ harimau ini mampu mengubati penyakit dan memulihkan tenaga dalaman yang lemah. Satu lagi permasalahan timbul, akibat permintaan tinggi terhadap organ harimau ini maka ramailah dikalangan kita yang tampil sebagai pemburu. Manusia ini dengan dibekalkan sifat tamak bukan cukup sekadar seekor dua harimau yang ingin ditumbangkan, kalau boleh sehutan terbentang luas ingin ditakluknya. Aduhai malang kau harimau. Seandainya setiap kita memiliki kesedaran yang tak luntur dek zaman tentang kepentingan mengekalkan fauna unik ini, maka tak begini jadinya. Carilah ubatlah lain untuk mengekalkan kesihatan kita.

Mungkin ada inisiatif individu atau organisasi tampil membuka ladang menternak harimau untuk organ. Projek ini andai berjaya, kita tak rasa ralat dan harimau kat hutan tak lagi bimbang. Hari ini terbukti projek ladang buaya untuk kulit dah berjaya, mana tau projek harimau untuk organ juga boleh berjaya. Taklah manusia ambil jalan mudah memburu harimau di hutan. Tahukah kita, kebanyakan punca penyakit bagi manusia adalah dari haiwan yang kita dimakan. Selain itu makanan-makanan lain yang mempunyai unsur dan sumber dari haiwan juga berisiko menyebarkan penyakit. Siapa tahu haiwan yang kita makan telahpun dijangkiti penyakit. Maka kita adalah berisiko terhadap kesannya. Makanan dari sumber tumbuhan adalah lebih terjamin, namun penggunaan racun tanaman boleh mengundang risiko yang sama.

Kepupusan harimau secara amnya berpunca dari kelemahan undang-undang dan penguatkuasaan. Undang-undang yang digubal suatu ketika dulu patut dikaji semula sesuai dengan peredaran masa. Hari ini, mereka yang ditangkap kerana memburu, membunuh atau memiliki harimau cuma dijatuhkan hukuman ringan. Nilai RM10000 bagi denda atau penjara atau kedua-duanya sekali adalah ringan pada hari ini. Seekor Harimau Sumatera, Harimau Malaya atau Harimau Bengal yang tumpas hidup ataupun mati ganjarannya mencecah ratusan ribu ringgit malah lebih dari itu bergantung kepada musim dan permintaan terhadapnya.

Apa yang diburu pada seekor harimau? Sebenarnya organ yang bernilai pada seekor harimau bermula dari misainya sampailah ke hujung kaki. Senang cakap, semuanya bernilai, organ dalaman, daging, ekor, bulu kulit, taring, tulang dan tengkorak. Semua atas alasan makanan esotik, ubat mujarab, tangkal pendinding dan perhiasan unik.

Kelemahan aktiviti penguatkuasaan akta juga menjadi faktor mengapa masih ramai pelaku kesalahan memburu haiwan ini. Mereka tidak bimbang kerana ada dikalangan mereka memiliki alat berteknologi atau peranti sofisikated untuk meneruskan aktiviti mereka sedangkan pada masa yang sama pihak penguatkuasa berkenaan masih jauh ketinggalan dalam penggunaan teknologi terkini. Andaikan 50 pemburu haram ini aktif dalam sebulan, berapa ramai yang berjaya ditahan dan disekat aktiviti mereka, dan berapa ekor harimau pula yang mati diburu? Renunglah sejenak.

Akhir sekali, artikel ini tidak hanya menuding apa yang berlaku di Indonesia sahaja, di Malaysia juga berlaku hal yang sama. Manusia tetap manusia walau dimanapun mereka berdiri. Sikap ingin menguasai, tamak, melebihi had dan tiada kesedaran kepentingan menjaga khazanah alam ini berlubuk dalam diri segelintir manusia dalam mana-mana komuniti. Kita terdidik untuk meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan makhluk alam yang lain kerana kita dicipta dengan memiliki otak yang berfungsi jauh lebih baik berbanding haiwan lain, lebih mudah disebut akal. Belum ada haiwan yang berevolusi dilahirkan untuk menentang dan memburu manusia. Manusia adalah ancaman, haiwan liar sentiasa mengelak dari bertembung dengan manusia kecuali diancam atau terdesak.

2 comments:

dardie said...

Noor,

Gambar orang tengah melapah harimau tu dapat dari mana ek?? fuh! kejamnya...

Hissham Z said...

friend,
gambar tu rasanya dari china atau taiwan. ada rakan forward gambar tu dlm email. rasanya tu harimau siberia yang boleh hidup di kawasan empat musim
salji
panas
bunga
luruh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...